Tuesday, June 14, 2011

Harga Kuih Naik 30 Peratus


Pengusaha enggan kurangkan gula dalam makanan tradisional Kelantan 

KOTA BHARU: Kira-kira 10 hingga 15 jenis kuih tradisional Kelantan yang dijual di kebanyakan pasar di bandar ini, kini naik antara 20 dan 30 peratus berikutan kenaikan harga gula dan petrol, baru-baru ini.

Pengusaha kuih tradisional itu dikatakan tidak boleh mengurangkan gula dalam adunan masakan kerana dikhuatiri makanan kegemaran masyarakat itu tidak lagi enak dan manis.

Seperti diketahui umum, kebanyakan kuih tradisional Kelantan memang manis dan lemak kerana bahannya diperbuat daripada gula, telur, tepung dan kelapa menyebabkan makanan itu enak dan mendapat sambutan termasuk daripada pelancong domestik dan asing. 

AHMAD memilih kuih tradisional Kelantan selepas meninjau harga makanan itu di Pasar Besar Siti Khadijah.

Tinjauan di Pasar Siti Khadijah, di sini, semalam, mendapati harga kuih naik antara 15 hingga 50 sen sebiji, termasuk akok yang sebelum ini dijual pada harga RM1 bagi empat biji, kini hanya tiga bagi harga sama. 

Selain itu, tepung pelita yang seratus peratus menggunakan bahan gula, tepung dan santan, kini dijual pada harga RM1 tiga biji. 

Peniaga, Nik Nor Izaidah Nik Mat, 24, berkata dia hanya mengambil komisyen beberapa sen saja bagi setiap jualan kuih muih itu berikutan kenaikan harga oleh pengusaha atau pekilang. 

“Kenaikan harga gula sebanyak 20 sen memang memberi kesan kepada peniaga kuih walaupun kami hanya mengambil komisyen, namun tahu hakikatnya kenaikan itu disebabkan pengusaha terpaksa berbuat demikian bagi mengelak rugi,” katanya. 

Hasnah Mohammad, 26, pula berkata sebagai peniaga dia cuba tidak boleh menaikkan harga kuih kerana bimbang tidak laku. 

“Harga tahi itik yang menjadi kegemaran penduduk tempatan, kini dijual pada harga RM1 tiga biji berbanding empat sebelum ini. Begitu juga dengan buah tanjung dan jala emas yang kini dijual lima RM1 berbanding tujuh sebelum ini. 

“Saiz kuih itu juga kini agak kecil kerana mungkin pengusahanya terpaksa mengurangkan bahan adunan sebagai langkah jimat, namun tetap mengekalkan rasa manis dan lemak,” katanya. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelindung Pengguna Negeri Kelantan (PELINDUNG), Ahmad Othman, berkata kenaikan harga gula perlu dilihat dari aspek kesihatan oleh pengguna. 

“Saya nasihatkan pengguna supaya mengurangkan makanan manis sekali gus mencari alternatif lain dengan mencari kuih yang kurang menggunakan gula, antaranya karipap, murtabak mini, kuih lapis,” katanya. 

0 komen:

Post a Comment