KUALA LUMPUR - Kelantan mengambil alih teraju Liga Super daripada Selangor apabila mengalahkan Kuala Lumpur 2-0 pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammed V, semalam.
Jaringan ketua pasukan Mohd. Badri Radzi pada minit ke-24 dan S. Chanturu pada minit ke-79 memastikan skuad Datuk M. Karathu sama 33 mata dengan Selangor, yang hampir melepaskan teraju liga kelmarin.
Namun, Kelantan yang turut memintas pasukan di tangga kedua Terengganu, memintas Selangor berdasarkan kelebihan jaringan.
Perlawanan hambar menghiasi pertembungan T-Team dan Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu menyebabkan keputusan terikat tanpa jaringan.
Felda United dan Negeri Sembilan juga berkongsi mata di Stadium Bola Sepak Kuala, Cheras apabila terikat 2-2.
Negeri Sembilan menolak tuah untuk mengutip tiga mata apabila mendahului 2-0 menerusi Mohd. Shukor Adan minit ke-43 dan Mohd. Firdaus Azizul empat minit kemudian.
Namun, Felda bangkit menerusi jaringan bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof pada minit ke-57 dan Mohd. Lot Hassan memberikan gol penyamaan pada minit ke-84.
Di utara tanah air, skuad Singa Utara, Perlis terus dirundung malang apabila kalah lagi, kali ini 1-3 kepada pasukan Harimau Muda A di Stadium Utama, Kangar.
Perlis yang mendapatkan sentuhan jurulatih baru dari Hungary, Janos Krecska yang memulakan tugasan pertama semalam, gagal mengelak kekalahan terbaru setelah kalah 1-2 kepada Pahang minggu lalu dan 0-4 kepada Kelantan sebelum itu.
Di Stadium JCorp, Pasir Gudang pasukan berstatus kelab, Johor FC tidak berdepan masalah mengutip tiga mata penuh apabila menang selesa 3-0 ke atas Sabah.
0 komen:
Post a Comment