Friday, December 9, 2011

Persebaya FC Uji Kehebatan Kelantan

JUARA Liga Super musim ini, Kelantan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Prima Indonesia, Persebaya FC, bagi merebut trofi Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia (Permai) di Kota Baharu, Kelantan, pada 23 Disember ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) merangkap Setiausaha Agung Permai, Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, perlawanan itu yang diadakan secara timbal balik akan diadakan di Surabaya, Indonesia pada 28 Disember pula.


“Berikutan itu, perlawanan (persahabatan) antara The Red Warriors menentang Kuala Lumpur akan diubah ke 25 Disember,” katanya.

Perlawanan itu adalah persediaan awal skuad Kijang untuk menghadapi saingan Liga Super musim depan termasuk perlawanan merebut Piala Sumbangsih menentang juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV pada 7 Januari.

Annuar berkata, perlawanan itu anjuran bersama Liga Prima Indonesia dan Malaysia Super League (MSL) serta dipersetujui Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Perlawanan itu akan disiarkan stesen televisyen di Indonesia manakala Permai akan berunding dengan stesen televisyen berbayar, Astro untuk disiarkan di Malaysia,” katanya.

Friday, November 4, 2011

Mahasiswa Berpolitik: Persepsi ditolak

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menolak persepsi yang mendakwa seluruh kampus universiti akan porak-peranda jika golongan mahasiswa dibenarkan berpolitik.

Beliau menyifatkan persepsi itu sebagai satu mitos semata-mata dan tidak berasas sama sekali "Ramai benar mahasiswa yang saya lihat aktif berpolitik dalam kampus, mereka lulus dengan cemerlang dalam akademik mereka. Malah ada yang mendapat pekerjaan yang baik selepas keluar universiti.


"Tidak semestinya mereka yang tidak berpolitik itu, mereka lulus. Malah ada yang gagal juga,” katanya dalam program bual bicara ”Kerusi Panas” terbitan Bernama Radio24, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin menggesa pihak berkuasa mengkaji punca di sebalik trend sesetengah mahasiswa cenderung bersikap antikerajaan.

"Pernahkah kita bertanya mengapa mahasiswa universiti tidak menyokong pemerintah? Mengapa ada segelintir mahasiswa yang suka melawan?

"Oleh itu, saya sebagai salah seorang anggota kerajaan lebih suka menilai diri saya sendiri apakah wujud kekurangan yang perlu diperbaiki dan bukannya memarahi golongan mahasiswa berkenaan,” katanya. - Bernama

Tuesday, November 1, 2011

Gonzales Dalam Radar Kelantan

TIRAI Piala Malaysia 2011 telah secara rasmi ditutup selepas Negeri Sembilan dinobatkan sebagai juara baharu.

Begitupun, pasukan Kelantan kini sudah memulakan langkah untuk mempersiapkan pasukan itu bagi mengharungi saingan liga dan kejohanan domestik selain membuat penampilan sulung pada kejohanan Piala AFC.

Selepas mencuba lima pemain import dari Croatia, Malawi dan Ghana termasuk seorang pemain dari liga Divisyen Dua Belanda, Jeans Black yang tiba di Kota Bharu bersama jurulatih baharu mereka, Peter James Butler pada 23 Oktober lalu, mereka dijangka akan mencuba seorang lagi pemain import.

GONZALES dilaporkan berada dalam radar KAFA untuk dibawa ke Kelantan bagi aksi musim depan

Kali ini, 'selera' The Red Warriors (TRW) sedikit berubah apabila mereka bakal mencuba bekas pemain kebangsaan Sepanyol yang pernah tersenarai menyertai skuad Piala Dunia 2002 lalu dan pernah beraksi untuk beberapa kelab terkenal di negara yang dikenali dengan jolokan La Furia Roja itu.

Berusia 34 tahun, Sergio Gonzales kini di- khabarkan berada dalam radar Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa untuk dibawa ke negeri 'Cik Siti Wan Kembang' bagi memperkuatkan lagi pasukan itu.

Beraksi di posisi tengah, Gonzales memulakan kerjaya profesional sebagai pemain bola sepak selepas menyertai pasukan Espanyol B pada tahun 1995, sebelum diserapkan ke pasukan senior tiga tahun kemudian.

Bakat pemain dengan ketinggian 182 sentimeter berasal dari L'Hospitalet, Sepanyol itu mula dikesan oleh pasukan Depor- tivo La Caruna yang mana dia menabur khid- mat selama 10 musim.

Sumber KAFA memberitahu, nama pemain itu pernah disebut-sebut sebelum ini dalam perjumpaan pihak pengurusan tetapi sehingga kini belum ada surat tawaran rasmi dikeluarkan.

Menurutnya, perbincangan secara tidak rasmi sedang berjalan ketika ini antara pemain tersebut dan pihak pengurusan untuk mencari kata putus selain persetujuan pemain itu untuk berhijrah ke Kelantan.

"Setakat ini belum ada apa-apa tawaran rasmi diberikan kepada pemain tersebut dan sehingga kini ia masih dalam perbincangan melibatkan beberapa perkara lagi.

"Sekiranya selesai dan berjaya mencapai kata sepakat, mungkin impian untuk melihat pemain itu beraksi dengan TRW akan tercapai," katanya.

Gonzales dikenali sebagai pemain tengah yang sentiasa bekerja keras serta mampu bertindak membantu pertahanan, selain kreatif dalam menghasilkan gerakan membantu jentera hadapan.

Sepanjang 14 musim bermain dalam kempen Liga Sepanyol, dia telah beraksi dalam 429 perlawanan dan berjaya meledakkan 42 gol, termasuk tiga gol ketika bersama pasukan terakhirnya, Levente bagi musim 2010-2011.

Karier peringkat antarabangsa Gonzales bermula ketika dipanggil oleh jurulatih Sepa- nyol ketika itu, Jose Antonio Camacho untuk mewakili pasukan kebangsaan pada 2001 bagi persiapan Piala Dunia 2002.

Monday, October 10, 2011

Kelantan Merendah Diri

KELANTAN lebir gemar digelar selaku pasukan bukan pilihan pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2011 menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pertembungan dua musuh tradisi ini bakal menarik ribuan penyokong kedua-dua pasukan untuk hadir memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing yang menjanjikan aksi menarik.

KARATHU (kanan) memperkatakan sesuatu kepada barisan pemain Kelantan pada sesi latihan di Kota Bharu semalam.

Debaran perhitungan dua gergasi Pantai Timur itu disifatkan oleh penggendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim sebagai final Piala Malaysia 2011 berdasarkan reputasi kedua-dua pasukan.

Berdepan dengan skuad Penyu dalam saingan di suku akhir, skuad The Red Warriors tidak mempunyai pilihan lain selain mendapatkan jaringan awal untuk dijadikan modal menjelang pertemuan separuh akhir kedua di Kota Bharu pada Jumaat ini.

Meskipun pernah menumbangkan Terengganu dalam aksi liga lalu, saingan malam ini pasti menjanjikan laluan berbeza buat skuad bimbangan Datuk M. Karathu dalam misi mempertahankan Piala Malaysia yang dimenanginya pada musim lalu.

Dengan nada merendah diri, jurulatih kelahiran Perak itu lebih selesa turun dengan status underdog ketika rakan sejawatanya lebih berminat membakar semangat anak buahnya.

“Ini merupakan pertembungan paling menarik bagi dua pasukan terkuat dalam kempen Liga Malaysia musim ini. Kita lebih selesa ke Terengganu dengan status underdog dan Terengganu tetap pasukan pilihan kerana mereka mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

“Saya tidak mahu memberikan tekanan berlebihan kepada pemain saya. Saya beritahu kepada pemain saya jangan fikir terlalu serius mengenai tekanan itu. Apa yang penting pemain buat kerja mereka di atas padang dengan memberikan aksi terbaik sepanjang 90 minit perlawanan itu,” ujarnya.

Mengulas mengenai kekuatan Terengganu, jurulatih yang kaya dengan pengalaman itu mengakui kelibat pemain seperti Mohamad Ashaari Samsudin, Ismail Faruqi Asha’ri, Abdul Manaf Mamat dan penjaring terbanyak pasukan mereka, Abdul Hadi Yahaya antara yang perlu diberi perhatian oleh anak buahnya dalam pertemuan malam ini.

Thursday, October 6, 2011

Ranking Ke-7 ASEAN dan ke-317 Dunia

‘Berada di tangga ketujuh Asean dan ke-317 dunia’. Itu statistik terbaru yang dikeluarkan oleh International Federation of Football History and Statistics (IFFHS), semalam mengenai pasukan bola sepak Kelantan. 

Mungkin banyak pihak akan mencemburui, namun itu hakikat harus diterima betapa usaha Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melalui pasukan bola sepak The Red Warriors mencipta kejayaan sejak tiga tahun kebelakangan ini kini membuahkan hasil. 


Daripada bergelar pasukan negeri yang pertama beraksi dalam Liga FAM, Kelantan seharusnya wajar dinobatkan selaku kuasa baru bola sepak negara berdasarkan beberapa kejayaan cemerlang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Langkah Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mentransformasikan bola sepak Kelantan sejak sahaja mengambil alih tampuk kepimpinan Kafa penghujung 2007 dilihat cukup berjaya. 

Tampil dengan falsafah bola sepak yang tersendiri, Annuar memulakan langkah pertama dengan menjenamakan semula bola sepak Kelantan dengan gelaran The Red Warrior’ atau Pahlawan Merah yang cukup sinonim sehingga ke hari ini. 

Setelah melalui zaman gelap sejak beberapa tahun lalu termasuk pernah beraksi dalam Liga FAM pada tahun 2005, yang disifatkan liga kelas ketiga dalam bola sepak negara, Kelantan mendaki sedikit demi sedikit dengan menghuni Liga Perdana dan seterusnya mengungguli Liga Super pada hari ini. 

Melangkah ke pertandingan ke Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang akan berlangsung pada tahun depan memberi isyarat kepada Kelantan betapa penyertaan mereka buat sekadar untuk suka-suka. 

Sebaliknya, Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), awal-awal lagi mendedahkan betapa pasukannya mahu melangkah lebih jauh biarpun baru pertama kali beraksi dalam perlawanan bertaraf antarabangsa. 

Bermula dengan menghuni tangga ketiga Liga Perdana pada 2008, Kelantan menongkah arus mengharungi cabaran Liga Super pada tahun berikutnya dengan kejutan luar biasa apabila mengakhiri cabaran di tempat keenam keseluruhan. 

Namun lebih menarik, sesuatu yang tidak boleh dilupakan pada 2009 apabila Kelantan berjaya mara ke perlawanan akhir Piala FA buat pertama kali, namun dikecewakan oleh Selangor menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 setelah kedudukan terikat seri 1-1 sehingga masa tambahan. 

Tidak terhenti di situ apabila pada tahun itu juga, Kelantan berjaya mengakhiri penantian sejak 39 tahun apabila mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Namun derita Kelantan sekali lagi berpanjangan, kali ini dinafikan hajat oleh Negeri Sembilan menerusi kekalahan 3-1. 

Tahun 2010 menyaksikan kebangkitan kembali The Red Warriors yang terlepas dua piala pada tahun sebelumnya. Biarpun tersingkir awal pada pusingan kedua kepada Kedah dalam kempen Piala FA, namun Kelantan membuktikan mereka antara pasukan yang perlu diberi perhatian apabila muncul selaku naib juara Liga Super di belakang Selangor. 

Tanggal 29 Oktober 2010 menjadi sejarah kepada bola sepak Kelantan apabila muncul juara piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun lalu. Tampil dalam pentas final buat kali kedua berturut-turut, dendam Kelantan akhirnya tertunai apabila berjaya membalas dendam dengan mengecewakan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir. 

Permulaan yang baik pada tahun ini, meraih gelaran juara Piala Sultan Ahmad Shah pada 29 Januari lalu mengecewakan Selangor 2-0 di Shah Alam. Rentak cemerlang Kelantan bagaimanapun sedikit sumbang apabila tersungkur 2-1 kepada Terengganu dalam perlawanan akhir Piala FA pada 11 Jun lalu. 

Kelantan kembali mendakap trofi kejuaraan, kali ini menjuarai piala Liga Super buat pertama kali sejak tujuh tahun lalu setelah mengalahkan Sabah 2-1 dalam perlawanan terakhir liga. Namun masih ada tugas yang belum selesai, mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi sememangnya cukup sukar dan lawan yang menanti kali ini, Terengganu bakal membuat perhitungan dengan Kelantan pada 10 dan 14 Oktober ini. 

Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu disifatkan gelanggang keramat bagi pasukan Kelantan. Stadium yang berusia 44 tahun itu menjadi saksi kepada jatuh bangun bola sepak Kelantan sejak beberapa dekad lalu. 

Kalau mahu melihat kemeriahan bola sepak Malaysia, datanglah ke Kelantan. Tatkala persatuan bola sepak negeri lain bergelut untuk menarik sokongan setia penyokong mereka sendiri datang ke stadium, gelanggang keramat bagi Kelantan itu tidak pernah sunyi dengan kehadiran puluhan ribu penyokong setia mereka. 

Tidak salah untuk mengatakan, kehadiran puluhan ribu penyokong itu sememangnya melebihi kapasiti stadium tersebut. Inilah wajah sebenar peminat fanatik bola sepak Kelantan. Mereka bukan sahaja menakluki stadium mereka sendiri, tetapi turut berkelana ke stadium di seluruh negara. 

Dari Perlis sehingga ke Sabah, tidak ada penyokong negeri lain selain Kelantan yang sanggup berkelana sejauh itu semata-mata memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Thursday, September 29, 2011

Norshahrul Sasar Kijang Mara ke Separuh Akhir

PENYERANG sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha meletakkan sasaran mara ke separuh akhir saingan Piala Malaysia musim ini selepas meledakkan dua gol dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan ketika menentang Felda United di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Ayam tambatan Kelantan yang lebih popular dengan panggilan Mat Yo itu tekad mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi The Red Warriors tahun lalu, dengan gol ketika menentang Felda United itu menjadi pemangkin.


“Untuk perlawanan di peringkat suku akhir, kami harap dapat meneruskan momentum cemerlang dan meningkatkan lagi kualiti permainan kerana saingan pasti lebih mencabar,” katanya.

Ketua jurulatih, Datuk M Karathu berkata, pasukannya kini mempunyai masa membuat persiapan sebelum beraksi di suku akhir menentang juara Piala FA, Terengganu pada 10 Oktober ini.

Katanya, sebelum tiba kemuncak perlawanan di suku akhir, jurulatih berpengalaman dari Perak itu berharap pemainnya yang cedera segera pulih kerana tentangan sengit pasti menunggu juara bertahan itu.

“Kami ada masa untuk membuat percaturan sebelum beraksi di suku akhir namun beberapa pemain yang mengalami kecederaan mengganggu sedikit persiapan kami. Kami harap mereka segera pulih,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan memberikan bonus RM2,000 kepada setiap pemain atas kejayaan layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Bonus itu akan disampaikan pada Majlis Hari Terbuka 1Malaysia Mayang Parlimen Ketereh di Dewan Tun Ghafar Baba, Komplek Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala, Melor jam 8.30 malam, esok.

Tuesday, September 27, 2011

Kelantan Buat Rombakan Hadapi Suku Akhir Piala Malaysia

KOTA BHARU - Sama ada juara Piala FA Terengganu atau Negeri Sembilan, itulah pasukan yang akan ditentang oleh juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan dalam saingan suku akhir yang dijadualkan berlangsung 5 Oktober ini.

Berdepan kedua-duanya, The Red Warriors tidak mempunyai pilihan selain mencatatkan kemenangan sekiranya enggan terlepas kejuaraan musim lalu.


Bagi ketua jurulatih, Datuk M. Karathu, beliau tidak mempunyai masalah sama ada berdepan Terengganu atau Negeri Sembilan yang merupakan naib juara Piala Malaysia edisi lalu.

"Kita tidak memilih pasukan mana yang akan ditentang dalam perlawanan suku akhir nanti. Kekuatan kedua-dua pasukan agak seimbang dan kemampuan mereka tidak boleh diambil mudah," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mengulas pertemuan dengan Felda United dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Sultan Muhammed IV malam ini, jurulatih yang kaya pengalaman itu mengakui akan membuat sedikit rombakan dalam senarai kesebelasan utama.

Menurutnya, rombakan tersebut terpaksa dibuat selepas beberapa pemain mengumpul dua kad kuning dalam perlawanan terdahulu antaranya tonggak pertahanan Mohd. Daudsu Jamaluddin dan pemain sayap lincah Nurul Azuwan Roya.

"Kedua-dua pemain ini terpaksa direhatkan untuk mengelak daripada mengumpul kad kuning dalam perlawanan malam esok (malam ini). Sekiranya diturunkan dan mendapat kad kuning mereka berkemungkinan akan terlepas perlawanan peringkat suku akhir nanti.

"Saya tidak mahu mengambil risiko kehilangan mereka dalam perlawanan suku nanti kerana ia cukup penting buat Kelantan. Begitupun saya akan turunkan barisan terbaik dalam perlawanan malam esok (malam ini) dan memastikan tiga mata menjadi milik Red Warriors," ujarnya.

Karathu memberitahu, kekosongan yang ditinggalkan pemain tersebut membuka peluang kepada pemain simpanan untuk membuktikan kemampuan mereka sekali gus kembali dalam senarai kesebelasan utama.

"Saya harap para pemain simpanan dapat menggunakan peluang tersebut untuk membuktikan sesuatu buat pasukan. Saya yakin dan percaya pemain simpanan mampu menggalas tugas tersebut. Sekiranya mempamerkan rentak cemerlang, mereka berkemungkinan besar akan mendapat peluang beraksi dalam saingan suku akhir nanti," jelasnya.

Dalam pada itu, Karathu berkata, Kelantan terpaksa melupakan khidmat penjaga gol nombor satu kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat yang terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan ketika bertemu Johor FC minggu lalu.

Malah, juara bertahan itu dikhabarkan bakal kehilangan pemain lincahnya iaitu S. Chanturu yang dikhabarkan turut mengalami kecederaan.

Kelantan Tak Peduli Siapa Lawan

KELANTAN tidak peduli siapa yang bakal menjadi lawan mereka pada pusingan suku akhir Piala Malaysia 2011.

Sama ada juara Piala FA, Terengganu atau Negeri Sembilan, mereka tetap bersedia menghada- pinya.

Dua pasukan ini bakal menjadi lawan Kelantan di peringkat suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 5 Oktober depan.

KHAIRUL FAHMI tidak akan diturunkan dalam kesebelasan utama Kelantan malam ini akibat kecederaan yang dialaminya ketika menentang Johor FC, Sabtu lalu

Berdepan Terengganu atau Negeri Sembilan, The Red Warriors tidak mempunyai pilihan selain mencatatkan kemenangan sekiranya mahu layak ke pusingan sete- rusnya.

Bagi ketua jurulatihnya, Datuk M. Karathu, beliau tidak mempu- nyai masalah sama ada berdepan juara Piala FA musim ini Terengganu atau Negeri Sembilan yang merupakan naib juara Piala Malaysia pada edisi lalu.

"Kita tidak memilih pasukan mana yang akan ditentang dalam perlawanan suku akhir nanti. Kekuatan kedua-dua pasukan agak seimbang dan kemampuan mereka tidak boleh diambil mudah," katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.

Mengulas pertemuan dengan Felda United dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Sultan Muhammed IV malam ini, jurulatih yang kaya dengan pengalaman itu mengakui akan melakukan rombakan kecil dalam senarai kesebelasan utama Kelantan.

Menurutnya, rombakan tersebut terpaksa dibuat selepas beberapa pemainnya mengumpul dua kad kuning dalam perlawanan terdahulu.

Antaranya, tonggak pertahanan Mohd. Daudsu Jamaluddin dan pemain sayap lincah, Nurul Azu- wan Roya.

"Kedua-dua pemain ini terpaksa direhatkan untuk mengelakkan daripada mengumpul kad kuning dalam perlawanan malam esok (malam ini).

"Sekiranya diturunkan dan mendapat kad kuning lagi, kemungkinan mereka akan terlepas aksi peringkat suku akhir nanti.

"Saya tidak mahu mengambil risiko kehilangan mereka dalam perlawanan suku nanti kerana ia cukup penting buat Kelantan.

" Begitupun saya akan turunkan barisan terbaik dalam perlawanan itu kelak bagi memastikan tiga mata menjadi milik The Red War- riors," ujarnya.

Karathu memberitahu, kekosongan yang ditinggalkan pemain tersebut telah membuka peluang kepada pemain simpanan untuk membuktikan kemampuan mereka, sekali gus kembali dalam sena- rai kesebelasan utama pasukan.

"Saya harap para pemain simpanan dapat menggunakan peluang tersebut untuk membukti- kan sesuatu buat pasukan. Saya yakin dan percaya pemain simpa- nan mampu menggalas tugas tersebut.

"Sekiranya mempamerkan rentak cemerlang, mereka berkemungkinan besar akan mendapat peluang beraksi dalam saingan suku akhir nanti," jelasnya.

Dalam pada itu, Karathu berkata, Kelantan terpaksa melupakan khidmat penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan ketika bertemu Johor FC minggu lalu.

Selain itu, juara bertahan tersebut dikhabarkan bakal kehilangan pemain lincahnya, S. Chanturu yang turut mengalami kecederaan.

Kelantan Tak Peduli Siapa Lawan

KELANTAN bersedia menghadapi sama ada Negeri Sembilan atau Terengganu pada suku akhir tanpa mengambil kira keputusan perlawanan terakhir pusingan kedua Piala Malaysia berdepan FELDA United di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam ini. 

Namun beraksi di depan penyokong sendiri, The Red Warriors tidak akan memberi laluan mudah kepada FELDA United yang mengejutkan skuad kendalian Datuk M Karathu itu 0-2 pada saingan pusingan pertama sebelum ini.


Karathu mengakui keputusan perlawanan malam ini bukan memberi masalah kepadanya kerana ia sekadar menentukan sama ada Kelantan mengungguli Kumpulan C, atau tangga kedua tetapi misinya tetap memburu kemenangan.

Kita tidak pandang mudah perlawanan terakhir dengan FELDA United ini kerana setiap aksi penting untuk memastikan momentum yang baik menjelang saingan suku akhir Piala Malaysia. 

Apapun keputusan malam esok (malam ini), Kelantan tidak ada masalah untuk berdepan sama ada Negeri Sembilan atau Terengganu kerana kedua-duanya ada kekuatan tersendiri, katanya semalam. 

Red Warrios Enggan Ambil Mudah

WALAUPUN sudah layak ke suku akhir, The Red Warriors tetap memberi tentangan sengit pada perlawanan terakhir kumpulan C Piala Malaysia berdepan Felda United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.


Tanpa menghiraukan Negeri Sembilan atau Terengganu yang bakal dihadapi pada suku akhir, jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu menjanjikan tentangan hebat itu biarpun lawan pernah mengaibkan mereka 0-2 sebelum ini.

“Kita tidak pandang mudah perlawanan terakhir ini kerana setiap pasukan mampu menghasilkan kemenangan.

“Apapun keputusan dicapai, Kelantan tidak ada masalah berdepan Negeri Sembilan atau Terengganu di suku akhir,” katanya.

Bagaimanapun, Karathu membayangkan dua tonggak, Daudsu Jamaludddin dan Nurul Azwan Roya tidak diturunkan malam ini kerana tidak mahu mereka berdepan masalah kecederaan ataupun kad kuning.

Selain itu, katanya, status kecederaan Khairul Fahmi Che Mat juga dipantau bagi menentukan sama ada dia boleh beraksi atau tidak.

Saturday, September 24, 2011

Kelantan Tak Mahu Cari Bala

KOTA BHARU – Hanya satu mata diperlukan untuk mengesahkan tempat ke suku akhir, namun itu bukan matlamat sebenar kunjungan juara bertahan, Kelantan bagi menghadapi Johor FC dalam perlawanan peringkat kumpulan C Piala Malaysia di Stadium JCorp, Pasir Gudang, malam esok. 


Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu sebaliknya awal-awal lagi menegaskan fokusnya hanya terarah untuk meraih tiga mata penuh, bukan sahaja untuk mengukuhkan kedudukan dalam saingan peringkat kumpulan, malah mahu melebarkan rekod tanpa kalah ke atas pasukan berstatus kelab itu. 

“Saya tahu ini merupakan misi hidup mati bagi Johor FC, namun kita juga tidak mahu kehilangan mata. Satu mata mungkin sudah memadai namun saya mahu lebih daripada itu (tiga mata). 

“Kita tidak boleh cari bala (kalah kepada Johor FC) apatah lagi perlawanan ini cukup penting kepada kedua-dua pasukan. 

“Kita akan turun beraksi seperti biasa sama seperti ketika bertemu KL Felda United FC dan Sarawak tempoh hari. Saya cukup gembira kalau pemain saya mempamerkan aksi semangat juang seperti dalam perlawanan itu. 

“Formaliti saya seperti biasa, kita main secara menyerang di samping memperkemaskan benteng pertahanan, jangan hilang bola serta tidak membenarkan mereka mendapatkan gol awal. Saya fikir kalau empat elemen itu diterapkan kita tidak menghadapi masalah mengatasi mereka malam esok (ini),” katanya. 

Mengimpikan aksi cemerlang tatkala prestasi pemainnya kini sudah kembali memuncak, Karathu turut melaungkan keyakinan dengan barisan pemain yang ada disusuli dengan kehadiran dua pemain skuad Olimpik kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Izuan Salahuddin, skuad The Red Warriors bakal menyajikan perwatakan sang juara dalam perlawanan malam ini. 

“Apex (Khairul Fahmi Che Mat) dan Mohd Izuan (Salahuddin) akan menyertai kita esok (hari ini). Mereka sudah lama tidak bersama kita, namun itu bukan masalah besar. 

“Saya fikir tidak ada masalah untuk saya menyenaraikan Apex sebagai penjaga gol malam ini, sementara itu saya juga akan pantau juga Mohd Izuan. Kita tengoklah nanti macam mana. 

“Saya yakin kita boleh mengatasi Johor FC malam ini. Saya tidak mahu fikir fasal pasukan lain. Saya cukup tidak suka kalau kita terpaksa tunggu sehingga perlawanan terakhir (menentang KL Felda United FC pada 27 September). 

“Selepas kita kalah 0-2 kepada KL Felda United FC saya lihat sudah ada suatu semangat baru meresap dalam pemain. Mereka sudah melupakannya dan saya harap cuaca yang baik malam ini membantu,” katanya.

Friday, September 23, 2011

Mengapa Anak Kelantan Suka Merantau?

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Kesemua pihak yang bertanggungjawab diingatkan agar tidak terus menabur fitnah berterusan terhadap rakyat Kelantan, khususnya berhubung penghijrahan mereka ke Kuala Lumpur dan ke negeri-negeri lain di seluruh negara sejak dulu hingga kini.  

Dakwaan yang mengatakan "orang Kelantan terpaksa berhijrah" atau "anak Kelantan harus merantau" untuk mencari rezeki, mendapatkan sesuap nasi dan seteguk air di segenap pelosok negara khasnya di ibu kota, semata-mata kerana faktor negeri Kelantan miskin amat menarik untuk direnungi kerana mungkin tidak berasas.


Jika diteliti secara bijaksana, persoalan itu sebenarnya adalah sangat relatif. Malah tohmahan atau anggapan "orang Kelantan terpaksa berhijrah" atau "anak Kelantan harus merantau" semata-mata kerana faktor negeri Kelantan miskin tidak semestinya tepat atau benar. 

Seorang penulis, Rosli Nik Mat berkata, dalam hubungan ini, satu-satunya soalan paling dasar yang harus dikemukakan dan dijawab, adakah terdapat mana-mana anak negeri lain yang tidak berhijrah untuk cuba mencari peluang rezeki di merata-rata tempat di dalam negara ini? 

"Tanpa memerlukan huraian panjang lebar, jawapannya tentulah, "tidak!". Jadi dengan itu, tohmahan dan anggapan sedemikian terhadap rakyat Kelantan secara jujurnya tentulah tidak tepat," katanya. 

Namun isu itu tidak pernah menemui noktahnya sejak dulu hingga sekarang. Malah ia sering ditimbulkan dan dijadikan salah satu modal politik yang cukup penting dan popular terutama untuk diperdengarkan menjelang waktu pilihan raya.

"Tidak hanya sekadar suara lantang yang dilaungkan oleh para pemimpin politik dari luar Kelantan, malahan media perdana juga akan ikut menjadi "pak turut" mewar-warkan isu itu," katanya. 

Bahkan tidak cukup sekadar itu sahaja. Sesetengah pemimpin politik daripada kalangan anak negeri Kelantan sendiri pun tidak akan segan silu "menahan lukah di pergentingan" untuk turut mengambil kesempatan mempermainkan isu yang sengaja diperbesar-besarkan itu. 

Hal itu, menurut beliau, tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata kerana motif ghairah mengejar kepentingan dan kedudukan dalam catur politik. 

Dalam tulisannya yang berjudul "Mitos Hijrah Orang Kelantan" yang dimuatkan dalam majalah Qiadah terbitan Perbadanan Menteri Besar Kelantan, keluaran Ramadhan-Syawal 1432 Hijrah yang diedarkan secara percuma, beliau merumuskan, sebaliknya hakikat sebenar orang merantau termasuk yang membabitkan anak Kelantan termaktub atas lima sebab. 

Pertama, bersemangat kental. Kedua, berani mencari dan merubah pengalaman. Ketiga, tegar menghadapi dan mengatasi risiko. Keempat, ingin mengejar dan merealisasikan sesuatu cita-cita. Kelima, bijak mengambil peluang, pasti akan sanggup menimba rezeki dan sebagainya walau di ceruk mana sekalipun. 

Katanya, oleh itu, bukan hanya orang Kelantan, malah mana-mana anak negeri lain pun akan turut berada di segenap ceruk dan pelosok tanah air jika mereka ingin mengambil langkah berhijrah, berdasarkan sebarang faktor yang disebutkan itu.

"Jika kini, anak Kelantan atau mana-mana anak negeri lain sekalipun berhijrah atau merantau ke mana-mana ceruk tanah air, hakikatnya bukanlah kerana faktor negeri asal mereka sangat miskin. 

"Sebaliknya sebagaimana dijelaskan itu, mereka sebenarnya adalah golongan individu yang bersemangat kental, berani mencari dan merubah pengalaman, tegar menghadapi dan mengatasi risiko, ingin mengejar dan merealisasikan sesuatu cita-cita serta bijak mengambil peluang," jelasnya. 

Oleh itu, tanpa mempedulikan mitos hijrah yang sering ditohmahkan dengan apa alasan sekalipun terhadap rakyat Kelantan, mereka akan tetap mengintai peluang dan menimba rezeki walau di ceruk mana sekali pun di tanah air ini. 

Berhubung tohmahan kononnya Kelantan ketinggalan dalam pembangunan, usahawan terkemuka Kelantan yang berjaya di luar Kelantan, Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hissamuddin Yaacub mengakui dari segi fizikalnya dakwaan itu betul, tetapi orang Kelantan tidak susah kerana mereka mempunyai jati diri dan keusahawanan yang tinggi.

"Sebab itu kita tengok di mana sahaja di Kelantan ada orang menjual. Setiap 100 meter, di Jalan Pengkalan Chepa, misalnya, ada orang perempuan duduk di belakang periuk, menjual. Fenomena ini tak ada di tempat lain.

"Kalau tengok rumah-rumah di Kelantan, saya kira (fikir) di Kelantanlah paling banyak banglo yang sudah terbayar, bukan hutang bank, yang dimiliki oleh orang Melayu. 

"Pasal apa? Tanah dia sendiri, dia beli barang sendiri, dia upah orang buat. Begitu juga kereta Mercedes dan sebagainya banyak di Kelantan. Ertinya dari segi ekonomi tempatan, saya salute mereka," katanya.   

Drs Abdul Rahman Al-Ahmadi  dalam sebuah esseinya yang dihasilkan pada tahun 1984 menjelaskan bahawa orang Kelantan/Pattani sejak dahulu sampai sekarang suka merantau dengan berbagai-bagai tujuan, mengadu untung, mencari tempat kediaman baharu, meneroka hutan belantara, menuntut ilmu, mengajar dan berdagang. 

"Pada zaman dahulu, mereka belayar jauh (dengan hanya menggunakan perahu) perahu pinis ke Palembang, Aceh, Jawa, Kalimantan, Bangkok, Saigon, Kemboja dan juga Sulawesi. 

"Sehingga kini, kekayaan hasil sumber negeri dan ditambah lagi oleh kemahiran anak negeri Kelantan dalam pelbagai aspek yang boleh dijadikan peluang dalam sektor niaga, memberikan dan membuka peluang luas pintu rezeki. 

"(Itulah sebabnya) sebagai contoh, salah satu caranya ialah orang Kelantan akan membawa hasil niaga daripada sumber kekayaan dalam negeri dan hasil kemahiran dalam pelbagai aspek ini ke luar Kelantan untuk menjangkau pasaran yang lebih luas," katanya. 

Contohnya, tambah Abdul Rahman, Kelantan sangat terkenal dengan sektor niaga berasaskan kesenian seperti batik dan songket, ketukangan emas, perak, tembaga dan besi, ukiran kayu dan lain-lain lagi. 

Tidak hanya berniaga di dalam negeri, orang Kelantan juga gigih berhijrah dan merantau ke segenap pelosok tanah air unrtuk memasarkan semua bahan niaga itu. Bukan sahaja secara besar-besaran, malahan juga akan sanggup memasarkannya di pasar malam, menjaja, hatta secara bayaran ansuran bulanan.

Minta Siasat Punca Kematian

KOTA BHARU - “Sebagai ahli keluarga, kami masih keliru dengan kematian Wan Mohd Helmi dan kami mahu punca kes ini disiasat,” kata ibu mangsa, Mariam Daud, 56. 

Wan Mohd Helmi Wan Daud, 24, dikatakan maut dihempap pokok pada mulanya, namun semasa dia koma di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, rakan yang terlibat sama dalam kemalangan memberitahu mangsa dipukul. 


Abang mangsa, Zubir Wan Daud, 27, berkata, disebabkan timbil kekeliruan, keluarga mangsa mahu kes terbabit disiasat. 

“Jenazah adik saya masih berada di Unit Forensik, HUSM dan kami mahu bedah siasat dilakukan untuk mengetahui punca sebenar, sama ada akibat kemalangan atau dipukul. 

“Memang kejadian ribut berlaku dan ada pokok tumbang berdekatan tempat kejadian, kami ingat dia terlibat dalam kemalangan, tetapi ahli keluarga keliru apabila selepas sehari adik saya koma di hospital, salah seorang rakan yang terlibat sama memberitahu adik saya dipukul,” dakwanya. 

Zubir berkata, laporan polis pernah dibuat sebelum ini di Balai Polis Gua Musang oleh kedua-dua rakan (saksi), namun pihak keluarga terpaksa membuat semula laporan polis di Balai Polis Kubang Kerian dengan mendakwa ada unsur jenayah pada kematian itu dan mahu ia disiasat. 

“Kami juga rasa pelik, jika dihempap pokok, kenapa motosikal yang ditunggangnya tidak rosak dan memang terdapat kesan seolah-olah dipukul pada bahagian leher serta kepala adik saya,” dakwanya. 

Wan Mohd Helmi berasal dari Setiu, Terengganu meninggal kira-kira jam 5 pagi semalam dan baru empat bulan tinggal serta bekerja mengusahakan ladang getah di Gua Musang. 

Mariam berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anak kelapan daripada sembilan beradik itu semasa meraikan Hari Raya Aidilfitri lalu. 

“Saya tidak nampak perubahan ketara padanya, cuma pada hari raya lalu dia kelihatan sangat gembira kerana dapat makan bersama ahli keluarga yang berkumpul. 

“Saya tinggal di Setiu dan anak saya bekerja di Gua Musang, saya tidak mengetahui cerita sebenar, namun saya berharap punca kematian disiasat bagi mengelak rasa terkilan dan ralat jika kami membiarkan keadaan ini,” katanya. 

Sementara itu, sepupu mangsa yang tinggal di Laloh, Gua Musang, Nik Shamsuddin Sayidina Anas, 28, berkata, kali terakhir dia bertemu mangsa sehari sebelum kejadian kemalangan. 

“Arwah datang ke rumah bapa saudaranya (ayah saya) dan sebelum balik, dia bersalaman dengan saya dan memberitahu ‘nak balik dah, nanti jumpa lagi, tetapi tidak tahu jumpa atau tidak selepas ini’,” katanya. 

Bapa kepada bapa angkat mangsa, Tuan Ismail Tuan Mat, 66 berkata, mangsa dikatakan mengalami kemalangan kira-kiranya jam 7 petang Selasa lalu bersama dua lagi rakan. 

“Mangsa dikatakan menunggang motosikal berasingan bersama dua lagi rakan, semasa dalam perjalanan dari Chiku 5 ke Gua musang berlaku ribut dan ada sebatang pokok tumbang menghempapnya. 

“Ada maklumat yang bercanggah mengenai punca kejadian itu apabila rakan yang terlibat sama dalam kemalangan tersebut keesokan harinya semasa melawat arwah yang masih koma kelmarin memberitahu arwah dipukul, jadi kami keliru dan mahu ia disiasat,” katanya.

Kelantan Tagih Aksi Hebat Apek

Penyokong mahu penjaga gol itu bantu pertahan Piala Malaysia kali kedua

KECEMERLANGAN Khairul Fahmi Che Mat (gambar) ketika menafikan percubaan berbahaya Jepun dalam aksi kelayakan Olimpik, kelmarin ditagih oleh seluruh penyokong Kelantan dalam usaha mempertahankan mahkota kejuaraan Piala Malaysia.


Dalam empat aksi awal peringkat kumpulan sebelum ini, gawang The Red Warriors diambil alih penjaga gol berpengalaman, Shahrizan Ismail selepas khidmat Khairul Fahmi lebih diperlukan oleh skuad Olimpik negara.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mohd Khairi Yazid, bangga dengan prestasi cemerlang ditunjukkan Apek ketika membendung serangan berbahaya Jepun.

“Apa yang diharapkan, prestasi cemerlang ditunjukkan Apek dapat diteruskan membantu Kelantan dalam saingan Piala Malaysia sekali gus mempertahankan kejuaraan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selepas empat perlawanan tanpa kelibat Apek, Kelantan hanya kalah sekali dan berjaya menduduki tangga kedua Kumpulan C di belakang pasukan berstatus kelab, Felda United dengan mengumpul sembilan mata.

Walaupun hanya menduduki di tempat kedua, namun ia tidak mematahkan semangat anak buah Datuk M Karathu malah kepulangan penjaga gol berkenaan dalam pasukan dilihat mampu menambahkan keyakinan pemain untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang. 

“Berdasarkan aksi membanggakan Mat Cah (Shahrizan) dalam empat perlawanan, saya nampak ada persaingan positif antara dua pemain ini untuk merebut posisi sebagai penjaga gol utama bagi membantu Kelantan.” 

Thursday, September 22, 2011

Tidak Sempat Jamah Sarapan

KOTA BHARU- Hasrat dua beranak menjamah sarapan terbantut apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Baung semalam. 

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.00 pagi itu bukan sahaja memusnahkan rumah kayu peninggalan keluarga, malah dua motosikal dan sebuah kereta kancil hangus dalam kejadian itu. 


Mangsa Zahara Abu Bakar 63, berkata kebakaran hanya disedarinya selepas melihat kepulan asap dari dapur rumah. 

“Ketika itu saya dan anak saya, Masitah Mohammad 19 yang ketika sedang menikmati sarapan pagi. 

”Melihat kepulan asap itu, saya terus memberitahu anak saya yang kemudian menyuruh kakaknya Siti Asiah 24, yang ketika itu sedang berehat di ruang tamu membawa saya keluar dari rumah,” katanya. 

Zahara berkata, ketika kejadian berlaku dia dan dua anaknya sahaja yang berada dalam rumah, manakala suaminya Mohamad Ibrahim, 64, tiada kerana keluar bekerja. 

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Saipu Bahari Mat Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.25 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian. 

Menurutnya, seramai 21 anggota dari dua buah balai iaitu Pengkalan Chepa dan Kota Bharu bersama lima jentera telah dikejarkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja pemadaman dan menyelamat. 

Saipu berkata, kebakaran ini melibatkan sebuah rumah kayu dan motosikal dan Perodua Kancil. 

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM160,000. Punca sebenar kebakaran ini masih disiasat,” katanya.

Tiga Maut Dalam Sejam

KOTA BHARU- Dalam tempoh sejam, tiga terbunuh dalam kemalangan berasingan di Panji, Kadok dan Kubang Kerian, dekat sini, malam kelmarin. 

Kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal, pemandu lori dan pejalan kaki berlaku antara jam 7.15 hingga 8.05 malam dalam keadaan hujan renyai. 

Kejadian pertama, membabitkan sebuah van Nissan Vanette yang membuat pusingan U di Kampung Paya Lada, Kadok sebelum dirempuh sebuah lori yang dipandu Kheng Jin Sing, 48, bersama kelindannya, kira-kira jam 7.15 malam. 

Van berkenaan yang datang dari arah Ketereh dipercayai membuat pusingan U sebelum dilanggar lori terbabit yang datang dari arah bertentangan. 

Dalam kejadian itu, pemandu lori terbabit, maut manakala kelindannya cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. 

Sementara itu dalam kejadian kedua, seorang warga emas yang berjalan kaki, maut dirempuh sebuah motosikal ketika dia sedang melintas jalan berhampiran Istana, Kubang Kerian, kira-kira jam 7.45 malam. 

Kejadian dipercayai berlaku, ketika mangsa Wan Meriah Wan Sulaiman, 55, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat Maghrib di sebuah masjid berdekatan. 

Dipercayai penunggang motosikal terbabit turut mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan di HUSM Kubang Kerian. 


Dalam kejadian di Panji, seorang remaja maut apabila motosikal yang ditungganginya di rempuh sebuah lori ketika lampu isyarat tidak berfungsi berikutan bekalan elektrik terputus di kawasan berkenaan. 

Mohd Adli Sham Saupi, 19, terperosok di bawah lori dan disahkan mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala. 

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.05 malam, ketika motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Panji ke Pulau Melaka sebelum dirempuh sebuah lori yang dalam perjalanan dari arah Kubang Kerian ke Pengkalan Chepa. 

Akibat perlanggaran itu, mangsa telah terperosok di bawah lori dan disahkan maut di tempat kejadian. 

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, Assistant Komisiner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Rekod Lama Ukan Jadi Ukuran

KOTA BHARU – Dua kali bertemu Johor FC di tempat lawan sepanjang musim ini dan kedua-dua keputusan berpihak kepada Kelantan namun itu bukan jaminan mutlak bagi skuad kendalian Datuk M Karathu mudah mencipta kemenangan apabila membuat perhitungan dengan pasukan berstatus kelab di Stadium JCorp, Pasir Gudang pada Sabtu ini. 


Hakikat ini diakui sendiri pemain pertahanan, Mohd Farisham Ismail yang menganggap tiket ke suku akhir masih belum terjamin buat Kelantan melainkan perlu menewaskan Johor FC dalam perlawanan tersebut. 

“Perlawanan ini cukup penting bagi menentukan untung nasib kita dalam saingan kempen Piala Malaysia musim ini. Kita tidak mempunyai pilihan selain perlu mencatatkan kemenangan walaupun mereka juga turut berpeluang untuk ke suku akhir sekiranya mampu mengalahkan kita,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam. 

“Rekod pertemuan lalu tidak lagi boleh diambil kira walaupun kita pernah mengalahkan mereka sebanyak dua kali di Pasir Gudang sepanjang musim ini. Sudah pasti mereka akan bermain mati-matian untuk mengalahkan kita dalam pertemuan ini. 

“Apa yang saya harapkan daripada rakan sepasukan yang lain kita harus memberikan fokus lebih dalam perlawanan ini. Tiga mata ini cukup penting bagi kita mengesahkan tempat layak ke suku akhir,” katanya. 

Menurut Farisham, kejayaan Kelantan mengalahkan Sarawak 4-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu tempohari menyuntik semangat rakan sepasukannya yang lain untuk mengulangi perkara yang sama apabila bertandang ke Pasir Gudang pada Sabtu ini. 

“Saya sudah bersedia sekali lagi untuk mempamerkan aksi terbaik menerajui benteng pertahanan Kelantan bagi mengekang serangan pasukan Johor FC yang diketuai Mohd Khairul Ismail. 

Sementara itu, Mohd Farisham menegaskan sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab setelah dipilih oleh jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal untuk menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Australia pada 7 Oktober nanti. 

“Peluang menentang pasukan Socceroos tidak harus dilepaskan begitu sahaja dalam menimba pengalaman. Saya berjanji akan buat yang terbaik jika dipilih beraksi dalam perlawanan tersebut,” katanya. 

Dua hari lalu, Rajagobal mengumumkan barisan pemain yang akan menghadapi perlawanan persahabatan tersebut dengan tiga pemain iaitu Mohd Farisham Ismail, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat dipilih menganggotai skuad kebangsaan tersebut sementara Mohd Shakir Shaari dan S Chanturu pula digugurkan.

Tuesday, September 20, 2011

Red Warriors Mula Bangkit

KOTA BHARU - Selepas tumpas mengejut kepada Felda United Rabu lalu, Kelantan kembali mempamerkan watak sebagai pasukan pilihan apabila membelasah pasukan tercorot Kumpulan C, Sarawak 4-0 pada saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohammed IV, kelmarin.

Kemenangan tersebut cukup bermakna buat jurulatih Datuk M.Karathu yang gembira dengan peningkatan pemain, berbanding ketika menentang Sarawak pada 6 September lalu di Kuching.

Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (jersi merah) melakukan percubaan ke arah pintu gol Sarawak pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohammed IV, kelmarin. 

"Saya gembira dengan komitmen pemain yang tidak mudah putus asa untuk mendapatkan gol walaupun pasukan lawan memilih untuk bermain secara bertahan. "Inilah realiti bola sepak di mana kita dapat melihat Sarawak mampu menyerap tekanan ketika terikat tanpa jaringan dan mereka begitu bersemangat untuk bertahan.

"Jaringan pertama yang kita raih dapat merupakan titik tolak kebangkitan Red Warriors. Jika kita mampu jaringkan gol pada babak pertama, mungkin lebih banyak jaringan mampu dihasilkan.

"Tiga mata ini sangat berharga. Kita tidak boleh tercicir mata lagi. Pemain tahu apa yang mereka perlu buat malam tadi (kelmarin) dan hasilnya kita lakukan apa yang sepatutnya kita buat," katanya.

Pada perlawanan kelmarin, Kelantan dipaksa berhempas pulas sebelum mendapat jaringan pertama pada minit ke-79 menerusi ketua pasukan Mohd. Badri Radhi.

Gol tersebut melonjakkan semangat pemain tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua menerusi Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-87 sebelum pemain gantian Danial Fadzly Abdullah menambah derita pelawat seminit kemudian.

Pada minit akhir permainan, Mohd. Badri membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menambah koleksi jaringan kedua peribadi.

Kemenangan tersebut membolehkan Red Warriors selesa menghambat peneraju kumpulan, Felda United apabila kini hanya dibezakan satu mata.

Karathu juga mengakui pemainnya lambat panas sehingga terpaksa menunggu minit ke-79 untuk menghasilkan gol pertama biarpun banyak peluang terhidang sebelum itu.

"Semua boleh lihat bagaimana kita mempunyai banyak peluang tetapi gagal disempurnakan pada babak awal permainan.

"Ia situasi yang sangat sukar dan sekurang-kurangnya kita perlu menjaringkan gol dalam tiga percubaan.

"Saya rasa pemain turun dengan semangat untuk memenangi perlawanan selepas kita tewas kepada Felda United tempoh hari.

"Dalam bola sepak menjaringkan gol adalah sangat penting, kalau kita main baik tapi gagal menghasilkan gol, ia suatu kegagalan," katanya.

Kereta Putus Lekat di Tiang

PUTRAJAYA: “Ketika sampai di tempat kejadian, saya melihat kereta mangsa putus dua, kaki mangsa terperosok di bahagian pedal minyak manakala beberapa cebisan dipercayai otak mangsa melekat di tempat duduk belakang,” kata seorang saksi kemalangan maut di sini, semalam.

Menurut saksi yang enggan dikenali itu, dia adalah antara yang terawal melihat kejadian terbabit di Kilometer 7.2, Persiaran Selatan berhampiran susur keluar Pusat Konvensyen Antarangsa Putrajaya (PICC).


“Saya bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan rakan mengenai kemalangan berkenaan, namun sebaik tiba saya melihat anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduknya.

“Ketika itu saya ingat mangsa masih hidup, tetapi rupanya dia sudah meninggal dunia. Keadaan kereta mangsa terputus dua, enjin serta dua tayar depan tercampak tidak jauh dari tiang lampu yang dilanggarnya,” katanya, ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kemalangan pada jam 5.25 petang itu, mangsa Mohammad Rasydan Rasid, 20, yang dikatakan dalam perjalanan dari Dengkil, Sepang ke Putrajaya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Polis, Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memandu laju mengakibatkan kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu.

Katanya, akibat rempuhan itu, kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu mangsa terputus dua.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika mengambil selekoh lalu merempuh tiang lampu di tempat kejadian.

“Mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Pihak Bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa, sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat,” katanya.

Lambat Panas Tapi Mengganas

KOTA BHARU - Menguasai hampir keseluruhan perlawanan namun gagal menjaringkan gol, begitulah anggapan ramai sebelum anak buah Datuk M Karathu kembali bangkit pada 10 minit babak terakhir dengan meledakkan empat gol dalam aksi pertemuan menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam. 


Dua gol daripada Kapten, Muhd Badhri Radzi dan satu gol masing-masing menerusi Norshahrul Idlan Talaha dan pemain gantian, Danial Fadzly Abdullah membutirkan kemenangan bermakna di hadapan hampir 5,000 penyokong The Red Warriors.. 

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu gembira betapa skuad kendaliannya berada di landasan tepat untuk mengetuk pintu laluan ke suku akhir. 

“Nak kata kita lambat panas boleh jadi, tapi ini memberi kesulitan (menjaringkan gol) kepada kita sendiri. Mengharungi 79 minit perlawanan dengan kesukaran untuk menjaringkan gol namun akhirnya saya gembira dengan kemenangan ini,” katanya sejurus perlawanan berakhir, malam semalam. 

Menurutnya, situasi itu tidak boleh berlaku apabila bertemu pasukan yang kuat masa akan datang. 

“Dalam bola sepak, kalau kita dapat tiga peluang pada satu-satu masa, kita harus memanfaatkannya dengan menjaringkan satu gol. 

“Dalam perlawanan ini, kita mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol. Saya fikir pemain saya mempunyai kemahuan yang kuat untuk mencatatkan selepas kalah kepada KL Felda United FC tempoh hari. 

“Mereka banyak menyerang, menguasai perlawanan dengan baik cuma jaringan sahaja tidak hadir pada masanya,” katanya. 

Sambil menyifatkan gol pertama pada penghujung perlawanan menjadi detik kebangkitan anak buahnya dalam perlawanan tersebut, Karathu sekali lagi memberi ingatan kepada pemainnya untuk tidak mendabik dada menghadapi baki dua perlawanan selepas ini. 

“Inilah bola sepak. Kalau kita bermain cantik dan menguasai perlawanan tetapi tidak berjaya menjaringkan gol pun tiada guna. Anda boleh lihat pemain Sarawak cukup bersemangat mengekang asakan kita ketika kedudukan masih terikat tanpa jaringan dalam perlawanan ini. 

“Kemenangan ini tidak melekakan sebaliknya menjadi titik tolak kepada kebangkitan kita. Berapa gol kita jaring itu tidak penting kerana saya hanya mahukan tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya. 

Ditanya mengenai prestasi turun naik Ketua Pasukannya, Muhd Badhri dalam perlawanan itu, Karathu jelas berpuas hati dengan sumbangan dua gol daripada pemain tersebut.

Filem Hantu Bonceng didakwa Hina Rasulullah SAW

SHAH ALAM - Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), perlu mempunyai badan syariah bagi memantau filem berbaur penghinaan terhadap Islam tidak diterbitkan.

Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, ini dapat dilihat apabila filem `Hantu Bonceng’ arahan Ahmad Idham Ahmad Nazri dilakonkan Mohd Razizan Abd Razak (Zizan) jelas menghina Rasulullah SAW apabila Zizan menyebut Asyhadu anna Muhammadar Syaitan membawa maksud `Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan’.


Beliau berkata, kalimah syahadah bukan perkataan boleh dijenakakan atau dipersendakan kerana ia boleh menggugurkan syahadah walaupun ia sekadar lakonan. 

“Ini akan mencetus kekeliruan dan gambaran salah masyarakat terhadap Islam, lebih berisiko apabila ia turut merosakkan aqidah masyarakat.

“Kami mempersoalkan panel penapisan di LPF dan Finas kerana membenarkan filem yang ditayangkan untuk tontonan umum wujud babak yang menimbulkan kontroversi.

“Lebih malang, pihak berkuasa agama mengambil sikap berdiam diri, malah kini terdapat lambakkan filem tahyul dan karut untuk tontonan umum di televisyen tanpa sebarang tindakan berkesan oleh berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Idham yang dihubungi Sinar Harian baru-baru ini, menyifatkan isu berkenaan hanyalah usaha segelintir pihak yang cuba untuk mencari publisiti atas kejayaan filemnya.

“Filem ini sudah diluluskan untuk tayangan oleh pihak yang bertanggungjawab termasuk Finas dan LPF.

“Sebelum membuat filem ini, saya terlebih dahulu meminta pandangan dan nasihat daripada mereka yang arif seperti ulama dan mereka yang mempunyai ilmu agama yang tinggi,” katanya.

Nasrudin berkata, kerajaan harus meneliti perkara ini, jangan dibiarkan filem menjadi medium untuk menghina agama, mempersenda dan memperkecilkan Islam di dalam negara ini.

Monday, September 19, 2011

Hampiri Ke Suku Akhir

KELANTAN 4 

Muhd Badhri Radzi (m-79,91) 
Norshahrul Idlan Talaha (m-87) 
Danial Fadzly Abdullah (m-88) 

SARAWAK 0


KOTA BHARU – Tempoh 21 minit terakhir menjadi detik paling indah bagi The Red Warriors yang berjaya bangkit membelasah Sarawak 4-0 dalam aksi perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi. 

Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi menjadi watak penting atas kebangkitan pasukan Kelantan pada penghujung babak kedua setelah lebih sejam anak buah Datuk M Karathu terpaksa bertungkus-lumus merobek pintu gol Sarawak yang ternyata cukup sukar ditembusi dalam perlawanan malam tadi. 

Kemenangan tersebut mencerahkan peluang Kelantan untuk mengisi salah satu slot ke suku akhir dan perlu menewaskan Johor FC pada pertemuan Sabtu ini untuk mengesahkan tempat berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik. 

Seawal minit keempat, Kelantan memulakan ancaman merbahaya menerusi hantaran lintang Mohd Nurul Azwan Roya yang menyaksikan penjaga gol, Aidil Mohamad pantas meluru keluar menyelamatkan keadaan biarpun cuba dicabar Muhd Badhri Radzi. 

Pada m-15, Kelantan terlepas peluang apabila rembatan kencang Mohd Shakir Shaari gagal ditangkap kemas Aidil, namun Norshahrul Idlan Talaha gagal memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan pintu apabila bola sempat dikeluarkan pemain pertahanan Sarawak. 

Tiga minit kemudian, Muhd Badhri bijak melakukan umpanan cantik kepada Norshahrul Idlan di dalam kotak penalti, namun pemain pertahanan Sarawak, Mohamad Fareez Tukijo pula lebih pantas membaca hantaran tersebut. 

Pada m-21, berpunca satu serangan balas pantas, Kelantan hampir menjelmakan gol pertama mereka tetapi rembatan kencang Norshahrul Idlan sekali lagi diselamatkan Aidil. 

Tiga minit berselang, badi kesukaran menembusi pintu gol Sarawak sekali lagi terserlah apabila ketangkasan Aidil di gawangnya memastikan sepakan percuma menarik Muhd Badhri sekali lagi diselamatkannya. 

Pada m-36, Azammuddin Mohd Akil mensia-siakan peluang terbaik apabila gagal menampan kemas hantaran lintang S Chanturu Mohd Akil biarpun berada dalam kedudukan yang selesa untuk menjaringkan gol. 

Sarawak yang tampil dengan corak permainan bertahan dengan meletakkan Bobby Gonzales sebagai penyerang tunggal turut mempunyai peluang untuk menggegarkan jaring pada m-40 namun rembatannya jauh tersasar daripada pintu gol Kelantan. 

Pasukan Sarawak bangkit mempamerkan persembahan lebih agresif dan hampir memperoleh peluang untuk memecahkan kebuntuan jaringan tatkala perlawanan baru enam minit bersambung pada babak kedua. 

Salah faham antara S Subramaniam dengan Mohd Daudsu Jamaludin hampir mengundang padah apabila pemain Sarawak, Ashri Chuchu bijak merebut bola dan sempat melepaskan rembatan namun Mohd Shahrizan Ismail pantas menutup ruang bagi memastikan pintu golnya tidak dibolosi. 

Namun percubaan tersebut dikira satu-satunya peluang terbaik bagi skuad Bujang Senang kerana selepas itu barisan pemain Datuk M Karathu tidak lagi membenarkan pasukan pelawat bermaharajalela sebaliknya kembali menguasai hampir keseluruhan perlawanan pada babak tersebut. 

Muhd Badhri berjaya menebus kembali kekecewaan sebelum itu apabila memecahkan kebuntuan dengan menjaringkan gol pertama untuk Kelantan pada m-79. Berpunca lorongan cantik Mohd Shakir ke dalam kotak penalti, Muhd Badhri bijak memperdayakan dua pemain pertahanan Sarawak dan rembatan kaki kirinya berjaya menewaskan Aidil untuk gol pembukaan Kelantan. 

Ternyata gol tersebut membakar semangat juang barisan pemain Kelantan untuk menambahkan jaringan selepas itu. Lapan minit kemudian, pintu gol Sarawak bolos lagi kali ini menerusi gerakan menarik satu dua di antara penyerang sensasi, Norshahrul Idlan dengan Muhd Badhri. 

Norshahrul Idlan bijak memanfaatkan gerakan tersebut dengan melepaskan rembatan leret di dalam kotak penalti untuk menghasilkan gol kedua Kelantan. 

Seminit kemudian, Muhd Badhri terus menjadi watak penting dalam perlawanan malam tadi apabila membantu Kelantan memperoleh gol ketiga. Pemain gantian, Danial Fadzly Abdullah mengukir nama sebagai penjaring gol apabila menyempurnakan lorongan cantik Muhd Badhri di dalam kotak penalti dengan merembat masuk untuk gol ketiga Kelantan. 

Semangat juang pemain Sarawak akhirnya terpadam pada minit-minit akhir perlawanan setelah Muhd Badhri menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan malam tadi. Berpunca hantaran lintang Norshahrul Idlan ke dalam kotak penalti, Mohd Nizab bijak mengumpan kepada Muhd Badhri yang tidak dikawal dan melepaskan rembatan kencang untuk gol keempat Kelantan.

Kelantan Bangkit Tunjuk Taring

FELDA United muncul pasukan pertama layak suku akhir Piala Malaysia 

WALAUPUN sekadar seri 1-1 menentang Johor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi tetapi ia sudah memadai buat FELDA United muncul pasukan pertama layak ke suku akhir saingan Piala Malaysia, musim ini.


Skuad bimbingan E Elavarasan itu kini sudah menghimpun 10 mata ketika saingan masih berbaki dua perlawanan pada malam yang menyaksikan Kelantan bangkit garang pada 10 minit terakhir membelasah Sarawak 4-0 di di Stadium Sultan Muhammad IV.

Bagaimanapun, FELDA ketinggalan pada minit ke-38 apabila pelawat mendahului menerusi jaringan Mohamad Izuan Jarudin yang menanduk sepakan percuma rakan sepasukan, Md Khairul Ismail, tetapi tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi Mohd Azrul Ahmad. 

Dua gol oleh ketua pasukan, Mohd Badri Mohd Radzi pada minit ke-80 dan 90 serta masing-masing satu gol daripada Norshahrul Idlan Talaha (m-87) dan Daniel Fadzli Abdullah (m-88) membolehkan The Red Warriors memadam episod duka tewas mengejut kepada Felda United 2-0, Rabu lalu. 

Harapan skuad bimbingan Datuk M Karathu untuk bangkit menebus kecewa itu sudah diterjemahkan sejak wisel permulaan ditiupkan apabila terus menguasai saingan dengan melancarkan beberapa serangan bertali arus. 

Namun, tiga peluang terbaik pada minit ke-17, 19 dan 21 menerusi Daudsu Jamaluddin, Nurul Azwan Roya dan Norshahrul Idlan Talaha sepatutnya sudah menggamatkan stadium, tetapi rembatan lemah serta tersasar menyaksikan gawang pelawat selamat. 

Kegagalan barisan depan Kelantan menyudahkan beberapa peluang terhidang bagaimanapun ditebus pada 10 minit terakhir apabila mereka meledak dengan empat gol menewaskan penjaga gol pelawat, Aidil Mohamad.