Sunday, May 29, 2011

Tonjol Budaya, Adat



KOTA BHARU: Pelbagai acara kebudayaan dan tradisi masyarakat Kelantan akan ditonjolkan sepanjang tiga hari acara walkaton D’Raja Kelantan 2011-Walk With Me di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, bermula Jumaat ini.

Timbalan Pengerusi Biro Kebudayaan dan Istiadat Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi, Tengku Mahisham Tengku Mustapha, berkata pihaknya menjadikan acara berkenaan sebagai landasan memperkenalkan budaya dan adat negeri ini kepada generasi baru.

Katanya, orang ramai bukan saja berpeluang menyertai acara berjalan kaki bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, malah dihibur dengan persembahan kebudayaan seperti wayang kulit, rebana ubi serta seni silat.

“Kebanyakan persembahan kebudayaan yang diadakan nanti kurang dikenali masyarakat kita sekarang, terutama golongan muda.

“Jadi, sambil mereka menyertai walkaton, kita mahu memperkenalkan budaya ini kembali kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Acara walkaton anjuran pertubuhan itu dijangka memecah rekod Malaysia Book of Records bagi kategori penyertaan walkaton paling ramai.

Pelbagai acara menarik disediakan sempena acara berkenaan termasuk pameran, karnival jualan serta tayangan amal ‘wayang pacak’.

Sementara itu, Tengku Mahisham berkata 10 lokasi hentian disediakan untuk pasukan muzik tradisional membuat persembahan kepada pengunjung.

Katanya, semua hentian terbabit ditempatkan di sekitar kawasan stadium.

“Ini satu daripada tarikan sempena acara itu nanti apabila setiap hentian ditempatkan pasukan muzik tradisional seperti rebana ubi, muzik wayang kulit, gong cina, rebana kerching, pancaragam, gedombak siam, kertok kepala dan muzik seni silat,” katanya.

0 komen:

Post a Comment