Friday, August 26, 2011

3 Suspek Bunuh Warga Jepun ditahan

SHAH ALAM: Polis menahan tiga lelaki warga asing bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh dan samun dua lelaki Jepun di hotel empat bintang di Jalan Ampang, pada Isnin lalu.

Ketiga-tiga suspek yang berumur 20 hingga 35 tahun itu dipercayai mengenali kedua-dua mangsa yang juga ahli perniagaan.


Ketua Jabatan Siasatan Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata setakat ini polis belum menjumpai barangan milik mangsa untuk dikaitkan dengan kes berkenaan.

“Kedua-dua mangsa disamun RM110,000, tetapi polis tidak menemui wang berkenaan ketika ketiga-tiga suspek ditangkap. Bagaimanapun, polis masih meneruskan siasatan kes ini,” katanya.

Mohd Adnan berkata, ketiga-tiga suspek direman sehingga 31 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian yang berlaku antara jam 1 pagi pada Isnin lalu, polis dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa warga Jepun yang berumur 50-an oleh pihak pengurusan hotel.

Rakan mangsa, juga berusia 50-an ditemui diikat tangan dan kakinya dalam bilik berkenaan, namun cedera ringan.

Kelantan Kekal Cemerlang

KOTA BHARU - Kelantan meneruskan momentum cemerlang dalam aksi perlawanan persahabatan pra-Piala Malaysia setelah mengalahkan pasukan berstatus kelab, T-Team, 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam. 

Dengan penampilan barisan terkuat yang disifatkan bayangan utama pasukan yang akan menggalas tugas dalam kempen Piala Malaysia tidak lama lagi, The Red Warriors tidak perlu menunggu terlalu lama untuk memperoleh gol pertamanya. 


Seawal m-14 perlawanan, Kelantan dihadiahkan sepakan penalti apabila penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dijatuhkan Ketua Pasukan T-Team, Rosdi Talib dalam kotak penalti. 

Ketua pasukan, Muhd Badhri Radzi mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk gol pertama Kelantan. 

Ketinggalan satu gol tidak memberi tekanan kepada anak buah Yunus Aliff sebaliknya bersemangat mengatur serangan ke pintu gol Kelantan. 

Bezanya tiga minit kemudian, Mohd Fitri Omar menerima umpanan cantik Mohd Norfarhan Muhammad, namun terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan setelah dikesan berada dalam kedudukan offside oleh penjaga garisan. 

Tiga minit berselang, kelonggaran benteng pertahanan T-Team terserlah apabila pemain pertahanan, Norfadzly Alias gagal menampan kemas bola di dalam kotak penalti. 

Namun penyerang pinjaman, Azammuddin Mohd Akil pula lambat melepaskan rembatan ke pintu pasukan pelawat setelah Mohd Jibrail Kamaron Baharin sudah pun tertewas di posisinya. 

Gol penyamaan menjelma pada m-24 perlawanan, apabila tindakan penjaga gol Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail menjatuhkan Shamsul Kamal Mohamad dalam kotak penalti mengundang padah. 

Pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada pasukan pelawat. Penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini, Mohd Fitri tenang merembat ke penjuru sebelah kanan untuk gol penyamaan, 

Pada m-37, Azammuddin menebus kembali kesilapannya apabila menjaringkan gol kedua untuk Kelantan. Menampan kemas hantaran lintang S Canturu dalam kotak penalti, Azammuddin yang tidak dikawal mudah menguis masuk untuk menceriakan hampir 10,000 penyokong setia Kelantan. 

Minit-minit akhir babak pertama, seharusnya Kelantan berada dalam keadaan selesa namun kegopohan Muhd Badhri yang menyepak liar ke sebelah kiri pintu gol T-Team menyaksikan keputusan kekal 2-1 sebaik pengadil meniup wisel perlawanan. 

Tiada pertukaran pemain bagi kedua-dua pasukan sebaik babak kedua bermula. Ancaman pasukan pelawat bermula pada m-55 menerusi percubaan bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin namun sepakan percuma diambilnya melewati pintu gol. 

Enam minit berselang, pemain tengah Tengku Hasbullah Raja Hassan mencuri perhatian apabila melepaskan rembatan kencang dari tengah memaksa penjaga gol, Mohd Shahrizan menepis keluar rembatan tersebut. 

Tiga minit kemudian, Muhd Badhri terus menjarakkan kedudukan apabila menjaringkan gol ketiga Kelantan. Berpunca gerakan solonya dari tengah padang, Muhd Badhri bijak melepasi kekangan tiga pemain T-Team sebelum merembat kencang menewaskan Mohd Jibrail Kamaron Baharin di pintu golnya. 

Namun Muhd Badhri terlepas peluang jaringkan hatrik apabila rembatan jarak dekatnya tiga minit selepas itu ditepis keluar Mohd Jibrail Kamaron. 

Lima minit sebelum perlawanan berakhir, Norshahrul Idlan bijak memperdayakan tiga pemain pertahanan T-Team di tepi garisan gol, walau rembatannya diselamatkan penjaga gol gantian, Ismail Abd Rahman. 

KESEBELASAN UTAMA

KELANTAN: Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail, S Subramaniam, Mohamad Ab Aziz Ismail (Khairan Eruan Razali), Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP) (Muhammad Ramzul Zahini Adenan), Mohd Shakir Shaari, S Chanturu (Khairul Izuan Rosli), Azammuddin Mohd Akil dan Norshahrul Idlan Talaha. 

FORMASI : 4-5-1 

T-TEAM: Mohd Jibrail Kamaron Baharin (Ismail Abd Rahman), Subri Sulong (Mohd Shahrul Ezrain Samsudin), Azizi Matt Rose (Hasbullah Awang), Rosdi Talib (KP), Norfazly Alias, Zairo Anuar Zailani (Rosli Muda), Tengku Hasbullah Raja Hassan, Indra Putra Mahayuddin, Shamsul Kamal Mohamad (Khairul Izwan Khalid), Mohd Norfarhan Muhammad dan Mohd Fitri Omar (Mohd Haris Safwan Md Kamal). 

FORMASI : 4-4-2

Friday, August 19, 2011

Selangor Tumbang Lagi

SHAH ALAM - Badi kekalahan Selangor seakan tidak boleh dipadamkan apabila sekali lagi kecundang 0-1 kepada musuh ketatnya, Kelantan dalam aksi perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam semalam. 

Stadium Shah Alam sememangnya bukan lagi gelanggang kebal bagi Selangor sebaliknya harus akur menerusi jaringan tunggal pemain berstatus ‘pinjaman’ dari Pahang, Azammudin Mohd Akil pada m-29 dalam perlawanan tersebut. 


Seawal minit ke-14, Kelantan terlebih menguji pintu gol The Red Giants menerusi rembatan Kapten Pasukann, Muhd Badhri Radzi namun mudah diselamatkan Mohd Iqbal Mohd Suhaimi. 

Selangor yang turut menampilkan pemain pinjaman dari skuad Harimau Muda A, Haziq Zikri Elias dalam perlawanan ini turut mempunyai peluang menerusi penyerang licik, Mohd Fitri Shazwan Raduwan pada m-26 namun terjerat dengan perangkap offside oleh benteng pertahanan Kelantan. 

Sehinggalah tiga minit kemudian, stadium bergema dengan sorakan hampir 5,000 penyokong setia The Red Warriors apabila Azammuddin menjaringkan gol pertama sekali gus membawa kemenangan untuk Kelantan. 

Berpunca daripada hantaran Muhd Badhri dari tengah ke dalam kotak penalti, Azammuddin bijak meloloskan diri daripada benteng pertahanan Selangor sebelum memperdayakan Mohd Iqbal seterusnya melakukan rembatan mudah untuk gol kemenangan Kelantan. 

Memasuki babak kedua, kecederaan yang dialami Mohd Rizal Fahmi memaksa beliau meninggalkan padang namun kemasukan pemain Piala Presiden, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim tampak tidak banyak membantu sebaliknya beliau dilihat seakan gugup beraksi dalam perlawanan malam semalam. 

Pemain bek kiri kebangsaan, Mohd Asraruddin Putra Omar hampir menyamakan kedudukan untuk pasukannya pada m-86, namun tandukannya hanya sekadar menggegarkan palang gol Kelantan. 

Minit-minit akhir perlawanan, Kelantan seharusnya memperoleh gol kedua namun pemain gantian, Mohd Nizab Ayub memilih untuk menyepak tinggi ke arah pintu gol Selangor rentetan percubaan Mohamad Aris Zaidi sebelum itu. 

KESEBELASAN UTAMA PEMAIN: 

SELANGOR: Mohd Iqbal Mohd Suhaimi, P Gunalan (Mohd Asraruddin Putra Omar), Yosri Derma Raju, Mohd Razlan Roslan, Mohd Nasriq Baharom, Mohd Hardi Jaafar, Mohd Amri Yahyah (KP), Haziq Zikri Elias (Mohd Amirulhadi Zainal), Rudie Ramli (Azidan Sarudin), Mohd Fitri Shazwan Raduwan dan Mohd Fadzli Shaari (Shafiq Rahim). 

KELANTAN: Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Daudsu Jamaluddin, S Subramaniam, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid (Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim), Mohammad Ab Aziz Ismail, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari (Khairan Eruan Razali), Solehin Kanasian Abdullah (Mohd Nizad Ayub), S Chanturu (Mohamad Aris Zaidi) Azammuddin Mohd Akil (R Surendran) dan Norshahrul Idlan Talaha.

Wednesday, August 17, 2011

Khutbah Jumaat Nuzul Quran 1432H



 (19 Ramadhan 1432 / 19 Ogos 2011)
KHUTBAH JUMAAT NUZUL QURAN 1432H
 اَلْحَمْدُ   لِلَّهِ الْقَائِلِ،
الٓمٓ ﴿١﴾ ذَ‌ٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًۭى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾
أَشْهَدُ   أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ     وَأَشْهَدُ   أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ,  وَرَسُوْلُهُ
 اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ  وَعَلَى آلِهِ   وَأَصْحَابِهِ  وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !    اتَّقُواْ  اللَّهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ    وَلَاتَمُوْتُنَّ  إِلَّا  وَأَنْتُمْ   مُّسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah !

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Hadirin yang dirahmati Allah,

17 Ramadhan merupakan suatu tarikh yang amat bermakna kepada orang yang beriman iaitu Nuzul Al-Quran atau penurunan al-Quran, Kalam Allah s.w.t. yang berupa mukjizat, yang diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang dikira sebagai ibadat dengan membacanya, bermula dari Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan Surah An-Nas.  

Sidang Jumaat Sekelian,

Penurunan Al-Quran secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia, berlaku pada 17 Ramadhan. Al-Quran seterusnya diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah s.a.w. mengikut ketetapan dan perintah Allah dalam jangka masa lebih kurang 23 tahun. Firman Allah s.w.t.:

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ


Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pembeda antara haq dan batil” - Surah al Baqarah ayat 185.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

        Berapa ramai di kalangan umat Islam yang benar-benar menyedari bahawa al-Quran adalah merupakan mukjizat yang paling besar diberikan oleh Allah kepada manusia. Kehebatan bahasanya, keindahan ayatnya dan keunggulan isi kandungannya menjadikan al-Quran tidak mampu ditandingi oleh mana-mana kitab lain. Cabaran Allah terhadap manusia dari zaman berzaman tidak pernah disahut sehingga ke hari ini.

وَإِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍۢ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا۟ بِسُورَةٍۢ مِّن مِّثْلِهِۦ وَٱدْعُوا۟ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ ﴿٢٣﴾


Sekiranya kamu merasa ragu tentang apa yang kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka datangkanlah satu surah yang setanding dengannya serta ajaklah saksi-saksi kamu (tuhan-tuhan yang kamu sembah) selain daripada Allah jika kamu orang yang benar - Surah al Baqarah : 23.

Saudara Sidang Jumaat yang dimuliakan,
        Al-Quran telah terbukti berjaya membentuk para sahabat menjadi generasi al-Quran yang unik ( جِيْلُ الْقُرْآنِ الْفَرِيْد ) di bawah pentarbiahan secara langsung oleh Rasulullah saw. Generasi ini telah membawa panji-panji kebenaran Islam sehingga dikecapi oleh umat manusia sejagat. Generasi ini berjaya membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada pengabdian sepenuhnya kepada Allah. Generasi ini telah berjaya mengeluarkan segala bentuk penindasan dan kezaliman sistem ciptaan manusia kepada keadilan Islam. Kehebatan umat Islam yang berpegang teguh kepada Al-Quran telah diakui oleh Perdana Menteri Britain yang pertama sebagaimana ungkapannya:

“Selama mana kitab ini (Al-Quran) berada di tangan orang Islam, maka selama itulah Eropah tidak akan dapat menguasai Timur Tengah”

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

        Umat Islam bagaikan anak ayam kehilangan ibu apabila hilangnya sistem khilafah. Umat Islam bagaikan kehilangan tempat mengadu segala masalah yang kita hadapi. Kita hanya mampu merayu kepada musuh agar tidak menzalimi kita kerana kita tidak dapat mengharapkan bantuan daripada negara-negara umat Islam yang lemah dan berpecah belah.  Kekuatan umat Islam tidak akan dapat dikembalikan selama mana kita tidak menjadikan al-Quran sebagai perlembagaan hidup kita.

Hadirin yang dirahmati Allah,

        Kesalahan besar yang dilakukan oleh Umat Islam hari ini yang menyebabkan mereka gagal menjadi manusia yang hebat dan bertaqwa adalah kerana kita meninggalkan Al-Quran samada secara sedar atau tidak sedar. Imam Ibnu Katsir menjelaskan maksud meninggalkan Quran sebagai berikut :
a.   Tidak membaca Al-Quran dan tidak mahu mendengarkannya.
b.   Tidak beriman dengan ajaran Al-Quran.
c.   Tidak mengkaji dan memahami Al-Quran.
d.   Tidak membenarkan isi kandungan Al-Quran.
e.   Tidak mengamalkan ajaran Al-Quran.
f.    Berpaling daripada Al-Quran kepada yang lain

Muslimin yang dirahmati Allah,

        Kita selalu mengatakan kita berpegang teguh dan tidak meninggalkan al-Quran. Kita sering mendengar ungkapan mengajak manusia kembali kepada al-Quran. Namun kita masih melihat berbagai tindakan kita yang bercanggah dengan al-Quran. Kita seringkali memutuskan sesuatu dan kemudiannya mencari dalil keharusannya di dalam al-Quran. Dalam urusan kehidupan seharian selain persoalan ibadat, kita sering kali tidak bertanya apa kata al-Quran seolah-olahnya urusan kehidupan tidak ada kena mengena dengan al-Quran. Kita mengatakan bahawa isi kandungan al-Quran adalah yang terbaik tetapi kita masih memilih untuk melaksanakan peraturan yang bercanggah dengan al-Quran.    

Hadirin yang dirahmati Allah,

        Bulan Ramadhan inilah peluang yang terbaik bagi kita untuk mengelakkan kita daripada tergolong dalam kalangan mereka yang meninggalkan Al-Quran.  Apa yang penting kita mesti memastikan adanya peningkatan di setiap Ramadhan yang kita lalui dan yang kita tinggalkan. Daripada hanya mendengar bacaan Al-Quran kepada membacanya dengan penuh keimanan. Daripada membaca kepada mengkaji dan memahami. Daripada memahami kepada membenarkannya. Daripada membenarkannya kepada mengamalkannya dan mengutamakannya daripada segala yang lain daripadanya. Jika kita masih masih memandang serong apatah lagi menentang ajaran al-Quran maka Ramadhan sebenarnya memang bukan untuk kita, maka bersedialah kita untuk menerima pembalasan dari Allah swt.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.   


Malam Ini Persahabatan Selangor-Kelantan

DUA pasukan gergasi, Selangor dan Kelantan bakal bertembung pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam ini sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia bermula 6 September depan.

Bagi Selangor, ia merupakan aksi persahabatan keempat mereka selepas menewaskan skuad kebang- saan (1-0) dan ATM (1-0) selain seri 0-0 dengan Felda United, Sabtu lalu.

Kelantan pula yang kini dalam siri aksi persahaba- tan di Lembah Klang telah bermula garang dengan membelasah Kuala Lumpur 5-0 pada aksi di Stadium Selayang, Ahad lalu.


Jurulatih Selangor, K. Devan memandang positif perlawanan persahabatan menentang Kelantan malam ini meskipun pasukannya belum mampu mene- waskan lawan itu sepanjang musim ini.

"Bagi saya, perlawanan menentang Kelantan ini cukup penting bagi menguji kekuatan dan kelemahan kita sele- pas mengharungi tiga aksi persahabatan setakat ini.

"Ia bakal memberi ujian sebenar buat kita bagi me- nilai keupayaan pasukan menjelang tiga minggu se- belum saingan sebenar bermula," kata Devan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, Bendahari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk S. Sivasundaram memberi- tahu bahawa tiket-tiket bagi perlawanan malam ini akan mula dijual pada pukul 1 tengah hari di kaunter tiket pintu utama stadium.

"Tiket dewasa RM5 manakala kanak-kanak bawah 12 tahun masuk percuma. Kaunter di Pintu C (ber- dekatan Pasar Raya Giant) pula hanya akan dibuka sebelum perlawanan bermula.

"Sepak mula perlawanan pukul 10 malam dan kami harap agar para penyokong kedua-dua pasukan hadir beramai-ramai kerana Selangor dan Kelantan hanya boleh bertembung seawal aksi separuh akhir Piala Malaysia musim ini," kata Sivasundaram.

Bagi saingan Kumpulan D, Selangor akan bertemu T-Team di Kuala Terengganu pada 6 September, PDRM di Shah Alam (10 September), Kuala Lumpur di Selayang (13 September), T-Team di Shah Alam (17 September), PDRM di Paroi (24 September) dan Kuala Lumpur di Shah Alam (27 September).