Wednesday, July 6, 2011

Dua Maut Nahas Awal Pagi

BACHOK – Dua maut dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Kandis, Kampung Air tekok Merah pada jam 5.20 pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Yahya Salleh berkata, kemalangan tersebut menyebabkan seorang peniaga, Fatimah Mat Saman, 42, yang memandu van dengan nombor pendaftaran DAS 4032 serta pemandu kereta dengan nombor pendaftaran CAV 6390, Mohd. Nor Hafiz Ahmad,21, meninggal dunia di tempat kejadian. 

Gambar hiasan

“Dipercayai kereta tersebut dari arah Melawi menuju ke Tok Bali telah memasuki laluan kanan jalan dan bertembung dengan van Fatimah yang dari arah Tok Bali. 

“Kedua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan seorang wanita penumpang kereta bersama Mohd. Nor Hafiz cedera parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi HUSM,” katanya. 

Fatimah dikatakan dari Kampung Melawi manakala Mohd. Nor Hafiz pula beralamat di Pulau Perhentian. 

Menurutnya jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke hospital di Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga masing- masing. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

0 komen:

Post a Comment