Monday, May 30, 2011

Walkaton D’raja Kelantan 2011 mahu Tarik 25,000 Penyertaan


KOTA BHARU: Urusetia Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al Muhammadi berharap dapat menarik kira-kira 5,000 lagi penyertaan bagi Walkaton D'Raja Kelantan 2011-Walk With Me tidak lama lagi.

Bendahari pertubuhan itu, Tengku Ibrahim Farihaddin Tengku Feissal berkata, pihaknya kini berjaya melepasi sasaran awal penyertaan iaitu kira-kira 15,000 peserta.

Katanya, sehingga kini acara itu berjaya menarik sebanyak 20,000 penyertaan daripada pelajar sekolah, badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan.

“Daripada sasaran awal 15,000 ia kini dilanjutkan kepada 25,000 penyertaan,” katanya.

Acara itu dijangka berlangsung tiga hari bermula 3 Jun dan turut diserikan dengan kehadiran Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang berkenan mencemar Duli bersama rakyat berjalan sejauh tiga kilometer (km) bermula dan berakhir di Stadium Sultan Muhammad IV.

Tengku Ibrahim berkata, orang ramai yang berminat kini boleh mengunjungi Bilik Urusetia Operasi Karnival di Medan Usahawan stadium terbabit untuk mendaftar bagi acara berkenaan.

Katanya, bilik itu dibuka jam 10 pagi hingga 10 malam dan orang ramai diberi peluang mendaftar sehingga jam 10 pagi pada Sabtu ini.

“Wakil NGO, agensi swasta dan orang ramai yang sudah mendaftar diminta datang ke bilik operasi kita bagi mendapatkan baju T bermula Khamis ini.

"Peserta yang sudah menjelaskan bayaran secara dalam talian juga diminta berbuat demikian.

“Orang ramai yang berminat boleh mendaftar di www.walkwithme.my atau melalui Facebook dengan menaip Karnival Walkaton Diraja,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 017-2712723 (Anuar), 013-3936009 (Muhawani) atau 012-9477551 (Tengku Ahmad Shakirin).

0 komen:

Post a Comment