Wednesday, July 6, 2011

Tindakan Pantas Bapa

TUMPAT – Tindakan pantas seorang bapa membawa keluar tiga anaknya berjaya menyelamatkan mereka daripada rentung dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Kota Kubang Labu dekat sini, tengah hari semalam. 

Bagaimanapun, anak bongsu Mohd Affandy Mamat, 23, Balqis yang berusia setahun melecur lengan dan belakang akibat bahang panas ketika usaha bapanya membawa keluar dari rumah kayu berkembar yang disewa hampir setahun itu. 


Mohd Affandy berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan tersedar apabila terhidu bau asap serta sesak nafas apabila ruang rumahnya diselubungi asap. 

Menurutnya, dia dengan pantas terus ke dapur untuk memadam api, tetapi tidak berjaya kerana api semakin marak yang berpunca dari rumah sebelah yang berkembar dengan rumahnya. 

“Dalam keadaan kelam kabut itu, saya mencari anak-anak saya yang ketika itu dua daripada anak saya tidur dalam bilik. 

“Manakala seorang lagi tidur di sebelah saya di ruang tamu tetapi kerana panik, saya tidak perasan anak saya tidur sebelah saya menyebabkan saya mencari serata tempat di dalam rumah itu,” katanya. 

Menurutnya, dia sempat membawa anak-anak yang berusia setahun hingga empat tahun keluar, namun dia cuba masuk sekali lagi ke dalam rumah untuk menyelamatkan harta benda tetapi tidak berjaya kerana api mulai marak dan membakar semua harta benda, termasuk telefon dan wang tunai. 

“Saya sempat menyelamatkan sebuah motosikal , manakala barang rumah yang lain hangus terbakar,” katanya yang juga seorang peniaga kedai makan. 

Ketika kejadian, isterinya, Haslinda Ramli, 22, tiada di rumah kerana keluar bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kota Bharu, bergegas pulang selepas dimaklumkan kejadian kebakaran itu. 

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Mohd Ridhuan Harun berkata, seramai 11 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 1.19 petang. 

Menurutnya, operasi memadam kebakaran turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim dan Pengkalan Kubor. 

“Punca kebakaran masih dalam siasatan melibatkan kerugian sebanyak RM100,000 apabila dua rumah berkembar dua pintu hangus terbakar,” katanya.

0 komen:

Post a Comment