Saturday, May 14, 2011

Pesta Kelantan di Shah Alam


Dapat bekalan selesa di Shah Alam

KELANTAN sudah sebelah kaki untuk mengulangi kemaraan layak ke final Piala FA buat musim kedua berturut-turut selepas membuat kejutan membelasah Selangor 5-1 dalam saingan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan itu juga mengekalkan rekod bersih The Red Warriors ke atas Selangor dalam tiga pertemuan mereka, musim ini selepas dua kali menewaskan anak buah K Devan dalam pertembungan Liga Super termasuk perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah.

Norshahrul Idlan Talaha (tengah) meraikan kejayaan menyumbat gol buat pasukan Kelantan menentang Selangor pada saingan separuh akhir pertama Piala FA di Shah Alam, malam tadi

Kesungguhan Kelantan memburu kemenangan ke atas lawan yang mengecewakan mereka 4-1 pada final 2009 menerusi penentuan penalti itu terserlah sejak awal lagi dan nyaris membuka jaringan seawal minit ketiga, namun rembatan Mohd Nurul Azwan Roya dari jarak kira-kira 30 meter sekadar menggegar tiang gol.

Usaha pelawat membutirkan hasil pada minit ke-11 menerusi rembatan kencang Mohd Ramzulzahini Adenan yang memanfaatkan bola muntah daripada tampanan penjaga gol, Mohd Saiful Amar Sudar selepas dua percubaan awal Mohd Nurul Azwan dan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.

PEMAIN sayap Selangor, Amirulhadi Zainal dikepung dua pemain Kelantan pada saingan separuh akhir pertama Piala FA di Shah Alam, malam tadi

Gol itu nyata menyemarakkan anak buah Karathu dan minit ke-40, Mohd Ramzulzahini menambah satu lagi gol sebelum kapten pasukan Mohd Badhri Mohd Radzi menjadikan kedudukan 3-0, dua minit sebelum rehat selepas menolak masuk hantaran Mohd Nurul Azwan.

Bersambung babak kedua, Kelantan terus bernafsu untuk menambah gol dan memaksa pasukan Merah-Kuning lebih banyak bergantung kepada serangan balas untuk mencari gol. 
Devan kemudian membuat dua pertukaran serentak dengan memasukkan Rudie Ramli menggantikan Mohd Fadzli Saari dan Mohd Fitri Shazwan menggantikan Hardi Jaafar untuk menguatkan jentera tengah dan serangannya.

Percaturan itu bagaimanapun tidak membawa banyak perubahan, sebaliknya Kelantan yang berjaya menambah dua lagi gol menerusi Mohd Nurul Azwan m-67, Norshahrul Idlan m-71, sebelum Mohd Amri Yahyah meraih gol sagu hati buat Selangor pada minit terakhir permainan untuk menjadikan kedudukan muktamad 5-1.

Imej Misteri Dalam Jentera bomba


KUALA LUMPUR – Seorang pemandu peribadi, Rozaidi Ahmad, 42, terkejut dengan kemunculan imej misteri di dalam gambar yang dirakamnya semasa mengunjungi Hari Bomba Malaysia di Dataran Merdeka di sini baru-baru ini.

Sebuah jentera bomba yang memaparkan imej misteri wanita berambut panjang (dalam bulatan)

Menurutnya, imej tersebut yang menyerupai seorang wanita berambut panjang dikesan pada gambar yang dirakam menggunakan kamera digital pada 7 Mei lalu.

“Kami sekeluarga menyedari imej pelik berkenaan dua hari selepas itu semasa anak sulung saya memasukkan gambar-gambar daripada kamera ke komputer riba.

“Kami terkejut apabila ada imej lain yang menyerupai seorang wanita berambut panjang di dalam jentera bomba,” ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam.

Terbangkan Pesawat Vintaj


KETIKA banyak syarikat pengeluar pesawat dan teknologi aviasi di dunia hari ini berlumba-lumba menghasilkan kapal terbang canggih untuk kegunaan komersial dan juga ketenteraan, lain pula halnya dengan sekumpulan jurutera penerbangan di Hungary.

Mereka seolah-olah terkebelakang apabila sibuk mencurahkan idea, masa dan tenaga untuk membina semula sebuah model pesawat lama mengikut spesifikasi asalnya.

Revy dan pasukannya boleh berbangga dengan kemampuan mereka menghasilkan pesawat mengikut spesifikasi asal.

Seorang pakar penerbangan di negara beriklim Mediterranean itu, Laszlo Revy, bersama sepasukan mekanik bertungkus-lumus menyiapkan proses akhir replika enjin pesawat Anzani tiga silinder dengan kuasa kuda 4,000cc. Pembinaan kapal terbang vintaj yang diberi nama Kvasz No. 1 itu mengambil masa selama lima tahun.

Ia dibina dalam sebuah gedung di Lapangan Udara Budapest-Farkashegy di bawah penyeliaan penuh oleh Revy dan ketua mekanik, Laszlo Ungar.

KUASA njin dijana dengan enjin asimetrik buatan khas.

Mereka berusaha ‘menghidupkan’ semula reka bentuk pesawat lama sama seperti rekaan perintis industri aviasi Hungary, Andras Kvasz. Pesawat asal tersebut telah dibina pada tahun 1911 dan berjaya membuat penerbangan awalnya di Rakos Field dekat Budapest.

Pembinaan semula model ciptaan Kvasz yang mempunyai struktur kemasan rangka kayu dan bersayap kanvas tersebut dikuasakan dengan enjin asimetrik buatan khas. Ia kini menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa Penerbangan Hungary untuk memberi izin penerbangan sulungnya.

Kijang Mengamuk



“PERLAWANAN terbaik pada musim ini.” Itu reaksi ketua jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu selepas skuad The Red Warriors itu hampir pasti ke final Piala FA musim ini apabila membelasah Selangor 5-1 pada separuh akhir pertama malam tadi.

Menurut Karathu, skuad bimbingannya itu mempamerkan corak permainan menarik dengan pelbagai teknik hantaran dan bijak mengubah tempo perlawanan untuk memerangkap Selangor buat kali kedua di Stadium Shah Alam musim ini.

“Mereka menunjukkan keazaman tinggi dengan kepelbagaian rentak permainan. Malah kami sepatutnya mendapat jaringan yang lebih besar selepas dua percubaan menggegar palang dan tiang lawan pada separuh masa pertama.

“Namun selepas dua gol awal saya memang merasakan kami boleh mendapat lebih daripada itu dan ternyata tiga gol lagi dijaringkan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Karathu berkata kemenangan itu dicapai hasil kerjasama antara semua pemain dan itu adalah karektor yang diinginkan beliau agar skuad bimbingannya terus cemerlang musim ini.

Kelantan bagaimanapun kehilangan dua pemain pertahanan iaitu Mohd Zairul Fitri Ishak dan Mohd Farisham Ismail akibat penggantungan kad kuning dalam perlawanan timbal balik di Kota Bharu, Isnin ini.

Sementara itu ketua jurulatih Selangor, K Devan ‘kehilangan suara’ dan tidak dapat memberikan kenyataan media selepas menyaksikan anak-anak buahnya tewas untuk kali ketiga di tangan Kelantan musim ini.

“Kalah...kalah,” itu saja yang diperkatakannya selepas dilihat menjerit dan memberikan arahan kepada pemainnya sepanjang perlawanan berlangsung, malam tadi.

Selangor dibelasah Teruk


KUALA LUMPUR - Sebelah tangan Kelantan sudah menguak pintu perlawanan akhir selepas membelasah Selangor 5-1 pada separuh akhir bola sepak Piala FA sementara Terengganu bangkit dengan mengagumkan untuk turut merebut satu lagi tiket setelah mengatasi Pahang 3-2, malam tadi.

Anak buah K. Devan yang juga juara 2009, bagaikan ‘dipukau’ dengan dua gol Ramzul Zahini Adnan pada minit ke-10 dan 40 selain masing-masing satu daripada ketua pasukan, Badri Radzi (43), Nurul Azwan Roya (67) dan Norshahrul Idlan Talaha (71) di Stadium Shah Alam.

Pemain Selangor, Mohd. Amirulhadi Zainal (tiga dari kiri) berjaya melepasi halangan dua pemain Kelantan, Zairul Fitree Ishak (dua dari kiri) dan Mohd. Nurul Azwan Roya pada pertemuan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi. Kelantan menang 5-1

Tuan rumah beroleh gol sagu hati menerusi ketua pasukan, Amri Yahyah dalam masa kecederaan untuk mencari sedikit modal bagi terus bersaing pada separuh akhir kedua, Isnin ini sekalipun menempah laluan yang amat berliku apatah lagi dengan peraturan jaringan tempat lawan.

Sebaliknya, pelawat bimbingan Datuk M. Karathu bakal kembali ke Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu dengan cukup selesa malah sudah boleh memikirkan untuk hanya menurunkan barisan simpanan mahupun lebih banyak bertahan.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan pula, Tok Gajah pula mensia-siakan pendahuluan dua gol menerusi sepakan bebas kaki kiri Munir Amran dan R. Surendren masing-masing pada minit ke-47 dan 54 gara-gara kelalaian barisan belakangnya pada setengah jam terakhir.

Terengganu yang diterajui Irfan Bakti Abu Salim sebaliknya kembali garang malah memanfaatkan keadaan tertekan lawan apabila merapatkan kedudukan menerusi jaringan sendiri pemain Pahang, Saifulnizam Miswan pada minit ke-63 yang tertampan sepakan Ashari Samsudin.

Wan Aliff Jasmi menambah derita tuan rumah dengan tandukan jarak dekatnya pada minit ke-81 sebelum Ismail Faruqi memastikan Sang Penyu beroleh kemenangan dan kelebihan satu gol di Kuala Terengganu, Isnin ini menerusi tandukannya dalam minit terakhir perlawanan.

Sementara itu, PKNS menempah tempat kenaikan ke Liga Super musim depan (sekiranya tiada pindaan peraturan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan) setelah menumpaskan Sarawak 2-0 pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Petaling Jaya.

Kelab Selangor bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu kini mengumpul 45 mata daripada 17 perlawanan sekali gus sukar dikejar untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok dua teratas Liga Perdana dan dipisahkan dengan sembilan mata berbanding Sarawak.

Kelantan Ratah Gergasi Merah


KELANTAN boleh dikatakan sudah hampir pasti layak ke final Piala FA setelah membelasah teruk Selangor 5-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam malam tadi.

Dua jaringan Ramzul Zahini Adenan serta satu gol menerusi kapten, Badhri Radzi, Nurul Azwan Roya dan Norshahrul Idlan Talaha memastikan bekalan selesa Kelantan untuk separuh akhir kedua di Kota Bharu, Isnin ini.

PENYERANG Kelantan, Khalid Jamlus (kiri) diasak dua pemain Selangor, Mohd Buyamin Omar (tengah)) dan Yosri Derma Raju pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi

Di hadapan 10,000 penyokong Selangor dan 20,000 penyokong Kelantan, pasukan pelawat tidak perlu menunggu lama untuk gol pertama pada minit ke-10 apabila Ramzul menolak masuk bola muntah selepas dua percubaan awal Nurul Azwan dan Norshahrul gagal ditangkap kemas penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar.

Kelantan terus garang apabila berjaya menambah gol kedua juga menerusi Ramzul yang pantas menyambut hantaran Norshahrul hasil sepakan percuma Badhri pada minit ke-40.

Tiga minit kemudian, Kelantan mendapat gol ketiga menerusi Badhri yang mudah menolak masuk bola hantaran Nurul Azwan dari sebelah kiri.

Pada babak kedua, Kelantan memasukkan Khalid Jamlus bagi menggantikan Ramzul yang cedera pada minit ke-54 dan seminit kemudian, Selangor melakukan dua pertukaran serentak memasukkan Rudie Ramli dan Fitri Shazwan Raduwan menggantikan Fadzli Saari dan Hardi Jaafar.

Namun kegarangan Kelantan sukar dibendung apabila mereka berjaya menambah gol keempat menerusi penyudah Nurul Azwan hasil serangan balas pada minit ke-67.

Gol kelima pula menyusul pada minit ke-71 selepas Norshahrul tenang menyudahkan lorongan Khalid.

Jurulatih Selangor, K. Devan akhirnya mengeluarkan Saiful Amar dan memasukkan penjaga gol simpanan, Iqbal Suhaimi pada minit ke-74 bagi mengelakkan gawang mereka terus dibolosi.

Rekod cemerlang penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang gawangnya tidak dibolosi sepanjang lima perlawanan berturut-turut musnah apabila Amri Yahyah meledak gol tunggal Selangor pada minit ke-90.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama, Terengganu menewaskan Pahang 3-2 di Kuantan.