Monday, June 13, 2011

Bawa Ganja, Air Ketum Saksi Akhir Piala FA


KUALA LUMPUR: Tindakan tiga lelaki yang membawa bahan terlarang ketika menonton perlawanan akhir bola sepak Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil membawa padah apabila mereka ditahan polis di pintu masuk stadium, malam kelmarin.

Dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Cheras itu, polis menjumpai dadah jenis ganja yang disumbat dalam beberapa batang rokok dan botol mineral 500 mililiter berisi air ketum.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, dalam operasi bermula jam 8.30 malam itu, dua lelaki turut ditahan di luar stadium sebaik perlawanan tamat selepas terbabit dalam insiden pergaduhan selain memiliki senjata berbahaya berupa gunting dan buku lima.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 35 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan atas kesalahan gaduh gempar,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, walaupun tiada sebarang insiden pergaduhan serius berlaku sepanjang perlawanan itu namun, terdapat segelintir penyokong yang masih berdegil dan melanggar peraturan ditetapkan.

“Kita mendapati penyokong tempatan semakin matang dan positif dengan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan berharap mereka akan terus memberi kerjasama dalam setiap perlawanan bola sepak.

“Pihak polis akan terus memperketatkan pemeriksaan sama ada di pintu masuk, di dalam dan luar stadium bagi memastikan tiada sebarang insiden yang mencemarkan sukan tempatan,” katanya.

0 komen:

Post a Comment