Sunday, May 8, 2011

Puji Aksi Pemain



KOTA BHARU – Biarpun diberi tentangan sengit oleh Kedah sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung, namun kemenangan 2-0 ke atas juara treble itu cukup bermakna bagi Kelantan untuk mengukuhkan kedudukan di persada liga ketika ini. 

Gol hasil jaringan pemain veteran, Muhammad Khalid Jamlus pada m-54 sementara satu gol lagi jaringan S Chanturu pada m-66 juga hasil lorongan Muhammad Khalid sudah cukup untuk memastikan Kelantan kekal memimpin carta liga ketika ini. 

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui kemenangan malam semalam tidak diperoleh dengan mudah apatah lagi Kedah merupakan antara pasukan yang begitu liat untuk ditewaskan oleh Kelantan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. 

“Saya sememangnya sudah menjangkakan kita menghadapi kesukaran untuk mengalahkan Kedah. Malam ini (malam semalam) pemain mereka menunjukkan satu persembahan yang baik sehingga mampu mengikat keputusan seri tanpa jaringan pada babak pertama. 

“Namun, pada babak kedua, anda dapat lihat kita mendominasi perlawanan menukar corak permainan dengan melancarkan serangan melalui bahagian sayap. Gol pertama kita hasil jaringan Muhammad Khalid (Jamlus) dan gol kedua menerusi S Chanturu juga adalah menerusi serangan bahagian sayap. 

“Saya memuji barisan pemain Kedah yang menunjukkan satu persembahan yang bagus. Sekali pun ketinggalan, barisan penyerang mereka masih mampu memberi tekanan kepada benteng pertahanan kita. Saya fikir pujian juga harus diberikan kepada pemain pertahanan kita yang beraksi dengan baik,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam. 

Karathu turut mengakui kekebalan pertahanan Kedah yang bermain dengan baik mengakibatkan anak buahnya menghadapi kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan pasukan pelawat terutamanya pada separuh masa pertama. 

“Memang itu terjadi apabila kita bertemu dengan pasukan yang kuat termasuk Kedah dan pemain mereka sentiasa memberi tekanan, jadi kita menghadapi kesukaran memecahkan kebuntuan. Anda perhatikan, hanya pada babak kedua baru kita kembali memberi saingan. 

“Sudah banyak kali kita tidak boleh menjaringkan gol pada babak pertama. Namun yang penting pintu gol kita juga tidak dibolosi sejak lima perlawanan lalu. Biar apa pun, kemenangan ini cukup penting bagi kita dan saya berharap momentum ini kekal sehingga tamat saingan liga,” katanya. 

Sementara itu, ditanya mengenai tindakannya memasukkan Muhammad Khalid Jamlus pada pertengahan babak pertama, Karathu mengakui itu merupakan satu tindakan yang tepat setelah Solehin Kanasian Abdullah mempamerkan prestasi yang hambar dalam perlawanan itu. 

“Ianya mungkin satu tindakan yang tepat. Saya letak Muhammad Khalid (Jamlus) bermain di atas sambil Norshahrul Idlan (Talaha) dan S Chanturu membantu dia. Dia tidak sabar-sabar untuk turun beraksi dan akhirnya malam ini tiba gilirannya. Tidak sia-sia dia diturunkan, malah dia membalas kepercayaan pengurusan dengan menjaringkan gol malam ini,” katanya.

0 komen:

Post a Comment