Saturday, June 25, 2011

The President Warrior Bawa Bekalan Selesa

KOTA BHARU – Kelantan membawa bekalan selesa bertandang ke Johor Bahru pada 30 Jun ini setelah mengalahkan Johor 2-0 dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Presiden yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi. 

Bagaimanapun kebangkitan lewat menerusi dua gol pada penghujung babak kedua, berjaya memadamkan keresahan hampir 3,000 penyokong setia Kelantan, yang sedikit kecewa di sebalik deretan peluang terhidang yang gagal dimanfaatkan barisan pemain Kelantan terutamanya pada separuh masa pertama. 


Seawal minit kelapan pintu gol Johor diuji menerusi sepakan percuma Mohd Khairul Izuan Rosli yang menyaksikan bola rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Mohd Amaro Shafiq. 

Selang dua minit kemudian, giliran pemain bek kanan, Mohamad Zamri Ramli pula menduga kehebatan penjaga gol Johor namun rembatannya dari luar kotak penalti terus ke dakapan Mohd Amaro. 

Pada m-16, Kelantan hampir memperoleh gol pertamanya menerusi percubaan penyerang, Muhd Akid Ramli namun rembatannya sekadar menggegar jaring sisi sebelah kanan pintu gol Johor. 

Berselang tiga minit kemudian, pintu gol Johor sekali lagi cemas apabila hantaran lintang Mohamad Zamri ke dalam kotak penalti mencetuskan situasi kelam-kabut namun rembatan susulan Muhd Akid pula tersasar di sebelah kanan pintu gol. 

Di sebalik penguasaan sepenuhnya pasukan Kelantan pada babak pertama, penyerang Johor, Yuhendri Rusdi sempat melakukan rembatan ke pintu gol Kelantan namun sedikit tersasar di sebelah kanan. 

Pada m-37, penyerang sensasi Kelantan, Mohamad Aris Zaidi terlepas peluang terbaiknya untuk meletakkan The President Warriors di hadapan, apabila rembatannya di dalam kotak penalti sedikit melewati pintu gol Johor. 

Kegagalan jentera serangan Kelantan memanfaatkan peluang terhidang sekali lagi terserlah apabila rembatan Mohd Norshahrul Hawari Ibrahim terus ke dakapan Mohd Amaro hasil keadaan kelam-kabut di depan pintu gol Johor pada m-40 perlawanan. 

Bekas pemain Harimau Muda, Mohd Khairul Izuan turut mempunyai dua peluang terbaik pada m-41 namun rembatannya tersasar sementara percubaannya tiga minit kemudian pula mudah diselamatkan Mohd Amaro. 

Minit-minit akhir babak pertama, penyerang Johor, Yuhendri sekali lagi mencuri tumpuan apabila sempat melakukan rembatan namun diselamatkan penjaga gol Kelantan, Mohd Syazwan Yusoff. 

Bersambung babak kedua, jelas penguasaan milik Kelantan sepenuhnya namun ketumpulan jentera serangan yang diketuai Mohamad Aris ternyata mengundang keresahan penyokong setia Kelantan. 

Dua peluang terbaik hadir pada m-61 menerusi rembatan kencang Mohd Norshahrul Hawari yang menyaksikan penjaga gol Johor, Mohd Amaro terpaksa melayangkan badan menepis keluar percubaan tersebut sementara sepakan gunting Mohd Aris seminit kemudian pula tersasar daripada pintu gol pasukan pelawat. 

Begitu pun, pemain gantian, Mohd Farhan Yaakub memecahkan kebuntuan apabila menanduk masuk gol pertama Kelantan setelah menyambut baik hantaran lintang Mohamad Aris pada m-69. 

Dua minit kemudian, Johor kembali melancarkan serangan untuk mencari gol penyamaan namun rembatan Yuhendri di dalam kotak penalti hanya beberapa meter tersasar daripada pintu gol Kelantan. 

Malah tiga minit kemudian, penyerang Johor, Muhd Rafef Raya turut terlepas peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila rembatannya diselamatkan Mohd Syazwan biarpun hanya berhadapan dengan penjaga gol Kelantan itu. 

Pada m-77, Mohamad Zamri terus mengukuhkan kedudukan apabila sepakan leretnya terkena tiang gol dan melantun masuk untuk gol kedua Kelantan. 

Mohd Azyu Ikmal Che Mat Nor terlepas peluang untuk menjarakkan kedudukan Kelantan apabila rembatan kencangnya pada m-82 ditepis keluar Mohd Amaro untuk memastikan kelebihan dua gol kekal milik Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

0 komen:

Post a Comment