Wednesday, June 22, 2011

Kajol didenda RM1,000, dijel 1 Bulan

TANAH MERAH- Gara-gara memakai dan berlagak seperti perempuan di tempat awam, penyanyi dikir barat tersohor Kelantan, Kajol dijatuhkan hukuman denda RM1,000 dan penjara sebulan atau tiga bulan oleh Mahkhamah Rendah Syariah Tanah Merah, semalam. 

Gambar hiasan

Kajol atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Jeffri, 25, dijatuhi hukuman di bawah Syeksyen 7, Kanun Jenayah Syariah (KJS) 2/85 kerana memakai pakaian dan berlagak seperti perempuan di tempat awam.

Kajol yang berasal dari Kuala Betis, Gua Musang ditangkap sepasukan penguatkuasa dalam operasi mencegah di Padang Majlis Daerah pada 14 April lalu. 

Pegawai Jabatan Agama Islam Tanah Merah, Nik Ahmad Zuhdi Nik Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkata, Kajol dicekup ketika melakukan persembahan di sebuah tapak ekspo ketika operasi mencegah 14 April lalu dan dijatuhkan hukuman semalam. 

“Kajol dijatuhkan hukuman berkenaan dan membuat rayuan ke atas kes terbabit kerana ditangkap dalam keadaan berpakaian dan berlagak seperti perempuan,” katanya. 

Tahun lalu, penyanyi itu pernah ditahan pihak berkuasa agama Pasir Mas atas kesalahan sama sebelum dikenakan denda sebanyak RM800.

Kafa Sedia 2,000 Tiket Percuma

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memperuntukkan sebanyak 2,000 tiket percuma kepada pelajar sekolah sekitar Kota Bharu yang mahu menyaksikan perlawanan suku akhir pertama, pertemuan Kelantan menentang Johor di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada Jumaat ini. 

Naib Presiden Kafa merangkap Pengurus Pasukan, Datuk Othman Zakaria berkata, sebagai satu usaha menggalakkan pelajar sekolah terlibat dalam bidang sukan, pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan pihak sekolah mengagihkan tiket tersebut kepada pelajar sekolah di negeri ini. 


“Selain memberi sokongan kepada pasukan Kelantan, saya percaya usaha seperti ini mampu merangsang minat pelajar sekolah untuk terlibat dalam sukan bola sepak dengan lebih serius,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Pasukan di Kota Bharu, semalam. 

Menurutnya, bagi pelajar yang berminat menyaksikan perlawanan itu boleh mengemukakan nama mereka kepada pihak sekolah masing-masing untuk dimajukan kepada pihak Kafa dengan segera. 

“Kita mahu peminat hadir beramai-ramai di stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan skuad Piala Presiden Kelantan. Malah kumpulan gendang kelab penyokong dan Ultras Kelantan juga akan turut sama memberikan sokongan kepada pemain kita,” katanya. 

Sementara itu, Othman turut optimis pasukan yang terkenal jolokan The President Warriors itu mampu melakar sejarah mara ke perlawanan akhir berdasarkan rekod cemerlangnya muncul juara kumpulan sebelum ini. 

“Setelah sekian lama tercicir dalam saingan peringkat suku akhir, pada tahun ini kita berjaya menempatkan kembali dalam kelompok lapan pasukan terbaik. Saya yakin pasukan kita mampu mengatasi Johor dan mara ke peringkat separuh akhir. 

“Malah sekiranya kita berjaya mara ke perlawanan akhir, saya menjangkakan perlawanan tersebut dapat diadakan di Kota Bharu nanti berdasarkan rekod penyokong kita yang sentiasa memenuhi stadium setiap kali perlawanan berlangsung di sini. 

“Saya menaruh keyakinan yang tinggi dengan reputasi yang tunjukkan oleh para pemain muda ketika ini, hasrat kita untuk mara ke perlawanan akhir dan seterusnya muncul juara mungkin menjadi kenyataan,” katanya. 

Skuad kendalian bekas pemain negeri, Zahasmi Ismail kini giat menjalani latihan insentif di Padang Mardi, Pasir Tumbuh setiap hari sebagai persediaan menghadapi Johor pada Jumaat ini. 

Sementara itu, tiket-tiket bagi tempat duduk terbuka berharga RM5 dan astaka (RM10) akan mula dijual pada hari perlawanan Kelantan menentang Johor pada Jumaat ini.

Buru Gol Awal Elak Rasa Tertekan - Khairul Fahmi

SKUAD Olimpik negara perlu memburu gol awal bagi memastikan keadaan lebih selesa dan tidak tertekan ketika menentang Lebanon pada aksi kedua pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Kapten skuad Olimpik negara, Khairul Fahmi Che Mat mahu rakan-rakan sepasukannya segera bangkit mencari gol awal sekiranya mahu melayakkan diri ke pusingan ketiga.


"Kami sudah bersedia mengasak kubu lawan dan pertahankan gawang gol habis-habisan selepas seri tanpa jaringan dengan Lebanon di Beirut.

"Saya dan semua rakan sepasukan bertekad mahu memburu kejayaan menentang Lebanon di gelanggang sendiri nanti," katanya selepas tiba bersama skuad Olimpik negara dari Beirut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam.

Khairul Fahmi berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya berharap tidak akan menghampakan semua penyokong negara dan layak ke pusingan ketiga nanti merupakan hadiah kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Saya berharap semua peminat bola sepak tempatan akan membanjiri Stadium Nasional bagi memberi semangat serta sokongan kepada skuad negara," jelas penjaga gol Kelantan ini.

Skuad Olimpik negara mara ke pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0 pada Mac lalu.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow, Rusia, tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Sebelum itu, Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.