Sunday, May 20, 2012

Kelantan Akhiri Penantian 22 Tahun, Muncul Juara Piala FA

PEMAIN pasukan Kelantan yang menjuarai Piala FA 2012 malam tadi akan menerima ganjaran setimpal dan perkara itu akan diumumkan Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) dalam masa terdekat, kata Presidennya Tan Sri Annuar Musa.

"Nilai imbuhan bagi setiap pemain tidak boleh saya beritahu lagi... saya yakin dalam dua tiga hari lagi Kafa sendiri yang akan memaklumkan kepada media," katanya

KUALA LUMPUR: Kelantan mengukir sejarah apabila berjaya menamatkan penantian selama 22 tahun untuk menjulang Piala FA buat kali pertama, setelah menewaskan pasukan berstatus kelab, Sime Darby 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Beraksi di hadapan kira-kira 85,000 penonton, pasukan yang terkenal dengan gelaran 'The Red Warriors' itu melancarkan serangan ke kubu Sime Darby seawal minit pertama namun berjaya dipatahkan ketua pasukan Sime Darby, Es Lizuan Zahid Amir. 

Pemain tengah Kelantan Indra Putra Mahayuddin pula gagal memanfaatkan peluang sepakan percuma yang diberi pengadil pada minit ke-15 apabila cubaanya tersasar dari gawang gol yang dikawal Mohd Redzuan Harun. 


Kecewa gagal memecahkan kebuntuan terikat 0-0 pada babak pertama, Red Warriors yang nyata pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan meneruskan asakan yang akhirnya membuahkan hasil apabila dihadiah sepakan penalti pada minit ke-58.

Peluang itu tidak disia-siakan pemain import Kelantan Mohammed Ghaddar yang menceriakan penyokong Red Warriors.

Tersentak dengan jaringan itu, Sime Darby bangkit melakukan beberapa serangan berbahaya namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat. 

Mohammed Ghaddar cuba menggandakan jaringan namun sepak deras yang dilakukan olehnya pada minit ke-79 tersasar. 

Kelebihan satu gol itu gagal dibatalkan Sime Darby yang akur menyaksikan Piala FA dijulang pasukan Kelantan. Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli menyampaikan trofi kepada Red Warriors. 

Ketua pasukan Sime Darby Es Lizuan pula diumum pemain terbaik perlawanan. 

BERNAMA

Perang Psikologi Milik Kelantan

Penyokong Sime Darby tetap imbangi sorakan di Bukit Jalil

BERTEMU Sime Darby, pasukan berstatus kelab dan baru dua tahun ditubuhkan - memberi Kelantan kelebihan pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi apabila hampir tiga perempat ruang tempat duduk diisi penyokong The Red Warriors.

Sebelum perlawanan, semuanya tampak berpihak kepada skuad kendalian Bojan Hodak yang membariskan pemain handalan tempatan dan sokongan padu penyokong sendiri, tetapi elemen itu turut memberi kekuatan kepada Sime Darby yang mahu melakukan kejutan.


Perang sepanduk di dalam stadium juga tampak berpihak kepada Kelantan dengan salah satu daripadanya berbunyi: “Piala FA Hok Kawe” (Piala FA Milik Kami), tetapi keputusan sebenar hanya akan ditentukan di atas padang.

Kedua-dua pasukan memburu piala pertama dalam sejarah kejohanan dengan Kelantan beraksi buat kali ketiga pada final manakala Sime Darby mara buat julung kali dengan rekod baru sebagai kelab pertama beraksi di final Piala FA.

Kelantan yang dua kali kecewa pada aksi final - di tangan Selangor pada 2009 dan Terengganu tahun lalu - mempunyai misi wajib menang, apa lagi bertemu pasukan mentah seperti Sime Darby.

Bagaimanapun anak buah Ismail Zakaria tampak sudah bersedia secara fizikal dan mental berdepan Kelantan dan sorakan padu penontonnya, malah seperti menggunakan sorakan itu untuk mencetus semangat mereka. 

Apa pun percaturan Hodak dan Ismail, semuanya bergantung kepada ketahanan mental dan disiplin pemain masing-masing mengharungi 90 minit permainan dan masa tambahan sekiranya permainan dilanjutkan.

Sumber: BH

Red Warriors Cuba Tiga Kali Muncul Juara Tewaskan Sime Darby

TANGISAN Kelantan - dua kali gagal sebelum ini - akhirnya terubat apabila buat julung kali berjaya menjulang Piala FA selepas sepakan penalti menjadi garis pemisah kemenangan mereka menewaskan Sime Darby 1-0 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.


Mohammad Ghaddar muncul wira pasukan dengan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-58.

Kelantan merakam sejarah tersendiri selepas tiga kali mencuba (2009, 2011 dan 2012), tetapi lawan kerdil dari Liga Perdana itu juga harus diberi pujian pada aksi sulung di pentas final apabila mempamerkan persembahan mantap sehingga tamat permainan.

Anak buah Bojan Hodak yang hadir dengan reputasi juara Liga Super, musim lalu seharusnya merakam kemenangan lebih besar tetapi kekentalan benteng pertahanan lawan kendalian Ismail Zakaria memaksa The Red Warriors berusaha lebih keras sebelum dapat memecah kebuntuan.

Sime Darby mencuba dan memberi segala yang terdaya namun keringat mereka itu gagal mengikut jejak langkah satu lagi kelab, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) yang layak ke final kejohanan besar apabila muncul juara baru Piala Malaysia pada 2003.

Sebaik babak pertama bermula, Kelantan menguasai permainan tetapi gagal menembusi benteng Sime Darby yang dikawal kapten pasukan, Es Lizuan Zahid Amir serta penjaga gol, Redzuan Harun yang menyelamatkan dua percubaan tepat oleh pelawat sepanjang 45 minit pertama permainan. 

Sime Darby turut memiliki beberapa peluang terbaik menembusi benteng Kelantan menerusi serangan balas tapi gagal dalam penyudahan. Usaha terbaik muncul pada minit ke-45 menerusi larian solo Patrick Wleh dari garisan tengah, tetapi hantarannya gagal menemui rakan sepasukan.

Selepas rehat, kedua pasukan saling berbalas serangan tetapi Kelantan terlebih dulu berpeluang membolosi gawang lawannya menerusi sepakan penalti Ghaddar pada minit ke-58. Penalti diberi pengadil selepas Obinna Nwaneri dijatuhkan oleh benteng Sime Darby.

Kemasukan Razali Umar Kandasamy sebelum itu hampir meletakkan Sime Darby kembali seimbang dengan Kelantan, tetapi peluang tiga lawan satu sejurus selepas ketinggalan, gagal dimanfaatkan jentera serangan tuan rumah. Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat permainan.

Sumber: BH

Di Sebalik Final Piala FA, Gegar Lancar Kempen Royalti Minyak

KUALA LUMPUR - Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan gabungan 77 pertubuhan bukan kerajaan dari Terengganu, Selangor, Kelantan dan Kuala Lumpur mengadakan kempen menuntut royalti minyak dan memboikot Petronas ekoran pertikaian berkenaan isu itu di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Setiausaha Media Gegar, Mohd Hishamuddin Ghazali berkata, kempen itu diadakan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang perlawanan akhir Piala FA.

Kempen yang bermula semalam akan berakhir esok pagi.

Para penyokong Kelantan menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan ke atas kempen menuntut royalti dan memboikot Petronas menjelang final Piala FA 

"Kami menuntut royalti minyak lima peratus mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian antara Petronas dan Kelantan pada 1975," katanya.

Hishamuddin berkata mereka akan meneruskan kempen ini di seluruh daerah Kelantan dan negeri-negeri lain jika Petronas enggan menunaikan tuntutan mereka.

Kempen ini dilancarkan sementara permohonan Kerajaan Negeri Kelantan sedang didengar di mahkamah.

"Kami marah dengan Petronas kerana mereka melanggar perjanjian," kata beliau kepada Sinar Harian Online di sini.

Beliau menambah, "setakat ini (petang ini), kami telah mengumpulkan 7,000 tandatangan dan misi kami ialah mencapai 20,000 tandatangan sebagai tanda sokongan berkenaan kempen ini," kata beliau.

Penganjur mahu menghasilkan bendera gergasi dengan huruf 'R' sebagai maksud royalti pada malam ini.

Mereka juga ingin menarik warga belia untuk menyertai kempen ini dan menandatangani pada kain rentang dan kebetulan akan berlangsung perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Sime Darby malam ini.

Selain itu, mereka mengadakan pelbagai aktiviti antaranya, bacaan puisi royalti, persembahan akustik dan dikir royalti.

Sumber: SH

Thursday, January 19, 2012

Mat Yo Saingi Pemain Pmport

KOTA BHARU - Meskipun saingan Liga Malaysia musim ini dibarisi pemain import, penyerang prolifik Kelantan, Norshahrul Idlan Tahala terus membuktikan sentuhannya semakin berbisa apabila membantu Red Warriors menewaskan Johor FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin.

Gol jaringannya pada minit ke-72 sudah cukup untuk memastikan Kelantan meraih tiga mata penuh buat kali pertama di gelanggang sendiri selepas diikat PNKS dalam perlawanan sebelum ini.

Norshahrul Idlan Talaha (kiri) dicabar pemain Johor FC, Khairi Kiman pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, kelmarin.

Norshahrul atau Mat Yo berkata, jaringan tersebut merupakan pembakar semangat buat dirinya untuk membuktikan kemampuan anak tempatan mampu bersaing dengan pemain import yang beraksi dalam saingan musim ini.

"Ini merupakan gol kedua peribadi saya selepas perlawanan di Singapura. Cita-cita saya selepas ini ialah untuk terus mendapatkan seberapa banyak jaringan untuk membantu pasukan meraih kemenangan dalam setiap perlawanan selepas ini.

"Sejak awal musim lagi saya menanam azam untuk menjaringkan seberapa banyak gol dan bersaing dengan pemain import yang beraksi dalam saingan liga tahun ini," katanya kelmarin.

Tambahnya, dia berharap rakan-rakan sepasukannya dapat membantunya untuk menjaringkan gol bagi memastikan Kelantan mengekalkan kejuaraan musim ini.

Mengulas kejayaan menumbangkan Johor FC dalam aksi ketiga Liga Super kelmarin, Mat Yo berkata kemenangan tersebut adalah adalah hasil kerja keras rakan sepasukan.

"Saya gembira dengan kejayaan ini. Kita telah bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan. Walaupun gagal menjaringkan gol pada babak pertama, namun kita berjaya bangkit pada babak kedua dan berjaya menjaringkan dua gol.

"Kemenangan ini bukan milik saya seorang tetapi ia milik rakan-rakan sepasukan yang tidak mudah berputus asa walaupun dikejutkan dengan jaringan penyamaan pelawat. Untuk perlawanan akan datang saya harap kita dapat mengekalkan momentum ini untuk meraih seberapa banyak mata," ujarnya.

Sunday, January 15, 2012

Kapal Mewah terbalik

ROM - Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban dan empat lagi hilang semalam selepas sebuah kapal persiaran tersadai dan terbalik terbalik dekat sebuah pulau di perairan selatan Itali.

Kapal persiaran Costa Concordia sedang dalam perjalanan di sekitar Laut Mediterranean apabila ia terlanggar terumbu karang dekat Pulau Isola del Giglio, 15 kilometer ke selatan tanah besar Itali sekitar pukul 10 malam (waktu Itali) kelmarin.

Kemalangan berlaku ketika para penumpang sedang makan malam.

PENUMPANG kapal Costa Concordia tiba di Pelabuhan Porto Santo Stefano, wilayah Tuscany di Itali semalam.

Menurut media tempatan, beberapa penumpang terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri.

Pihak berkuasa tempatan menyatakan, sebahagian daripada 3,200 penumpang dan 1,023 kru kapal sepanjang 290 meter itu dipindahkan dengan menggunakan beberapa buah bot kecemasan, helikopter dan kapal lain yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

KAPAL persiaran Costa Concordia senget semalam selepas ia terlanggar kawasan batu karang dekat pulau Giglio, Itali.

"Berlaku senario panik seperti dalam kapal Titanic. Kapal kami melanggar kawasan berbatu dekat Pulau Isola del Giglio. Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh berlaku. Kapten kapal ini tentunya sudah gila," kata seorang penumpang, Mara Parmegiani.

"Kami amat takut dan kesejukan kerana kemalangan berlaku semasa kami sedang makan malam. Kami tiada masa untuk membuat persediaan. Mereka (pasukan penyelamat) ada memberi selimut tetapi bilangannya tidak mencukupi," tambah Parmegiani.

GAMBAR fail pada April 2009 menunjukkan kapal persiaran Costa Concordia.

Para penumpang yang dipindahkan dibawa ke pulau Giglio sebelum ditempatkan di beberapa buah sekolah, kediaman persendirian dan gereja untuk semalaman.

Agensi berita Itali, Ansa memetik beberapa petugas penyelamat sebagai memberitahu, sekurang-kurangnya tiga orang maut manakala sejumlah lagi cedera tetapi punca kematian mereka tidak diketahui setakat ini.

Menurut Ansa, seorang lelaki berusia 70-an maut akibat serangan jantung selepas terjun ke dalam laut.

Seorang pengawal pantai tempatan, Francesco Paolillo berkata, terdapat lubang sebesar 30 meter pada badan kapal berkenaan.

Kapal Costa Concordia memiliki 58 bilik penginapan bertaraf suite lengkap dengan balkoni, 13 buah bar, lima jakuzi, lima restoran, dan empat kolam renang. - Agensi