Friday, May 6, 2011

Kelantan Yakin Jinak Kedah



Piya tuntut rakan kerja keras pastikan kutipan mata penuh dapat dicapai 

KAPTEN Kelantan, Md Badri Radzi menuntut rakan sepasukan bekerja keras bagi memastikan kutipan mata penuh dapat direalisasikan dalam pertemuan menentang Kedah di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam ini.

Pemain yang dikenali panggilan Piya mengakui tugas berat menanti Red Warriors bagi melayan kunjungan Kedah yang menunjukkan kebangkitan di bawah jurulatih baru, Wan Jamak Wan Hassan.

Bagaimanapun, pemain tengah itu yakin Red Warriors mampu meneruskan momentum kecemerlangan apabila berdepan Kedah di laman sendiri selepas terikat dengan keputusan 1-1 di Alor Setar pada 25 Februari lalu. 

“Saya lihat kebangkitan Kedah perlu diberi perhatian oleh Red Warriors dan kami sudah bersedia menggempur pasukan pelawat dalam pertemuan mereka pada pusingan kedua Liga Super di Kota Bharu, malam esok (malam ini). 

“Kami akan pastikan tumpuan 120 peratus diberi dalam memastikan kemenangan, sekali gus meneruskan cengkaman kukuh selaku pendahulu Liga Super,” katanya sudah meledak lapan gol dalam saingan Liga Super musim ini, semalam. 

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui kebangkitan pasukan pelawat itu yang perlu diberi perhatian barisan pemainnya jika tidak mahu keciciran mata di gelanggang sendiri malam ini. 

0 komen:

Post a Comment