Saturday, September 17, 2011

Arca Buddha dari Pakistan

HARTA karun berharga dari kawasan terpencil penganut Buddha di Pakistan kini boleh disaksikan di kota New York menerusi satu pameran seni.

Penganjuran pameran itu sebelum ini terpaksa mengharungi pelbagai cabaran seperti banjir, rusuhan dan letupan yang dikaitkan dengan keganasan. Semua itu mewarnai hubungan diplomatik antara Amerika Syarikat (AS) dengan Pakistan.

PATUNG lama yang menunjukkan seorang wanita menjaga tiga anak kecil turut dipamerkan.

Pameran bertemakan Warisan Penganut Buddha di Pakistan: Kesenian Gandhara itu menampilkan beberapa arca yang sebelum ini tidak pernah dilihat di AS.

Menerusi pendedahan Asia Society, tugasan itu membongkar satu kesenian yang sukar dan unik untuk dikaji berkaitan sejarah awal Islam di kawasan Gandhara yang terletak di barat laut Pakistan.

Asia Society adalah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menghubungkan dunia Asia dan Barat melalui seni, pendidikan, bisnes dan polisi.

Gandhara terletak di Lembah Swat yang sinonim dengan pemberontakan gerila dan puak pelampau yang mempunyai rangkaian dengan puak Taliban terhadap kerajaan.

Namun, pameran tersebut jelas menunjukkan Gandhara dahulunya pernah dipenuhi dengan seni dan kebudayaan dalam tempoh masa yang berkembang sejak kurun pertama ke kurun kelima.

"Meskipun imej Pakistan yang telah dicop sebagai kawasan pelampau untuk berbuat keganasan, kawasan ini juga sebenarnya dikenali sebagai tempat yang mengekalkan warisan nenek moyang," kata Pengarah Muzium Asia Society, Melissa Chiu.

Pengaruh Greek

SEORANG sami sedang membelek sebuah buku di pameran yang kini berlangsung di New York.

Ukiran batu dan kerja-kerja seni melibatkan ukiran emas dan tembaga mencerminkan pengaruh purba Greek, Rom, India, Parsi dan Buddha.

Figura Buddha, termasuk satu daripada tiga yang digelar 'Buddha Kurus' dan lainnya yang masih utuh walaupun telah berusia lebih dari ribuan tahun itu mempunyai gaya campuran yang menarik sekali gus memberi gambaran kepada kajian dan lakaran budaya.

Bagaimanapun, cerita mengenai karya-karya seni itu dibawa dari muzium di Lahore dan Karachi ke Manhattan kurang menyerlah berbanding peristiwa yang telah dilalui sejak berkurun lamanya.

Chui memberitahu, Asia Society telah bekerja keras selama hampir dua tahun untuk membawa sekurang-kurangnya 70 jenis barang berharga itu ke New York.

Berhadapan dengan kerenah hampir 10 lapisan birokrasi menjadikan tugas itu lebih sukar. Hal-hal logistiknya berdepan pula dengan situasi darurat yang disebabkan oleh malapetaka banjir tahun lalu.

Kemudian, selepas kertas kerja yang bertimbun telah disusun, kerajaan telah membubarkan kementerian kebudayaan sebagai langkah penyusunan semula.

"Apa yang menyedihkan, kami telahpun memeterai perjanjian dengan kementerian kebudayaan tetapi ia tidak lagi berguna setelah dibubarkan," keluh Chiu.

Pembukaan yang sepatutnya dijadualkan pada bulan Mac lalu akhirnya tertangguh.

Transaksi antara dua negara itu dikeruhkan lagi dengan operasi menembak mati oleh Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) ke atas dua warga Pakistan.

Kemuncak persetujuan

UKIRAN batu yang menunjukkan jalan hidup Buddha.

Pembunuhan Osama bin Laden di Pakistan dalam serbuan pada bulan Mei lalu oleh pasukan operasi khas AS telah memuncakkan desakan agar persetujuan yang lebih teliti antara kedua-dua negara dilaksanakan.

Akhirnya, selepas melalui pelbagai cabaran, barulah persetujuan itu dicapai. Namun, walaupun kerja-kerja telah dimulakan untuk membungkus dan membawa artifak berharga itu dengan kapal, nasib pameran tersebut masih tergantung.

"Di Karachi, mereka terpaksa berhadapan dengan rusuhan yang berlaku pada minggu artifak itu dibungkus. Mereka yang takut enggan meninggalkan rumah mereka dan akhirnya, petugas muzium terpaksa mencari dan mengambilnya di rumah-rumah," jelas Chiu.

Chiu yang menggelarkan pameran tersebut 'peluang seumur hidup' memberitahu, kesukaran untuk menggagalkan penganjuran pameran itu seharusnya memberi inspirasi.

"Lebih menarik, terlalu ramai orang di Pakistan yang membantu dan sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk memastikan pameran itu berjaya. Ia secara tidak langsung menunjukkan kepada AS sisi lain Pakistan, iaitu warisan seni budaya yang agung," kata wanita itu.

Duta Pakistan ke AS di New York bercakap dengan Chiu setiap hari selama berbulan-bulan. Kemudian, dia menghubungi Presiden dan menteri lain untuk membantu sehinggalah pameran tersebut menjadi kenyataan.

Antara karya utama pameran yang akan berlangsung sehingga 30 Oktober depan adalah ukiran luar biasa bertajuk Vision of Buddha Paradise.

Walaupun kini majoriti rakyat Pakistan beragama Islam, semua kerja seni sentiasa dijaga dengan berhati-hati dan dihormati di muzium tempatan. Kata Chiu, ia adalah satu irama yang masih hidup. - AFP

0 komen:

Post a Comment