Wednesday, June 15, 2011

Kelantan Hampiri Kejuaraan


KOTA BHARU – Gelaran kejuaraan Liga Super yang pertama semakin menghampiri Kelantan setelah berjaya mengalahkan Perak 1-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi. 

Begitupun, penentuan mutlak juara hanya dapat diputuskan dalam perlawanan terakhir liga setelah dua pencabar terdekat, Selangor dan Terengganu turut melakarkan kemenangan ke atas lawan masing-masing malam tadi. 


The Red Warriors hanya perlu mencatatkan keputusan seri apabila menentang Sabah di Kota Kinabalu pada 6 Julai nanti bagi memastikan piala liga paling berprestij itu dibawa pulang ke bumi negeri Kelantan buat pertama kali sejak dipertandingkan lapan tahun lalu. 

Seawal minit ketujuh, Kelantan terlebih dahulu menguji pintu gol Perak menerusi percubaan Mohd Shakir Shaari dari luar kotak penalti, namun rembatannya terus ke dakapan Mohd Nasril Mat Nourdin. 

Tiga minit kemudian, Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi yang berjaya meloloskan diri daripada kepungan tiga pemain pertahanan Perak sempat melorongkan bola di dalam kotak penalti, namun Mohd Izuan Salahuddin pula dikesan berada dalam kedudukan offside oleh penjaga garisan. 

Pada m-24, tindakan pemain pertahanan Perak, Mohd Syahman Zainuddin menjatuhkan Norshahrul Idlan Talaha di dalam kotak penalti mengundang padah apabila pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan. 

Namun, sepakan Norshahrul Idlan ke penjuru sebelah kiri pintu gol Perak diselamatkan Mohd Nasril. 

Pada m-39, giliran pemain sayap kiri, Mohd Nurul Azwan Roya berpeluang meletakkan Kelantan di depan namun rembatannya diselamatkan Mohd Nasril setelah menerima umpanan Norshahrul Idlan sebelum itu. 

Tiga minit kemudian, Mohd Nurul Azwan sekali lagi gagal memecahkan kebuntuan pasukan apabila rembatan kaki kanannya terlalu lemah untuk membolosi pintu gol Perak. 

Bersambung babak kedua, Kelantan kembali melipat ganda asakan dan hasilnya pada m-53, Norshahrul Idlan berjaya menebus kegagalan menyempurnakan sepakan penalti dengan menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan malam tadi. 

Berpunca hantaran lintang Mohd Daudsu Jamaluddin ke dalam kotak penalti pasukan Perak, Norshahrul bijak memanfaatkan peluang dengan melakukan voli menarik memerangkap Mohd Nasril di pintu golnya.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pemain Perak kembali mengatur serangan dan pada m-63, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri turut mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila bijak memperdayakan tiga pemain pertahanan Kelantan namun rembatannya sedikit melewati pintu gol. 

Ternyata, ketiadaan penyerang utama Perak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang terpaksa diusung keluar pada pertengahan babak pertama setelah mengalami kecederaan, jelas memberi kesan kepada corak serangan pasukannya dalam perlawanan malam tadi. 

Selang seminit kemudian, pemain sayap yang terkenal dengan jolokan “Kelantan Ekpres”, S Chanturu turut mempunyai peluang terbaik untuk menjadikan kedudukan lebih selesa apabila melepasi kekangan dua pemain pertahanan Perak namun Mohd Nasril pantas meluru keluar menyelamatkan rembatan pemain tersebut. 

Seminit selepas itu, giliran Ketua Pasukan Perak, Shahrulnizam Mustapa pula menguji kehebatan Mohd Shahrizan Ismail di gawang gol Kelantan namun percubaannya daripada jarak 25 meter terus ke dakapan penjaga gol tersebut. 

Tiga minit kemudian, pasukan pelawat cemas seketika apabila pemain gantian, Muhammad Ramzul Zahini Adenan menyilangkan bola ke depan pintu gol namun Mohd Izuan terlepas peluang menampan hantaran tersebut sementara rembatan susulan Mohd Nurul Azwan pula hanya sekadar melintasi pintu gol Perak. 

Tidak banyak gerakan merbahaya yang ditonjolkan oleh Kelantan selepas itu kecuali melalui sepakan percuma Mohd Badhri yang ditepis keluar Mohd Nasril pada m-73 sementara rembatan kencang Chanturu enam minit berselang pula tersasar jauh daripada pintu gol Perak. 

Begitupun, sisa perjuangan anak didik Norizan Bakar untuk sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri di Kota Bharu berakhir apabila tandukan cantik Mohd Fazrul Hazli terus ke dakapan Mohd Shahrizan pada minit-minit akhir perlawanan. 

Kesebelasan utama pemain : 

KELANTAN : Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, S Subramaniam, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Mohd Badhri Mohd Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, S Chanturu, Mohd Izuan Salahuddin (Solehin Kanasian Abdullah) dan Norshahrul Idlan Talaha (Muhammad Ramzul Zahini Adenan)( Khairan Eroza Razali). 

FORMASI : 4-4-2 

:PERAK :: Mohd Nasril Mat Nourdin, Mohd Syahman Zainuddin, Mohd Hisyamuddin Shaari, Mohd Khairi Zainuddin, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri, K Nanthakumar, Shahrulnizam Mustapa (KP), Chan Wing Hoong, Mohd Shazuan Mohd Ashraf Mathews, Muhammad Nurridzuan dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Muhammad Nazri Mohd Kamal). 

FORMASI 4-4-2

0 komen:

Post a Comment