Wednesday, June 15, 2011

Negeri Berpeluang Anjur Perlawanan Antarabangsa


KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia menimbang permohonan persatuan bola sepak negeri untuk melangsungkan perlawanan peringkat antarabangsa jika stadium sedia ada diselenggara dengan baik dan dinaik taraf mengikut piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, untuk memenuhi permohonan itu, semua persatuan bola sepak negeri perlu mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri masing-masing dalam usaha menaiktaraf stadium mereka.


Katanya, setakat ini hanya Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam yang sesuai dijadikan venue perlawanan peringkat antarabangsa kerana ia mematuhi piawaian oleh FIFA dan AFC.

"Stadium negeri lain masih tidak menepati piawaian FIFA dan AFC untuk perlawanan di peringkat antarabangsa dan sebab itu FAM merasakan perlunya persatuan negeri dengan kerjasama kerajaan negeri untuk menaik taraf stadium yang ada.

"Seperti Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, apabila stadium ini dinaik taraf untuk diadakan perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa, FAM akan membuat pemantauan dan ia satu perkembangan yang baik," katanya selepas Mesyuarat Penyelarasan Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Malaysia Menentang Myanmar di Majlis Sukan Negeri di sini, semalam.

Azzuddin turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang menjadi tuan rumah perlawanan persahabatan itu yang diwakili Timbalan Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah.

Menurut Azzuddin, penganjuran perlawanan antarabangsa di stadium negeri juga dapat membantu mempercepatkan usaha menaiktarafkan stadium dan prasarana lain mengikut keperluan piawaian.

"Ini adalah perlawanan persahabatan antarabangsa pertama yang diadakan di luar Lembah Klang.

Ia sebagai tanda penghormatan kepada Kafa sebagai tuan rumah selain membuka peluang penyokong skuad negara di Pantai Timur menontonnya.

"FAM berpuas hati kerana Kafa dan pihak stadium telah melakukan pelbagai langkah untuk membaik pulih dan menaik taraf stadium agar dapat digunakan pada perlawanan itu nanti," ujarnya.

Sementara itu Afandi berkata, semua kerja-kerja pengubahsuaian dan menaik taraf stadium Sultan Muhammad Ke IV sudah berada pada peringkat akhir dan akan siap sepenuhnya menjelang hari perlawanan.

"Kerja-kerja seperti naik taraf padang, lampu limpah, bilik persalinan pemain dan pemasangan jam digital akan siap sepenuhnya sedikit masa lagi bagi membolehkan perlawanan persahabatan itu diadakan dengan jayanya," katanya.

Perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Myanmar akan dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammed IV pada Sabtu ini.

Tiket berharga RM15 bagi tempat duduk terbuka, astaka (RM50), astaka dua (RM20) dan RM5 bagi kanak-kanak mula dijual di kaunter tiket stadium.

0 komen:

Post a Comment