Friday, May 6, 2011

'Piya' Akui Kelantan Sukar Jinakkan Kedah


Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzhi (kiri) dan rakan sepasukan mendengar arahan ketua jurulatih Datuk M. Karathu (kanan) pada sesi latihan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu

KOTA BHARU - Aksi yo-yo kapten The Red Warriors, Mohd. Badri Radzhi dalam beberapa perlawanan sebelum ini, menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan peminat pasukan itu.

Ekoran keluhan peminat The Red Warriors, Mohd. Badri atau Piya akhirnya tampil dengan aksi bertenaga, dengan meledak dua jaringan penting ketika bertemu Kuala Lumpur dan Johor FC, yang membantu Kelantan kembali meneraju Liga Super.

Bertindak selaku 'arkitek' pasukan, dia berdepan tuntutan cukup berat untuk memastikan Kelantan meneruskan momentum kemenangan apabila melayan kunjungan Skuad Kenari dalam perhitungan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, hari ini.

Menyedari tekanan tinggi yang digalas, anak jati kelahiran Kampung Atas Paloh, Kota Bharu itu melaungkan keyakinan untuk terus mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan gerakan yang dihasilkan dapat disudahkan dengan sempurna oleh barisan penggempur berbisa Kelantan seperti Norshahrul Idlan Tahala, S. Chanturu, Muhammad Razmul Zahini Adenan, Nizab Ayub mahupun Muhammad Khalid Jamlus.

Kebijaksanaan serta ketenangan Piya mengemudi jentera tengah, amat dituntut untuk merencanakan gerakan serta membuka peluang kepada jentera serangan.

"Menumbangkan Kedah bukan satu tugas yang mudah. Biarpun beraksi di tempat sendiri, mereka liat untuk ditumbangkan.

"Lihat sahaja perlawanan pusingan pertama lalu, kami hanya mencatatkan keputusan seri meskipun mempunyai banyak peluang gol namun gagal di manfaatkan.

"Perlawanan malam esok (ini) cukup penting buat Kelantan dalam usaha terus menjarakkan kedudukan dengan Selangor dan Terengganu.

"Tiga mata harus diraih. Jadi untuk perhitungan kali saya dan rakan-rakan sudah bersedia sepenuhnya," katanya ketika temui di sini semalam.

Tambahnya, tumpuan dan komitmen lebih seratus peratus perlu diberikan sepanjang perlawanan jika Kelantan mahu terus kekal sebagai peneraju liga.

"Perlawanan sepanjang bulan lalu dan bulan ini akan menjadi penentu siapa yang akan menjuarai liga musim ini,'' katanya.

0 komen:

Post a Comment