Friday, April 9, 2010

Nasib Malang Diburu Dzud


MUSIM sejuk yang melampau mengakibatkan para petani di Mongolia mengalami kerugian.


SELEPAS musim sejuk tahun lalu kira-kira 1,000 ekor haiwan ternakannya terbunuh. Petani wanita, Baatariin Erdenechimeg berpindah dengan merentasi Mongolia untuk memulakan hidup baru.

Namun musim sejuk kali ini tidak ada bezanya dengan tahun lalu kerana keluarganya kehilangan satu pertiga daripada ternakan dan mungkin lebih banyak yang akan mati sebelum tiba musim panas.

"Ternakan kami tidak tahan dengan cuaca yang terlalu sejuk. Mereka rebah di atas salji dan mati dalam masa 24 jam. Haiwan yang masih hidup pula kini tinggal kulit dan tulang saja," kata Erdenechimeg, 42, yang mempunyai dua orang anak.

Erdenechimeg adalah salah seorang daripada beribu-ribu penduduk Mongolia yang hidup berpindah-randah dan bergantung sepenuhnya kepada ternakan untuk hidup. Namun kini, mereka bergelut dengan dzud kedua berturut-turut iaitu musim sejuk melampau selepas musim kering.

Fenomena cuaca buruk itu adalah antara tragedi yang melanda Mongolia dan menyebabkan masalah bekalan makanan untuk ternakan serta generasi yang tinggal di kawasan tengah Asia itu.

Lebih 3.5 juta ternakan seperti lembu, biri-biri, kambing, yak, kuda dan unta menjadi mangsa suhu rendah dengan 60 peratus negara miskin Asia diliputi salji.

Bangkai beku haiwan jelas kelihatan di padang ragut Mongolia dengan keadaan separuh tertanam di dalam salji. Januari lalu merupakan musim sejuk terburuk dengan suhu lampau sejuk serendah -40 darjah Celcius selama tiga minggu berturut-turut, kata Erdenechimeg.

Bagi memastikan ternakan terus hidup, dia mengurung mereka di dalam kandang yang sempit sementara suaminya, Batdorj keluar meredah kegelapan untuk mencari ternakan yang sesat.

Lapan ekor kuda rebah ke tanah, begitu juga dengan sekumpulan biri-biri dan kambing Kashmir. Sekumpulan lagi kambing berjaya diselamatkan itupun kerana Erdenechimeg menempatkan mereka di dalam ger iaitu khemah berbentuk bulat yang digunakan oleh etnik nomad itu.

Kehilangan ternakan

Lebih banyak binatang ternak mati sebelum musim sejuk tamat kerana ketiadaan bekalan makanan. Tanah yang dipenuhi salji tidak akan bertukar hijau untuk sekurang-kurangnya enam minggu lagi.

"Kami mengalami nasib malang bertimpa-timpa. Tahun lalu kami kehilangan banyak ternakan jadi kami berpindah ke kawasan lain tetapi dzud mengekori kami," luah Erdenechimeg.

Dzud besar kali terakhir melanda Mongolia selama tiga musim berturut-turut dari tahun 2000 hingga tahun 2002 dengan anggaran 2.5 juta ternakan mati setiap tahun.

Berpuluh-puluh ribu penternak yang kehilangan segala-galanya berpindah ke ibu negara, Ulan Bator untuk mencari pekerjaan dan kebanyakan daripada mereka gagal berbuat demikian dan kadar pengangguran di negara itu melebihi 30 peratus.

ERDENECHING antara rakyat Mongolia yang terpaksa hidup berpindah-randah untuk melarikan diri daripada ancaman musim sejuk.


Dzud tahun ini lebih mengerikan dengan anggaran lima juta ternakan mungkin mati sebelum musim sejuk.

Penternak yang mempunyai 200 ternakan atau kurang adalah yang paling teruk terjejas. Tanpa pengalaman dan kurang persediaan menghadapi cuaca sejuk, kebanyakan daripada mereka kehilangan antara 50 hingga 60 peratus ternakan.

"Meskipun pengusaha ternakan besar-besaran berjaya melalui musim sejuk, namun penternak kecil-kecilan tidak mempunyai peralatan yang cukup untuk berdepan dengan semua ini. Mereka perlu beralih daripada membela ternakan kepada bentuk perniagaan lain," kata Akbar Usmani, wakil Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPD) di Mongolia.

Bantuan kecemasan

PBB menganggarkan AS$15 juta (RM50 juta) dalam bentuk bantuan kecemasan diberikan kepada penternak bagi membantu mereka bertahan dalam cuaca sejuk dan dapat menyelamatkan ternakan.

Dua konvoi yang membawa makanan ternakan, selimut, baju dan tepung sudah pun meninggalkan Ulan Bator.
Pasukan kecemasan juga dikerahkan ke kawasan pedalaman untuk memudahkan wanita mengandung dibawa ke hospital. Namun di bahagian barat negara itu, beratus-ratus kediaman sukar dimasuki kenderaan kerana salji tebal.

"Mongolia lebih kurang sama saiz dengan Alaska dan jumlah penduduk seramai 2.7 juta. Maka untuk berjumpa dengan sebilangan penternak adalah satu cabaran," kata Usmani lagi.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) pada bulan lalu menganggarkan kerugian ekonomi berpunca daripada dzud kini mencapai AS$60 juta (RM200 juta).

Sembilan kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dengan kebanyakannya di kalangan penternak yang sesat ketika mencari ternakan.

Petugas lapangan PBB melaporkan banyak kes trauma di kalangan penternak yang tidak dapat menerima hakikat dengan pemandangan ternakan-ternakan mati berhampiran rumah mereka.

"Apabila kami sampai di rumah mereka, mereka terus menangis. Mereka terkejut melihat ternakan kesayangan mereka mati dalam keadaan beku dan kebuluran," ujar Ulaanbayariin Tungalag, petugas PBB di wilayah Dundgobi adalah kawasan paling teruk dilanda musim sejuk.

Sebaik salji mencair kelak, UNPD dan Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA) akan melancarkan projek pembersihan bangkai ternakan bernilai AS$1.8 juta (RM6 juta) yang bertujuan mengelakkan masalah jangkitan penyakit daripada pereputan bangkai. 

Sumber: AFP

0 komen:

Post a Comment