Friday, June 17, 2011

Penyokong Kelantan Paling Bernilai 2011 - ASTRO

Menjelang perlawanan terakhir Liga Super 2011, hanya tiga pasukan yang dilihat gah di awal persaingan Liga Super iaitu Kelantan, Selangor dan Terengganu berjaya mengekalkan prestasi hebat pasukan mereka hingga ke perlawanan terakhir liga berbanding pasukan 11 pasukan lain yang masih dengan prestasi tidak stabil.

Jika diteliti pada awal musim liga pasukan seperti Pahang, Felda United dan Perak banyak mencipta kejutan kepada peminat bolasepak Malaysia apabila dengan mudah membelasah pasukan hebat seperti Kelantan dan Selangor di pusingan pertama liga, malah sempat mengejar kedudukan empat teratas liga. Kini tinggal Perak selesa tersenarai antara 10 pasukan teratas liga manakala Pahang dan Felda United sedang bertarung nyawa bagi mengekalkan kedudukan mereka dalam Liga Super atau diturunkan ke Liga Perdana.


Pahang sekali lagi menjadi perhatian peminat sukan bolasepak Malaysia samada akan diselamatkan lagi dengan kuasa veto yang ada atau dibiarkan Johor FC dan Harimau Muda menunjukkan tempat yang layak bagi Pahang pada musim depan bersama mengikuti jejak Perlis. Negeri Sembilan dan Kedah yang hebat pada musim lepas, baru sahaja bangkit dari lena setelah berlaku pertukaran jurulatih, kebangkitan Kedah di saat akhir ini amat bermakna kepada Kelantan dan Selangor kerana Kedah berjaya merencatkan kutipan mata Terengganu dan sekaligus turut meleburkan rekod tanpa kalah Terengganu di gelanggang sendiri.

Bagi skuad T-Team pula kemasukan tiga bekas wira Kelantan tidak mengubah kedudukan liga mereka yang masih kekal di tangga kelapan berbanding tahun lalu di tangga ketujuh dan sekadar berbangga berjaya menewaskan Kelantan dalam dua perlawanan liga. Begitu juga pasukan Johor FC yang gagal mengekalkan kehebatan tanpa Nurul Azwan Roya merudum  jatuh tiga anak tangga berbanding tahun lalu di tangga keempat. Kuala Lumpur juga mengalami kemerosotan pada musim ini turun ke tangga kedua belas berbanding tahun lalu kekal di tangga kesembilan liga.

Kehadiran Astro sebagai penaja baru berjaya memberi talian hayat kepada Liga Super yang dilabel kurang bermutu oleh pemain luar termasuk Brendan Gan yang menyatakan tidak berminat menyarung mana-mana jersi pasukan di Malaysia ketika dihubungi presiden KAFA baru-baru ini.

Bagi peminat sukan bolasepak pula tahun 2011 adalah tahun malang kepada mereka yang tidak melanggani saluran berbayar Astro kerana RTM tidak lagi mengambil tanggungjawab sosial menyiarkan perlawanan bolasepak secara langsung secara percuma kepada rakyat kecuali perlawanan istimewa. Disaat bolasepak Malaysia sedang meningkat naik dan rakyat telah mula kembali berbangga menyarung jersi pasukan kebangsaan yang dibeli di pasar malam seluruh pelusuk tanahair, RTM melepaskan tanggungjawab sosial sepenuhnya kepada Astro untuk menjadikan bolasepak Malaysia hanya bernafas kencang di Kelantan sahaja.

Untuk makluman badan pengurusan Malaysian Super League (MSL) Mr. Stuart Ramalingam (Ketua Pegawai Eksekutif MSL), turut mengiktiraf penyokong Kelantan sebagai "Penyokong Paling Bernilai" dalam bolasepak Malaysia tanpa kehadiran penyokong Kelantan sunyi sepilah stadium seluruh Malaysia. Malah pihaknya juga berasa hairan pasukan yang menduduki lima tangga teratas liga gagal menarik perhatian penyokong mereka ke stadium malah ada yang lebih selesa melekat di kaca tv siaran langsung sahaja sambil mengutuk pasukan. Melalui stastistik siaran langsung Astro Arena juga menunjukkan perlawanan melibatkan Kelantan memaparkan graf stastistik yang tinggi berbanding perlawanan lain.

Secara realiti menurut Mr. Stuart Ramalingam (Ketua Pegawai Eksekutif MSL), penyokong Kelantan amat sukar mendapat pengiktirafan penyokong terbaik kerana jika semua penyokong Kelantan datang dengan sopan santun, pasukan mana lagi yang akan membayar denda untuk FAM. Jika ada pun biasanya melibatkan denda kes yang memang sukar dilenyapkan seperti kes membakar bendera. Malah pihak MSL turut mengakui pasukan Kelantan layak menerima lebih banyak tajaan daripada penaja-penaja di luar sana kerana pasukan ini berjaya mencipta fenomena luar biasa pada bolasepak Malaysia.

Impian Kelantan menjadi juara Liga Super 2011 tetap realistik tetapi para pemain harus belajar dari sikap terlalu yakin mereka pada perlawanan final piala FA lalu agar tidak berulang dan perlu berjuang dengan penuh waspada sehingga wisel penamat ditiupkan. Jika keputusan perlawanan terakhir ini berkesudahan seri sekalipun Kelantan telah pun berjaya memintas Selangor yang memerlukan 8 jaringan gol untuk kekal dinobatkan juara liga meskipun memiliki 54 mata bersama Kelantan manakala Terengganu pula mengharapkan kedua-dua pasukan ini tewas pada lawan masing-masing bagi mengimpikan piala berganda pada musim ini.

Tempias kemeriahan bolasepak Kelantan turut terkena kepada portal ini apabila sejak bulan januari 2011 hingga kini portal ini berjaya mengekalkan ranking pengunjung tertinggi berbanding laman web seumpamanya termasuk portal Astro Arena (www.arena.my) mahupun portal FAM (www.fam.org.my) melalui portal carian ranking www.alexa.com dan Google Analytics. Terima kasih di atas sokongan semua penyokong The Red Warriors sepanjang tahun ini, tanpa anda tidak bermakna apa-apa portal ini.

Hanya doa dan semangat dari seluruh rakyat Kelantan sahaja yang mampu diiringi kepada para pemain untuk menjadikan bumi Sabah dibasahi air mata kegembiraan rakyat Kelantan, selain mengharapkan rakyat Kelantan yang terbang bersama pemain dan permastautin di Sabah memenuhi segenap penjuru stadium Likas.

Bukan sahaja Selangor mengharapkan keajaiban, peminat bolasepak Kelantan turut mengharapkan keajaiban sentuhan taktikal daripada Datuk M. Karathu malah berharap memberi banyak masa kepada pemain gantian mempamerkan aksi mereka bukannya pada minit-minit terakhir dan cepat bertindak dalam mengatasi kelemahan serta kepincangan kesebelasan pemain yang diturunkan.

Harapan ingin melihat penyokong senada dan seirama dalam sorakan masih lagi gagal dilakukan, namun KAFA sedang berusaha keras merealisasikan harapan ini supaya tragedi penyokong sunyi sepi dilanggar garuda pada perlawanan final yang masih ada harapan kemenangan tidak akan berlaku lagi pada saingan akan datang. Demikian juga alunan gendang dan dendangan sokongan yang bertompok-tompok diharap tidak akan dibazirkan tenggelam dengan sorakan penyokong pasukan sendiri.

Biarlah Gunung Kinabalu menjadi saksi kejayaan pasukan The Red Warriors kali ini. Rakyat Kelantan yakin Bukit Marak akan ada kenduri kesyukuran kejayaan baru Kelantan. YA ALLAH BERILAH SEMANGAT DAN KEJAYAAN KEPADA PASUKAN KAMI. GOMO KELATE GOMO.

0 komen:

Post a Comment