KELANTAN bertekad untuk meraih mata penuh pada aksi terakhir Liga Super musim ini bertemu Sabah pada Rabu ini, sekali gus dinobatkan selaku juara buat kali pertama.
Kelantan menyuarakan keinginan itu ketika juara Piala FA musim ini, Terengganu dan juara bertahan Liga Super, Selangor yakin mereka masih berpeluang memintas skuad The Red Warriors.
NORSHAHRUL (tengah) tetap menjadi sandaran Kelantan pada aksi terakhir Liga Super menentang Sabah, Rabu ini.
Bagi pengurus Kelantan, Azman Ibrahim, meskipun Kelantan hanya perlu mencatat keputusan seri untuk dinobatkan selaku juara baharu, beliau enggan mengambil risiko, sebaliknya mahu mencatat kemenangan dalam perlawanan itu.
Azman berkata, kunjungan ke Negeri Di Bawah Bayu itu bukan semata-mata mahu mencatat seri tetapi mahu memburu tiga mata penting untuk memastikan pasukan tersebut muncul juara liga musim ini.
"Inilah peluang terbaik kita menjulang kejuaraan selepas mencuba selama tiga tahun untuk bergelar juara dan para pemain juga menye- dari kita sudah terlalu hampir untuk mencapai impian tersebut.
"Saya tidak mahu bergantung kepada keputusan lain kerana apa yang kita kecapi hari ini (menduduki tangga teratas liga) adalah hasil usaha gigih kita semata-mata.
"Kegagalan dalam perlawanan akhir Piala FA lalu menjadi pengajaran dan ia menjadi suntikan semangat kepada pemain dan kita tidak mahu kecewa lagi," katanya.
Tambahnya, The Red Warriors tetap tidak memandang mudah pertemuan ini kerana Sabah merupakan sebuah pasukan yang cukup liat untuk ditumbangkan, terutamanya di tempat sendiri.
Azman memberitahu, berdasarkan sesi latihan yang ditunjukkan oleh barisan pemain, beliau optimis misi untuk membawa pulang piala itu ke negeri ini buat pertama kali ternyata tidak mustahil.
"Siapa kata kita tidak boleh mengalahkan Sabah di Kota Kinabalu. Kalau Selangor, Terengganu, Johor FC, Harimau Muda dan T-Team mampu berbuat demikian, saya tidak nampak mengapa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama.
"Malah dua pencabar terdekat kita iaitu Terengganu dan Selangor juga sudah pasti berhadapan tugas sukar kerana bermain di tempat lawan," ujarnya.
Katanya, tidak mudah bagi Terengganu untuk berhadapan dengan KL Felda United FC kerana hanya Kelantan, Selangor, Kedah dan Perak yang pernah menewaskan pasukan itu di tempat mereka.
Sementara itu, Azman turut mengesahkan kesemua lima pemain Kelantan yang bersama skuad kebangsaan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia di Taiwan akan kembali menyertai pasukan esok.
Lima pemain tersebut ialah Nor- shahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Farisham Ismail, Mohd. Shakir Shaari dan S. Chanturu.
0 komen:
Post a Comment