Karathu mahu anak didik Red Warriors lebih waspada
KETUA jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui anak buahnya terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya mengutip mata penuh ketika menewaskan Kedah 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mohamad Ke- IV, Kota Bharu, malam kelmarin.
Beliau yang menyifatkan perlawanan membabitkan anak buahnya menentang pasukan dari utara itu sebagai sengit berkata, walaupun gagal meraih gol pada separuh masa pertama, namun hasil percaturan dan strategi akhirnya Kelantan membenam Kedah hasil jaringan Mohd Khalid Jamlus pada minit ke-54 dan S Chanturu (minit ke-66).
Katanya, beliau terpaksa membuat percaturan dan mengubah rentak permainan anak buahnya untuk menjadi lebih baik pada separuh masa kedua, hasilnya The Red Warriors berjaya menggunakan kelemahan pasukan lawan sekali gus mencipta peluang dan menggandakan asakan memburu jaringan.
“Perlawanan malam ini cukup sengit bagi saya kerana kita berdepan dengan lawan yang mempunyai ramai pemain hebat selain Kelantan tidak mampu menghasilkan sebarang jaringan pada separuh masa pertama.
“Bagaimanapun, kita dapat mengesan kelemahan pihak lawan, saya juga membuat sedikit perubahan pada separuh masa kedua untuk mencipta peluang dan ternyata ia berhasil apabila kita berjaya menjaringkan dua gol,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Jaringan Mohd Khalid Jamlus pada minit ke-54 berjaya memecah kebuntuan Kelantan dan sokongan padu peminat The Red Warriors berbaloi apabila S Chanturu merembat kencang tepat ke gawang gol Kedah pada minit ke-66 untuk memastikan kemenangan milik Kelantan.
Karathu turut memuji pemain posisi tengah, Mohd Badri Radzi dan Mohd Shakir Shaari yang mengawal ketat permainan selain turut membantu jentera serangan Kelantan mendapatkan gol.
Katanya, Kelantan berjaya mengawal permainan pada separuh masa kedua apabila menemui rentak permainan sebenar selepas mendapat gol pertama dan terus mengasak kubu lawan sehingga tamat permainan.
0 komen:
Post a Comment