Monday, June 13, 2011

Gol Daudsu Bakar Semangat Penyu


JARINGAN sendiri Mohd Daudsu Jamaludin pada masa kecederaan perlawanan sebenar menjadi pencetus semangat kebangkitan skuad Terengganu dengan kemenangan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Skuad bimbingan Irfan Bakti yang ketinggalan menerusi gol pendahuluan pemain sayap Kelantan, Nurul Azwan Roya pada minit ke-80 langsung tidak menunjukkan tanda-tanda putus asa biarpun tempoh 90 minit sudah berakhir, malah mereka mempamerkan semangat juang tinggi memburu gol penyamaan.


Kapten Marzuki Yusof berkata detik jaringan itulah yang membentuk kepercayaan dalam diri setiap pemain.

“Sebenarnya jaringan sendiri Daudsu adalah penyelamat pasukan kami, tapi gol itu adalah hasil usaha rakan sepasukan yang tidak kenal erti putus asa,” kata Marzuki.

“Saya tidak anggap itu adalah hadiah daripada Daudsu kerana kami menyerang bertalu-talu di minit-minit akhir masa kecederaan dengan memperoleh banyak sepakan penjuru.

“Sebagai kapten, saya hanya memberi kata-kata semangat kepada rakan-rakan tapi kami semua berpegang kepada amanat jurulatih yang mahu semua pemain fokus dan mengukuhkan mental hingga ke wisel penamat.” Begitupun Marzuki menganggap Kelantan masih pasukan terbaik tetapi tuah tidak mengiringi mereka pada final itu.

0 komen:

Post a Comment