Friday, June 17, 2011

KAFA Kenal Pasti Dalang

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengenal pasti terdapat pihak tertentu, yang terlibat menyebarkan khabar angin bertujuan untuk menghakis kepercayaan peminat The Red Warriors terhadap pasukan bola sepak Kelantan sejak akhir-akhir ini. 

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini terbukti apabila ada pihak tertentu menyebarkan khabar angin, mengatakan perlawanan terakhir Liga Super di antara Sabah menentang Kelantan ,yang sememangnya berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 6 Julai nanti dipinda ke tempat lain lain. 


“Terdapat pihak tertentu yang tidak senang dengan kejayaan pasukan Kelantan. Kita membuat risikan dan mengenal pasti, ada satu kumpulan yang bergerak secara tersusun dengan sengaja menyebarkan berita yang tidak benar bertujuan untuk menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. 

“Ini bukan berlaku secara spontan tapi sememangnya terancang. Kita merakam video sekelompok kumpulan tertentu, yang mencetuskan masalah di dalam stadium ketika perlawanan dengan Perak tempoh hari. Kita juga mengenal pasti siapa dan daripada mana kumpulan itu. 

“Saya ingin tegaskan sekali lagi, bahawa semua perlawanan terakhir Liga Super termasuk pertemuan Sabah menentang Kelantan adalah kekal mengikut jadual yang ditetapkan. Tidak ada pindaan mengatakan kita akan bermain di Kota Bharu atau Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, semalam. 

Annuar berkata, khabar angin seperti itu begitu mengecewakan sama sekali kerana ianya menyusahkan ramai peminat bola sepak tempatan yang berhasrat untuk ke Kota Kinabalu pada 6 Julai nanti. 

“Saya khuatir sekiranya perkara ini berlaku secara berterusan, ia boleh menjejaskan pasukan kita. Ada pihak yang seolah-olah sengaja tidak menghormati peraturan dan pihak Kafa sebenarnya. Mereka sebenarnya bukan penyokong yang tulen,” katanya. 

Sementara itu, dalam menyemarakkan sokongan peminat terhadap pemain Kelantan ketika bertemu Sabah, Annuar turut mengumumkan pihaknya akan bekerjasama dengan kelab penyokong bagi menerbangkan sebanyak 10 gendang ke Kota Kinabalu pada 6 Julai nanti. 

“Untuk itu, Kafa berusaha menyediakan satu pakej istimewa bernilai RM690 merangkumi penerbangan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan sebaliknya. Ianya juga termasuk tempat penginapan, pengangkutan, makan pagi dan tengah hari serta tiket untuk menyaksikan perlawanan tersebut. 

“Selain memberikan subsidi di atas harga tersebut, kita juga mendapatkan kadar istimewa daripada pihak Air Asia. Tempahan hendaklah dibuat dengan menghubungi pihak Kafa sebelum 21 Jun ini.

0 komen:

Post a Comment