Wednesday, July 13, 2011

Waspada Hadapi PKNS

KOTA BHARU – “Hanya selangkah ke final.” Berbekal kelebihan dua gol, skuad Piala Presiden Kelantan kini berpeluang mencipta sejarah tersendiri untuk mara ke perlawanan akhir Piala Presiden musim ini. 

Tinggal lagi baki 90 minit, namun halangan yang menanti The President Warriors, sudah pasti pasukan PKNS Selangor yang dikecewakan 0-2 dalam perlawanan separuh akhir pertama di Kota Bharu minggu lalu. 


Penolong Pengurus Pasukannya, Mohd Yusri Ismail bagaimanapun tidak mahu mendabik dada dengan kelebihan tersebut, sebaliknya mahu para pemainnya beraksi seperti biasa dan berwaspada dengan kebangkitan pasukan berstatus kelab dari Selangor itu. 

“Secara peribadinya, saya akui kelebihan dua gol tidak menjamin kedudukan yang selesa bagi kita apabila bertemu PKNS Selangor dalam separuh akhir kedua pada Khamis ini (esok). Dalam bola sepak, apa-apa sahaja boleh terjadi. 

“Saya tidak mahu pemain kita berada dalam keadaan ‘mood’ yang selesa dengan kelebihan gol tersebut. Kita harus belajar daripada pengalaman ketika menentang Johor dalam saingan suku akhir baru-baru ini. Kita tetap akan bermain secara menyerang dan tidak akan bertahan. 

“Dalam perlawanan lalu, saya lihat jentera tengah pasukan mereka berfungsi cukup baik. Namun pada masa yang sama, benteng pertahanan kita juga beraksi dengan cemerlang. Saya fikir kalau kita hendak menang dalam aksi timbal balas ini, pemain kita perlu menguasai bahagian tengah,” katanya. 

Menurutnya, soal percaturan taktikal pasukan diserahkan sepenuhnya kepada jurulatih, Zahasmi Ismail memandangkan terdapat beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan dan menjalani penggantungan perlawanan. 

“Tidak menjejaskan persiapan pasukan sebenarnya sekalipun tanpa beberapa tonggak utama. Saya tidak panik dengan situasi tersebut, sebaliknya saya percaya jurulatih lebih memahami siapa yang boleh diturunkan dalam perlawanan itu nanti. 

“Pemain tengah, Nicholas Chan (Meng-Jin) sudahp un pulang ke ibu negara hari ini (semalam) bagi mendapatkan rawatan susulan ekoran kecederaan yang dia hadapi. 

“Sukar untuk pulih dalam masa terdekat dan saya rasa kita terpaksa mengetepikan khidmat dia dalam perlawanan ini,” katanya. 

Sementara itu, difahamkan pihak pengurusan skuad Piala Presiden akan berusaha untuk mendapatkan khidmat pemain Liga Super, Mohd Izuan Salahuddin yang kini dipanggil menjalani latihan bersama skuad Harimau Muda bagi menghadapi PKNS Selangor nanti. 

“Saya akan cuba untuk berbincang dengan Ong Kim Swee (jurulatih Harimau Muda) bagi mendapatkan pelepasan untuk membolehkan dia beraksi dengan kita dalam perlawanan ini. Perlawanan menentang Chelsea lambat lagi (21 Julai), jadi kita cuba untuk mendapatkan khidmat dia. Tengoklah macam mana nanti,” katanya.