Thursday, June 16, 2011

Kelantan Yakin Muncul Juara

KOTA BHARU – Selepas dirundung malang tewas di pentas perlawanan akhir Piala FA 1-2 kepada Terengganu, Sabtu lalu, Kelantan bangkit melupakan episod duka tersebut apabila mengalahkan Perak 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam. 


Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, tiga mata yang diperoleh cukup penting, apatah lagi tampuk kejuaraan masih lagi belum memihak kepada pasukannya setelah dua pencabar terdekat terus menampakkan kedegilan untuk mengintai peluang memburu impian yang sama. 

“Kemenangan memang sukar ini dicapai, apatah lagi kita baru sahaja dalam proses pulih daripada kekecewaan kekalahan perlawanan akhir Piala FA tempoh hari. 

“Saya percaya kita sudah terlalu hampir dengan kejuaraan liga. Saya tidak mahu memikirkan nasib pasukan lain (Selangor dan Terengganu) yang sentiasa mencabar kita. Saya berfikiran positif bahawa Kelantan boleh menjadi juara liga musim ini. 

“Bukan senang bagi Terengganu berhadapan KL Felda United FC dan tidak mudah juga bagi Selangor menentang Perak di Ipoh. Saya akui kesukaran kita apabila bertemu Sabah, namun itu saya cukup yakin betapa kita mampu mengutip mata di Kota Kinabalu ,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Sementara itu, pihak pengurusan pasukan Kelantan telah memberi cuti rehat selama seminggu kepada semua pemain, setelah mereka penat mengharungi jadual perlawanan liga yang begitu padat sejak dua bulan lalu. 

“Saya mahu pemain menikmati cuti mereka sepuas-puasnya tanpa memikirkan tentang bola sepak. Saya tidak keraguan tentang komitmen pemain kerana mereka telah berikan yang terbaik sejak dua bulan lalu. 

“Saya mengharapkan kesemua enam pemain yang menyertai skuad kebangsaan tidak mengalami kecederaan kerana sudah pasti kita akan menggunakan khidmat mereka selepas ini. Norshahrul Idlan (Talaha) pula terpaksa direhatkan selama dua minggu kerana mengalami kecederaan hamstring dan mungkin diketepikan daripada skuad kebangsaan. 

“Sebaik sahaja mereka melaporkan diri, kita akan kembali memperkemaskan pasukan termasuk mengekalkan tahap kecergasan pemain. Kita masih ada masa dua minggu merangka persiapan pasukan bagi penentuan juara liga musim ini,” katanya.

0 komen:

Post a Comment