Friday, May 6, 2011

Piya Sedia Teruskan Aksi Terbaik



KOTA BHARU – Ledakan enam gol dalam empat perlawanan, membuktikan sentuhan Ketua Pasukan Kelantan, Muhd Badhri Radzi masih lagi berbisa sekalipun pernah terpalit dengan prestasi tidak menentu tidak lama dulu. 

Malah Ketua Pasukan Kelantan berusia 29 tahun itu tidak mahu menoleh lagi ke belakang, sebaliknya bersedia menggegarkan pintu gol Kedah apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini. 

“Pertemuan menentang Kedah malam esok (ini) pastinya ditunggu-tunggu oleh penyokong setia Kelantan. Pada pertemuan pertama di Alor Setar, kita sekadar seri 1-1 dan saya berharap keputusan itu (seri) tidak berulang apabila kita bertemu lawan yang sama malam esok (ini). 

“Kedah sudah pasti berwajah baru, di bawah tunjuk ajar jurulatih Wan Jamak (Wan Hassan) dan mereka mempunyai ramai pemain kebangsaan dalam pasukan itu. Namun itu tidak bermakna kita perlu merendah diri. Malam esok (ini), kita tetap turun dengan misi untuk mengutip tiga mata penuh. 

“Cuma saya harapkan rakan sepasukan tidak mengulangi kesilapan yang sama dilakukan dalam pertemuan terdahulu. Kita mempunyai banyak peluang namun dipersiakan. Sudah pasti saya mengharapkan aksi 120 peratus daripada rakan sepasukan yang lain,” katanya. 

Menyedari bakal berhadapan dengan tekanan penyokong sekali pun beraksi di gelanggang sendiri, Muhd Badhri turut mengharapkan penyokong Kelantan terus memberi sokongan padu tanpa mengambil pendekatan terlalu cepat menghukum sekiranya pemain The Red Warriors melakukan kesilapan. 

“Saya akui, Kedah merupakan pasukan yang sukar ditewaskan namun itu tidak bermakna kita tidak boleh mengalahkan mereka. Rekod pertemuan di Kota Bharu masih lagi memihak kepada kita walaupun mereka pernah mengalahkan kita di sini pada tahun lalu,” katanya. 

Sementara itu, Muhd Badhri atau lebih mesra dengan panggilan Piya, menganggap kritikan pedas yang dilemparkan oleh segelintir penyokong selama ini sebagai pembakar semangat untuk dia beraksi lebih baik selepas ini. 

“Saya menerima kritikan tersebut dengan hati terbuka. Sebagai pemain, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan di atas padang. 

“Saya memahami harapan tinggi peminat Kelantan yang dahagakan jaringan dan juga kemenangan. 

“Namun kadang-kala tidak semua itu memihak kepada kita. Apa yang dapat katakan, saya dan rakan sepasukan berjanji untuk menunjukkan persembahan yang terbaik malam esok (hari ini),” katanya.

0 komen:

Post a Comment