Tuesday, April 26, 2011

KAFA Tingkat Keselamatan Stadium


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) dengan kerjasama polis dan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) akan meningkatkan aspek keselamatan, termasuk pemeriksaan ke atas penonton menjelang pertembungan The Red Warriors dengan pendahulu Liga Super, Selangor di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, Kota Bharu, malam ini. 

Setiausaha Agung KAFA, Mohamed Noordin Awang berkata, pemeriksaan bertujuan memastikan tiada objek dilarang seperti mercun, botol air dan bendera parti dibawa masuk ke dalam stadium.

“Kami jangka perlawanan Kelantan dan Selangor ini menjadi tumpuan ramai dan mahu memastikan langkah keselamatan wujud agar kejadian tidak diingini tidak berlaku. Saya berharap penonton memberi kerjasama mematuhi arahan ditetapkan,” katanya, semalam.
KAFA mengeluarkan 18,000 sehingga 20,000 tiket untuk dijual kepada orang ramai bagi menyaksikan perlawanan pusingan kedua itu selain menyediakan skrin gergasi di perkarangan stadium memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan perlawanan berkenaan. 

Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mahizi Mahmood berkata, perlawanan di Kota Bharu malam ini dinantikan peminat tempatan dan mereka berharap Red Warriors dapat mengulangi kemenangan, sekali gus memberi tekanan terhadap Red Giants.

Kafa Mahu Penyokong Pamer Disiplin Baik


KOTA BHARU – Menjelang pertemuan sengit antara Kelantan menentang Selangor malam ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memberi peringatan kepada semua penyokong setia The Red Warriors untuk mempamerkan disiplin terbaik dan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi ketika menonton perlawanan malam ini. 

Setiausaha Agung Kafa, Mohamad Noordin Awang berkata, aksi perlawanan membabitkan Kelantan menentang Selangor sememangnya disifatkan cukup sengit dan sentiasa ditunggu-tunggu penyokong setia Kelantan. 

“Kita berharap semua penyokong memberikan kerjasama yang baik kepada Kafa khususnya pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela dan anggota keselamatan yang dilantik Kafa sendiri bagi memastikan perlawanan Kelantan menentang Selangor berlangsung dengan lancar. 

“Kita tidak mahu sebarang insiden buruk berlaku pada perlawanan ini. Sebarang objek terlarang seperti botol minuman, mercun dan benda parti politik tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium. Tindakan tegas akan diambil ke atas penyokong yang disabitkan melakukan melakukan kesalahan tersebut. 

“Kita menjangkakan lebih kurang 20,000 keping tiket akan dijual bermula jam 11 pagi. Kita menggalakkan mereka datang awal ke stadium bagi mengelakkan berlakunya kesesakan. Pintu masuk stadium akan dibuka seperti biasa. Kita juga turut menyediakan kemudahan tempat bagi membolehkan penyokong menunaikan solat Maghrib di kawasan pintu masuk utama dalam stadium,” katanya ketika ditemui :Sinar Harian:, semalam. 

Mohamad Noordin berkata, bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian buruk, anggota keselamatan akan melakukan pemeriksaan badan yang ketat ke atas setiap penyokong yang memasuki stadium. 

Ketika ditanya dakwaan mengenai isu tiket yang dikutip di pintu masuk stadium tetapi dijual semula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, Mohamad Noordin menganggap perkara itu cukup serius sekiranya benar-benar berlaku. 

“Sebenarnya, Kafa telah menubuhkan satu pasukan pemantau secara tidak rasmi untuk memantau perkara itu secara dekat. Sekiranya perkara ini berlaku, Kafa tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit dengan perkara itu,” katanya. 

Sementara itu Mohamad Noordin juga memberitahu satu skrin layar gergasi akan dipasang di perkarangan luar stadium bagi membolehkan peminat yang gagal mendapatkan tiket menyaksikan perlawanan itu melalui kemudahan tersebut.

Misi Sukar Jinakkan Red Giants

KOTA BHARU - Satu pertembungan sengit. Itulah gambaran ringkas mengenai pertarungan dua seteru utama bola sepak tempatan, Kelantan dan peneraju liga, Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, malam ini.

Turun dengan misi berbeza, kedua-dua pasukan dijangka mempertaruhkan barisan terbaik dalam usaha memenuhi cita-cita diimpikan.

Bagi The Red Warriors, misi mereka adalah untuk memungut tiga mata penting, selain mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri.


Sementara Red Giants pula pastinya mahu menebus kekecewaan tumbang 0-2 kepada Kelantan dalam aksi pembukaan awal Januari lalu.

Beraksi di gelanggang sendiri, The Red Warriors sudah tentu mahu menggunakan kelebihan tersebut dalam usaha menyekat Selangor daripada terus memungut tiga mata penting serta mengukuhkan cengkaman di puncak liga.

Bagi pengendali The Red Warriors, Datuk M. Karathu, Kelantan tiada pilihan selain mesti menang jika mahu mencerahkan peluang untuk memburu kejuaraan musim ini.

Berdasarkan prestasi semasa Selangor, The Red Warriors dijangka berdepan laluan sukar dan ia diakui oleh Karathu bahawa pertemuan malam ini satu perlawanan sengit dan kedua-dua pasukan dilihat mempunyai peluang seimbang.

"Saya akui mereka sebuah pasukan yang hebat. Jadi kita akan turunkan barisan terkuat. Perlawanan ini cukup penting buat kita jika mahu terus memberikan tekanan dalam kedudukan carta liga.

"Kurangkan melakukan kesilapan mudah dan jangan terlalu kerap memberikan ruang kepada lawan. Selain itu pertahanan kena kuat dan serangan harus memanfaatkan setiap peluang dan itu adalah kunci kemenangan pasukan," katanya.

Dalam pada itu, Karathu memberitahu berkemungkinan tidak akan menyenaraikan penggempur berbisanya yang baru sahaja pulih dari kecederaan, Muhammad Ramzul Zahini Adenan dalam kesebelasan utama.

Tugas tersebut mungkin akan digalas oleh ketua pasukan iaitu Mohd. Badri Razhi yang akan dipasangkan dengan penjaring terbanyak liga, Norshahrul Idlan Tahala.

"Berdasarkan persembahan yang ditunjukkan saya yakin mereka mampu menjadi gantian yang mantap. Saya harap Piya (Mohd. Badri) akan terus mempamerkan aksi terbaiknya seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan sebelum ini," ujarnya.

Perhitungan Maruah Antara Kelantan dan Selangor


UMPAMA pentas perlawanan akhir, pertemuan dua musuh tradisi, Kelantan menentang Selangor dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini sudah pasti menjadi tumpuan ramai peminat bola sepak tempatan. 

Bagi Ketua Jurulatih Kelantan sendiri, Datuk M Karathu mengakui pertemuan berprofil tinggi di antara pasukannya dengan Selangor itu sememangnya memberikan makna yang tersendiri bagi kedua-dua pasukan. 

“Saya akui pertemuan menentang Selangor malam ini akan menjanjikan aksi paling menarik bakal kita saksikan. Pertemuan ini bukan hanya berkisar untuk kita mendapatkan tiga mata, tetapi yang lebih penting demi mempertahankan maruah pasukan masing-masing,” katanya semalam. 

“Memang kita menang ke atas Selangor 2-0 pada perlawanan pusingan pertama namun penampilan mereka cukup berbeza kali ini. Saya akui, mereka mempunyai ramai pemain bagus dan berpengalaman serta persembahan cukup konsisten sejak akhir-akhir ini. 

“Begitu pun kelebihan tetap memihak kepada kita kerana bermain di tempat sendiri di samping mendapat sokongan padu daripada penyokong setia. Apa yang saya harapkan, pemain dapat memberikan komitmen tertinggi dalam pertemuan ini. Kita turun dengan matlamat untuk menang. Tiada istilah seri atau kalah bagi kita dalam pertemuan ini,” katanya. 

Perkhabaran gembira daripada kem Kelantan apabila Karathu sendiri turut mengesahkan pemain sayap kanan, S Chanturu bakal diturunkan malam ini selepas pulih daripada kecederaan paha yang dialami baru-baru ini. 

“Dia (Chanturu) akan diturunkan malam ini. Jelas kehadirannya menambah sengat di bahagian serangan pasukan Kelantan. Pemain kita sudah cukup bersedia dari segi fizikal dan mental. Jelas mereka tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan Selangor. Saya mungkin menggunakan formasi 4-4-2 atau 4-5-1 bagi menghadapi Selangor malam ini. 

“Saya akan menurunkan barisan terkuat Kelantan malam ini. Noktah kemenangan pada pertemuan malam ini sudah pasti berpaksi kepada kekuatan jentera tengah masing-masing. Kalau kita mampu menguasai bahagian itu, saya fikir tidak ada masalah bagi kita untuk mencatatkan kemenangan,” katanya. 

Sementara itu mengulas mengenai kekuatan pasukan lawan, Karathu turut mengakui pasukan kendalian K Devan itu sebenarnya mempunyai barisan pemain serba lengkap dari segenap posisi. 

“Tanpa penyerang utama Mohd Fadzli (Shaari) sekalipun, mereka boleh menang. Itu yang menarik mengenai kekuatan Selangor. Mereka mempunyai pemain tengah berkualiti seperti Hardi (Jaafar), Shafiq (Rahim) dan Amirulhadi (Zainal),” katanya.

Pertembungan Dua Gergasi

PERTEMBUNGAN dua musuh baru bola sepak negara, Kelantan dan Selangor pastinya menjadi tumpuan apabila gergasi Lembah Klang itu dijadualkan turun menentang The Red Warriors di Kota Bharu malam ini.

Lebih signifikan, kedua-dua pasukan ini akan turun dengan misi tersendiri terutama Selangor yang sudah pasti mahu menebus semula kekalahan mereka di tangan Kelantan ketika aksi Piala Sumbangsih, Januari lalu.

Kemenangan di Stadium Sultan Muhammed Ke IV Kota Bharu malam ini bermakna Kelantan mencipta rekod bersih ke atas Selangor dalam saingan liga musim ini biarpun mereka bakal berentap dalam aksi Piala FA atau mungkin pada Piala Malaysia nanti.

NORSHAHRUL (kiri) menjadi sandaran Kelantan untuk menggegarkan gawang Selangor.

Sembilan gol yang dicetak Kelantan dalam dua perlawanan menentang Perlis di Kangar dan Kota Bharu tempoh hari mungkin cukup untuk membuktikan bahawa The Red Warriors kini berada pada prestasi terbaik untuk merebahkan siapa sahaja lawan mereka.

Ketua jurulatih Kelantan, Datuk M.Karathu sudah mencongak strategi bagi menghadapi Selangor apabila merehatkan dua tonggak utama, Rizal Fahmi Rosid dan Nurul Azuan Roya pada aksi menentang Perlis, Sabtu lalu.

Khidmat ayam tambatan mereka, Norshahrul Idlan Talaha juga dipendekkan pada perlawanan tersebut apabila dikeluarkan ketika perlawanan berbaki lebih 20 minit bagi memberi mereka peluang untuk mendapatkan rehat secukupnya bagi persiapan menentang Selangor.

Bagaimanapun, kelibat dua bintang muda dalam pembikinan, Nizad Ayub dab Mohd. Izuan Solehuddin kini sudah mula meniti di bibir para peminat The Red Warriors apabila kedua-dua mereka tersenarai sebagai penjaring pada perlawanan menentang Perlis tempoh hari.

Bagi Karathu, beliau menyedari bahawa perlawanan malam ini cukup sukar untuk pasukannya namun, cukup optimis anak-anak buahnya mampu mengejutkan Selangor bagi mengurangkan jurang kedudukan mata.

"Ini adalah peluang terbaik untuk kita merapatkan jurang mata, ia pastinya perlawanan yang sengit dan saya mahu semua pemain menyedari hakikat itu. Bekerja dan sentiasa bekerja ketika di padang, itu adalah sangat perlu untuk kita mengatasi Selangor.

"Barisan pertahanan perlu lebih bijak mematahkan serangan dan mereka perlu tenang. Jentera hadapan juga perlu lebih pantas, manfaatkan setiap peluang yang ada untuk mencipta jaringan," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, beliau masih menaruh kepercayaan kepada ketua pasukan, Badri Radzi yang akan bergandingan bersama Norshahrul Idlan di bahagian serangan dan beliau akan lebih banyak bertindak sebagai pengumpan.

Walau bagaimanapun, cabaran Selangor kali ini bukan sahaja menentang 11 orang pemain Kelantan tetapi jagoan Pantai Timur itu sudah pasti akan menerima suntikan semangat daripada 25,000 penyokong fanatik yang akan menyendatkan stadium keramat mereka.

Justeru, para pemain Selangor dan juga Kelantan perlu membuat persiapan mental paling rapi bagi memastikan perlawanan berlangsung dengan baik sehingga ke wisel penamat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Kijang Perlu Waspada


DI SEBALIK persediaan rapi Kelantan berdepan Selangor malam ini, ingatan turut diberikan kepada penyokong setia The Red Warriors supaya menjaga disiplin ketika menyaksikan pertembungan dua gergasi yang mahu menguasai Liga Super musim ini.

Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, pertemuan menentang Selangor itu umpama perlawanan akhir dan beliau berharap penyokong tuan rumah menjaga disiplin bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Saya harap perlawanan malam esok (ini) berjalan lancar dan meminta penyokong menjaga disiplin dan menunjukkan semangat kesukanan tinggi,” katanya selepas sesi latihan di Stadium Sultan Mohammed IV, semalam.

Justeru, Azman berharap penyokong Kelantan dapat menerima apa jua keputusan perlawanan dan sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bagi.

“Tahap kekuatan mental dan fizikal pemain ketika ini berada dalam keadaan memberangsangkan selepas dua kemenangan besar ketika bertemu Perlis. Selain itu, kami juga mempunyai kombinasi pemain yang boleh bermain di pelbagai posisi,” katanya.