Wednesday, May 4, 2011

Red Warriors Kekal Cemerlang


PASIR GUDANG – Misi pasukan Kelantan meneruskan rentak kemenangan demi mengekalkan kedudukan selaku pendahulu liga tercapai apabila berjaya menundukkan Johor FC 1-0 pada saingan bola sepak Liga Super di Stadium J-Corp, Pasir Gudang, di sini, semalam. 

Turun selaku pasukan pilihan, Skuad Kijang tidak berdepan kesukaran untuk menguasai keseluruhan 90 minit perlawanan walaupun Johor FC kerap kali melancarkan serangan balas dalam usaha membolosi gawang pasukan bimbangan Datuk M Karathu. 

Bagaimanapun, berbekalkan kemenangan bergaya ketika menentang pasukan Sabah pada minggu lalu ternyata menyemarakkan lagi semangat Skuad Lebah untuk menumpaskan Kelantan di tempat sendiri sebaik sahaja bermulanya sepak mula aksi babak separuh masa pertama. 

Aksi separuh babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak antara satu sama lain diikuti beberapa percubaan menarik, namun permainan terpaksa dihentikan pada minit ke-33 sebaik sahaja penyokong Kelantan melontarkan objek ke dalam padang. 

Berhenti selama lima minit, pengadil perlawanan Zamzaidi Katimin kemudiannya meneruskan permainan dan kelibat gandingan pemain Kelantan, Mohd Nurul Azwan Roya, Nor Shahrul Idlan Talaha serta S Chanturu di dalam kotak penalti sering kali mengundang ancaman kepada penjaga gol Johor FC, Mohd Anis Faron. 

Skuad Lebah kendalian Azuan Zain juga tidak kurang hebatnya dengan beberapa siri serangan menerusi hasil gerakan gandingan antara kapten pasukan, Rezal Zambry Yahya sambil dibantu oleh Eddy Helmi Abd Manan. 

Skuad Kijang akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-45 menerusi tandukan cantik kaptennya, Mohd Badhri Mohd Radzi hasil sepakan sudut Daniel Fadzly Abdullah melepasi jangkauan penjaga gol Johor FC, Mohd Anis Faron. 

Johor FC memperkemaskan rentak permainan dengan membuat asakan ke kotak penalty pasukan Kelantan sebaik sahaja sepak mula aksi babak separuh masa kedua bermula. 

Perlawanan disaksikan oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa turut diselangi dengan beberapa insiden provokasi oleh kedua-dua penyokong. 


Datuk M Karathu nyata bijak membuat perancangan dengan mengeluarkan Daniel Fadzly Abdullah menggantikan Khairan Izuan Razal dan juga penjaring gol negeri cik siti wan kembang itu Mohd Badhri Mohd Radzi yang juga kapten pasukan Kelantan diganti Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid. 

Percaturan yang digunakan M Karathu nyata menjadi dengan perlawanan semakin menarik sehingga tamat perlawanan. 

Sementara itu, Karathu ketika ditemui Sinar Harian menyuarakan rasa lega di atas kemenangan hasil daripada corak permainan cemerlang yang dipersembahkan oleh kesemua anak buahnya dalam usaha mengekalkan kedudukan di tempat pertama mengatasi Selangor. 

“Secara keseluruhannya, permainan pasukan yang ditunjukkan amat baik malah kita Berjaya menang di tempat lawan sekali gus mengutip tiga mata penuh. 

“Pujian wajar diberikan kerana pemain saya mampu untuk mempertahankan gawang daripada dirobek pasukan tuan rumah,” katanya.

0 komen:

Post a Comment