KOTA BHARU - Meskipun Kelantan memerlukan satu mata untuk bergelar juara Liga Super musim ini, ketua pasukannya Mohd. Badri Radzi menuntut kerja keras rakan sepasukan bagi memastikan The Red Warriors mencapai kemenangan ke atas Sabah dalam aksi terakhir liga di Stadium Likas, Kota Kinabalu, esok.
Mohd. Badri Radzi (dua dari kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Kota Bharu, semalam menjelang pertemuan menentang Sabah di Stadium Likas, esok
Anak kelahiran Kampung Atas Paloh ini berkata, hanya kemenangan sahaja yang akan menjamin peluang The Red Warriors untuk bergelar juara sekali gus menjulang kejuaraan Liga Super buat kali pertama sejak diperkenalkan tujuh tahun lalu.
''Kita tidak boleh bergantung kepada orang lain untuk membantu kita meraih kemenangan. Untuk itu setiap peluang yang ada harus digunakan sebaik mungkin dengan menjaringkan gol agar kita mendapat tiga mata penuh dan muncul juara.
"Inilah peluang terbaik buat kita untuk mencipta sejarah baru iaitu bergelar juara Liga Super buat kali pertama selepas gagal melakukannya pada tahun lalu," katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam pada itu, Badri turut mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang rendah kemampuan Sabah yang pastinya akan turun habis-habisan untuk mengecewakan Kelantan.
"Ruang rehat selama tiga minggu ini telah kami gunakan dengan baik dalam memperkemaskan pasukan dengan tunjuk ajar yang diberikan oleh jurulatih. Secara keseluruhannya saya dan rakan sepasukan telah bersedia untuk perlawanan ini," ujarnya.
0 komen:
Post a Comment