Friday, June 17, 2011

Ada pihak cuba jejaskan Red Warriors

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengenal pasti kumpulan yang dipercayai kurang senang dengan kejayaan Red Warriors dengan menyebarkan pelbagai khabar angin berkaitan pasukan itu.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, berdasarkan risikan, kumpulan tersebut hasrat untuk menghakis kepercayaan dan sokongan peminat kepada skuad Red Warriors.


Menurutnya, perkara tersebut dilakukan secara tersusun dengan hasrat menimbulkan kekeliruan di kalangan peminat setia Kelantan.

"Pada perlawanan Kelantan dengan Perak, kita berjaya merakamkan gelagat kelompok yang cuba membawa masuk masalah ke dalam stadium dan Kafa telah mengenal pasti latar belakang mereka.

"Saya khuatir jika fenomena ini berlaku ia akan menjejaskan pasukan dan kesan tersebut sudah mula dapat dilihat. Bagi saya mereka ini bukan penyokong yang tulen kepada Red Warriors," katanya di sini, semalam.

Annuar memberitahu, khabar angin terbaru yang dicanang oleh kumpulan terbabit kononnya perlawanan terakhir Liga Super antara Kelantan dengan Sabah yang dijadualkan di Stadium Likas, Kota Kinabalu akan dipindahkan ke Kota Bharu atau Kuala Lumpur.

"Saya tegaskan tiada keputusan sedemikian telah dibuat. Semua perlawanan yang dijadualkan pada 6 Julai ini berlangsung seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.

"Ini bermakna, Kelantan akan beraksi di Stadium Likas pada 8.15 malam dan bukan seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Katanya, bagi membolehkan penyokong memberikan sokongan pada kepada Red Warriors pada perlawanan tersebut, Kafa menyediakan pakej istimewa kepada mereka yang berminat untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

"Kita menyediakan pakej untuk penyokong dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu pergi dan balik pada 5 Julai dengan harga RM690 termasuk penginapan, sarapan dan tengahari serta tiket untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

"Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi pihak Kafa sebelum 21 Jun bagi memudahkan Kafa membuat tempahan," ujarnya.

0 komen:

Post a Comment