KUALA LUMPUR - Terengganu merapatkan jurang satu mata dengan Selangor dalam carta bola sepak Liga Super selepas pendahulu liga itu kecundang 1-0 kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam.
Kegagalan Merah Kuning menembusi kubu Wira Merah, turut membantu Si Penyu yang diterajui Irfan Bakti Abu Salim kekal mengekori di tangga kedua dengan 31 mata setelah menumpaskan Sabah 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Jaringan tunggal hasil tandukan penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha seawal minit kelima, sudah memadai untuk menghampakan anak buah K. Devan tetapi masih mengekalkan Kelantan di tangga ketiga dengan 30 mata.
Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (kiri) mengelak asakan pemain pertahanan Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu
Pemain Terbaik Liga-M 2010 itu menanduk menewaskan penjaga gol Saiful Amar Sudar, selepas menyambung tandukan awal ketua pasukan, Badri Radzi di dalam kotak penalti yang berpunca daripada lontaran ke dalam.
Menambah tiga mata dengan menewaskan Kuala Lumpur 5-3 di Stadium Perak, Ipoh, Perak pula melonjak ke tangga keempat liga sambil memintas Kedah, yang kini diterajui bekas jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan.
Gol Seladang dihasilkan oleh Razali Umar Kandasamy, gol sendiri Ahmad Dasila Tajuddin, Fazrul Hazli, Shafiq Jamal dan Nor Hazrul Mustafa manakala pelawat membalas menerusi See Kok Luen, Ahmad Hazwan Bakri dan Khairul Anuar Shafie.
Indra Putra Mahayuddin, Shamsul Kamal Mohamad dan Zairo Anuar Zailani menghampakan Wan Jamak dan Si Kenari 3-1 dengan gol buat T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Sayap kanan, Baddrol Bakhtiar menyumbat gol tunggal Kedah sejurus sebelum tamat babak pertama tetapi belum cukup untuk mengelak kekalahan itu dan kejatuhan Kedah ke tangga kelima liga.
0 komen:
Post a Comment