Sunday, January 21, 2018

Persija Jakarta juara Piala Super Boost Sportsfix


Kelab dari Indonesia, Persija Jakarta mencipta sejarah selepas muncul juara Kejohanan Bola Sepak Jemputan Piala Super Boost Sportsfix yang melabuhkan tirai, hari ini.

Kejayaan tersebut dibantu oleh kegagalan kelab Liga Super, Kelantan yang tewas mengejut 3-4 kepada kelab Thailand, Ratchaburi Mitr Phol FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Persija muncul juara kejohanan yang julung kali diadakan itu menerusi kelebihan jaringan berbanding pasukan Kelantan dan Ratchaburi FC walaupun ketiga-tiga pasukan berkenaan mengutip tiga mata.

Pada aksi malam ini, Ratchaburi FC terlebih dahulu berada di depan menerusi pemain import dari Korea Selatan, Kang Soo-il yang menyudahkan hantaran silang Phillip Roller pada minit ke-10 sebelum Do Dong Hyun menyamakan kedudukan untuk Kelantan pada minit ke-20.

Kelalaian benteng pertahanan Kelantan dihukum oleh Narakorn Noomchansakul yang menyudahkan hantaran Phillip Roller pada minit ke-36 dan keputusan 2-1 itu kekal sehingga berakhir babak pertama perlawanan.

Sebaik sahaja perlawanan bersambung, kedua-dua pasukan saling bertukar asakan namun tuah lebih memihak pasukan Ratchaburi yang meraih gol ketiga menerusi Roller yang melepaskan rembatan daripada luar kotak penalti bagi menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-55.

Kelantan bangkit menyusun kembali corak permainan dan berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi pemain import baharu dari Brazil, Bruno Lopes pada minit ke-74, sebelum pemain import dari Indonesia, Ferdinand Alfred Sinaga menjadikan kedudukan terikat 3-3, selang empat minit kemudian.

Kesilapan Khairul Fahmi yang tertampan percubaan pemain gantian Ratchaburi FC, Sila Srikampang ke dalam gawang sendiri pada minit ke-89 memberikan kemenangan kepada pasukan dari Thailand itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Lokman Hakim Ali menyampaikan piala kejohanan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Total Sports Asia, Marcus Luer yang mewakili pasukan Persija Jakarta yang telah pulang ke Indonesia pada Rabu lepas.

BERNAMA

0 komen:

Post a Comment