Tuesday, June 28, 2011

Khairul Belum Pasti Boleh Jaga Gawang

KESAKITAN bahu kanan selepas dirempuh pemain Lubnan pada aksi kelayakan Sukan Olimpik London, Khamis lalu masih lagi dirasai penjaga gol utama negara Khairul Fahmi Che Mat (gambar).

Pastinya situasi itu memberikan perkhabaran buruk buat skuad kebangsaan yang bakal berdepan Taiwan pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.


“Sejak menyertai latihan skuad kebangsaan saya hanya menjalani latihan ringan saja. Bahu kanan saya masih sakit bila digerakkan. Saya tidak tahu sama ada akan diturunkan atau tidak, terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan.

“Saya memang bersemangat untuk bermain dan jika diturunkan, saya tetap bersedia,” katanya yang mengaku terpaksa meneruskan perlawanan itu dengan menahan kesakitan selepas terjatuh akibat dirempuh seorang pemain Lubnan ketika perebutan bola tinggi.

Khairul Fahmi yang turut mesra dengan panggilan Apek membantu skuad Olimpik negara layak ke saingan peringkat kumpulan kelayakan Olimpik London dengan menewaskan Lubnan 2-1.

Biarpun baru berusia 22 tahun, dia berjaya mengukuhkan tempatnya bersama skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal selepas aksi tangkasnya menyumbang kepada kemenangan negara pada Piala Suzuki AFF, Disember lalu.

Jika Khairul Fahmi tidak berada di tahap terbaik menjelang perlawanan esok, tempatnya dijangka bakal diisi penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli atau Mohd Nasril Nourdin dari Perak.

0 komen:

Post a Comment