KOTA BHARU – Suka atau tidak, penyandang juara, Kelantan tidak mempunyai pilihan, selain perlu mengalahkan Sarawak dalam pertemuan pusingan kedua peringkat Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.
Tatkala sisa perjuangan skuad bimbingan Robert Alberts hampir terpadam dalam saingan Piala Malaysia musim ini angkara tiga kekalahan berturut-turut, skuad The Red Warriors pula harus tampil dengan skrip baru daripada aksi kurang meyakinkan dalam pusingan pertama kepada lebih agresif sebaik sahaja perlawanan pusingan kedua bermula malam ini.
Pertemuan malam ini, bakal menjadi ujian penting kepada Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu yang cukup positif betapa pasukan kendaliannya mampu mempamerkan kebangkitan luar biasa mengharungi pusingan kedua ini.
Gandingan dua penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Azammuddin Mohd Akil yang kemarau jaringan sejak dua perlawanan lalu perlu tampil garang.
Sentuhan Norshahrul Idlan yang terkenal dengan kemahirannya memperdayakan pemain lawan dalam sudut sukar sekali lagi ditagih, manakala Azammuddin yang mempamerkan disiplin terpuji di atas juga berperanan sebagai pemusnah dalam pertemuan malam ini.
Kelibat dua pemain lipas kudung, Mohd Nurul Azwan Roya dan S Chanturu hampir pasti diberi tanggungjawab untuk menerajui kedua-dua bahagian sayap sementara Mohd Shakir Shaari yang cemerlang dalam perebutan bola juga tetap menjadi sandaran Karathu di posisi tengah.
Sementara itu, penjaga gol Mohd Shahrizan Ismail yang melepaskan dua gol dalam pertemuan dengan KL Felda United FC juga perlu kembali kepada prestasi sebenar dalam perlawanan malam ini.
Bertemu dengan Sarawak malam ini menjadi titik tolak kepada The Red Warriors untuk menjelmakan perwatakan sebenar setelah disuntik semangat baru oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam satu pertemuan tertutup bersama semua pemain hampir dua jam, petang semalam.
0 komen:
Post a Comment