Wednesday, April 27, 2011

Maut Lintas Jalan ke Kedai Durian


KUANTAN: Hasrat seorang lelaki warga emas mahu membeli durian di sebuah gerai di tepi jalan berakhir tragedi menyedihkan apabila dia maut selepas dilanggar sebuah motosikal ketika melintas jalan, di Kilometer 32, Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Mat Ismail, 75, dari Felda Bukit Sagu, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Sebelum kejadian, mangsa menaiki kereta bersama anaknya dalam perjalanan ke Segamat dari Kuantan sebelum berhenti di tepi jalan untuk membeli durian.

Pegawai Penguatkuasa Pentadbiran Trafik negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, berkata mangsa kemudian keluar daripada kereta berkenaan sebelum cuba untuk melintas jalan menuju ke gerai durian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, penunggang motosikal terbabit dipercayai tidak sempat hendak mengelak berikutan jarak terlalu dekat sebaik saja melihat mangsa sedang melintas jalan.

Katanya, mayat mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk bedah siasat dijalankan, malam kelmarin.

“Penunggang motosikal terbabit turut cedera selepas terjatuh dari motosikal ditunggangnya sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gambang untuk menerima rawatan.

“Siasatan turut mendapati, ketika kejadian permukaan jalan kering dan cuaca baik kecuali lampu jalan tiada menyebabkan penunggang motosikal itu dipercayai tidak menyedari mangsa sedang melintas,” katanya.

0 komen:

Post a Comment