Sunday, September 18, 2011

Ciuman Terakhir

TUMPAT: “Perangainya (arwah suami) pelik petang semalam (kelmarin) kerana bukan saja mencium pipi saya dan dua anak kami tetapi sempat meninggalkan wang, seolah-olah ada sesuatu yang tersirat,” kata suri rumah, Siti Fatimah Ismail, 23.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, kereta Proton Wira Aeroback dinaiki suaminya, Allahyarham Mohammed Sidik, 32, hilang kawalan lalu terbabas dan menjunam ke dalam kawasan tali air di Kilometer 2.5 Jalan Berangan-Meranti, di sini.


Kemalangan menyebabkan Mohammed dan rakannya yang juga pemandu kereta, Mohamad Rasid Sabudin, 23, gagal keluar dari kenderaan sebelum maut di tempat kejadian selepas kenderaan sarat dengan 20 tong minyak petrol itu terbakar.

Difahamkan, akibat kejadian itu, Mohamad Rashid yang berasal dari Rumah Asap Tembakau, Cabang Empat, dekat sini, terbakar hampir seluruh badan dan muka, manakala Mohammad pula yang beralamat di Pondok Haji Husin, Geting, dekat sini, melecur separuh badan, termasuk dua kakinya.

Usaha mengeluarkan mangsa dilakukan dengan kerjasama anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, sebelum mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tumpat (HT), dekat sini, untuk bedah siasat.

Siti Fatimah yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak keduanya, Mohd Fitri Shah, berkata dia terkejut selepas mendapat berita kemalangan yang mengorbankan suaminya, malam kelmarin.

“Menggeletar badan saya sejurus rakan arwah suami memaklumkan kemalangan itu. Saya sangka dia hanya kemalangan biasa, namun suami maut selepas kenderaan dinaikinya terhumban ke dalam parit.

“Saya kemudian menghubungi ibu mentua mengenai kemalangan itu dan mereka bergegas ke Hospital Tumpat (HT) untuk menuntut mayat suami di bilik mayat,” katanya sebak sejurus ditemui melihat lokasi kemalangan mengorbankan suaminya.

Ibu dua anak itu berkata, meskipun berat hatinya menerima kenyataan kehilangan suami dalam sekelip mata, dia reda dengan ujian Tuhan.

“Kerja mengambil upah mengambil minyak terbabit baru diceburinya tetapi tidak sangka membawa kepada musibah, malah kenderaan itu diberikan taukenya (majikan suami).

“Jika tidak menerima pelawaan rakannya, mungkin arwah tidak terbabit dengan kerja berisiko seperti itu,” katanya yang turut menyedari kelainan pada wajah suaminya apabila dilihat merenung lama ke arah mereka tiga beranak sebelum meninggalkan rumah pada petang sebelum kejadian.

Sementara itu, ibu Mohammed, Mek Embon Ismail, 54, berkata kali terakhir bertemu arwah anaknya selepas pemuda berkenaan bersama anak sulungnya, Mohd Adam Asyraf, 3, datang ke rumah seminggu lalu, selain dilihat berselera makan.

Mohammed disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Garong Pasir Puteh, manakala rakannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunohan selepas solat Zuhur, semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan kemalangan menimpa dua sahabat terbabit selepas kenderaan dinaiki mereka yang sarat muatan tong minyak dipercayai petrol, terbabas sebelum terjunam ke dalam tali air.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu dan penumpang kereta terbabit dalam perjalanan dari arah Berangan menghala ke Cabang Empat dan kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian,” katanya.

0 komen:

Post a Comment