Thursday, July 7, 2011

Kelantan Juara Baru Liga Super

KOTA KINABALU – Kelantan menamatkan penantian sejak tiga tahun lalu untuk mengecapi kejuaraan Liga Super buat pertama kali apabila mengalahkan Sabah 2-1 dalam perlawanan terakhir liga di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi. 


Kemenangan malam tadi mengesahkan The Red Warriors selaku pasukan keenam bergelar juara sejak ianya dipertandingkan lapan tahun lalu dan bakal membawa pulang wang tunai RM500,000. Selaku bergelar juara, Kelantan secara automatik menempah tiket layak beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun depan. 

Sementara itu, juara baru Piala FA, Terengganu muncul selaku naib juara setelah berpesta gol mengalahkan KL Felda United FC 6-2 dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung Stadium Majlis MPBJ, Kelana Jaya. 

Rentak cemerlang Kelantan bermula seawal minit kedua perlawanan menerusi rembatan jarak dekat Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi terus ke dakapan penjaga gol Sabah, Azizon Abdul Kadir hasil hantaran lintang Mohd Izuan Salahuddin sebelum itu. 

Tiga minit kemudian, Norshahrul Idlan Talaha menceriakan hampir 1,000 penyokong The Red Warriors apabila mudah menolak masuk untuk gol pertama Kelantan. Berpunca lontaran ke dalam Mohd Daudsu Jamaluddin, kesilapan pemain pertahanan tuan rumah gagal mengeluarkan bola dihukum menerusi rembatan mudah untuk menewaskan Azizon dipintu golnya. 

Dua minit kemudian, kemaraan Kelantan untuk menambahkan jaringan tidak terhenti disitu apabila Muhd Bahri sekali lagi mempunyai peluang terbaik namun rembatan kencang jarak 25 meter sedikit melewati pintu gol Sabah. 

Sabah yang turun dengan misi bermaruah untuk mencipta kemenangan turut mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan pada m-15 perlawanan. Berpunca serangan balas pantas, rembatan kencang Shahrul Azhar Ture dikeluarkan benteng pertahanan Kelantan sementara tandukan susulan penyerang veterannya, Zainizam Marjan terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat. 

Tujuh minit berselang, Shahrul Azhar sekali lagi mensia-siakan peluang terbaiknya untuk menyamakan kedudukan apabila rembatan kencangnya sekadar menerjah jaring sebelah kiri pintu gol Kelantan. 

Malah, dua minit kemudian Shahrul Azhar sekali lagi terlepas peluang apabila gagal menolak masuk hantaran lintang Julamri Muhammad biarpun tidak dikawal benteng pertahanan Kelantan sebelum itu. 

Tidak hanya berpuashati dengan satu gol, Kelantan terus melipat ganda asakan menyerang ke pintu gol Sabah namun rembatan kencang Muhd Badhri pada m-35 sedikit melewati pintu gol sementara percubaan Mohd Daudsu Jamaluddin pada m-44 juga hanya beberapa meter melepasi pintu gol. 

Minit-minit akhir babak pertama, salah faham diantara Rosdin Wasli dengan Azizon didepan pintu golnya hampir membawa padah kepada pasukannya namun Norshahrul Idlan gagal memanfaatkan peluang tersebut. 

Bersambung babak kedua, Sabah membuat percaturan dengan memasukkan Razlan Oto menggantikan Stanley Bernard Stephen Samuel bagi menguatkan jentera serangannya. Pada m-67, pintu gol Kelantan sekali lagi diuji apabila Julamri merembat kencang namun sempat ditepis keluar Khairul Fahmi.

Pada m-71, penyerang terbilang, Norshahrul Idlan terus mengukuhkan kedudukan 2-0 untuk Kelantan apabila sepakan lambungnya dari luar kotak penalti berjaya melepasi jangkauan Azizon dipintu golnya. 

Namun, Sabah enam minit kembali merapatkan jurang apabila penyerangnya, Razlan Oto berjaya merembat masuk dari luar kotak penalti berpunca situasi kelam-kabut didepan pintu gol Kelantan sebelum itu. 

Minit-minit akhir perlawanan, Norshahrul Idlan terlepas peluang untuk mencipta hatrik apabila rembatan kencangnya dalam kotak penalti dikuis keluar Azizon untuk menyaksikan keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan. 

Kesebelasan utama pemain:

SABAH: Azizon Abdul Kadir, Hariri Mohd Safii, Mohd Reithauddin Awang Emran (KP), Alto Linus, Mafry Balang (Rozaimi Abdul Rahman), Rosdin Wasli (Zuraindey Jumai), Radzi Md Hussin, Julamri Muhammad, Zainizam Marjan, Shahrul Azhar Ture dan Stanley Bernard Stephen Samuel (Razlan Oto). 

FORMASI: 4-4-2 

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Shakir Shaari, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Izuan Salahuddin (Mohd Nizab Ayub), S Chanturu Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Mohamad Ab Aziz Ismail) dan Norshahrul Idlan Talaha. 

FORMASI: 4-4-2

Kelantan Sah Bergelar Juara Liga Super 2011

KUALA LUMPUR – Kelantan berjaya muncul juara Liga Super buat julung kali selepas mengutip mata berharga dengan menumpaskan Sabah 2-1 pada perlawanan akhir musim 2011 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Rabu malam.

Kelantan, yang meraih Piala Sumbangsih 2011, berjaya menafikan juara bertahan Selangor dengan perbezaan empat mata manakala Terengganu berjaya menduduki tangga kedua liga dengan 53 mata.


Kejayaan Kelantan itu sekaligus bagaikan kejayaan misi membalas dendam buat negeri Cik Siti Wan Kembang apabila sekadar menjadi naib juara Liga Super musim lalu dan secara automatik layak menempah slot beraksi pada Piala AFC 2012.

Selaku juara Liga Super, Kelantan bakal mendapat hadiah wang tunai RM500,000 sementara naib juara mendapat RM300,000.

Majlis penyerahan trofi akan diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Jumaat ini.

Terengganu muncul naib juara liga setelah berpesta gol 6-2 ke atas Felda United pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Kelana Jaya sementara Selangor terpaksa berpuas hati di tempat ketiga setelah seri tanpa jaringan menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh.

Kemenangan sulung yang dikecapi skuad kendalian Datuk M.Karathu ini juga merupakan pengubat duka pasukan Kelantan setelah kalah 1-2 kepada Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA bulan lepas.

Ketua pasukan Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha muncul penjaring terbanyak musim ini apabila menghasilkan dua gol malam ini untuk mengumpul 14 gol musim ini serta meraih gelaran kasut emas edisi Liga Super kali ini.

Di PAROI, tuan rumah Negeri Sembilan tidak mensia-siakan peluang bermain di tempat sendiri apabila menumpaskan pasukan tercorot liga, Perlis 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

Dua gol pasukan ‘Hoben Jang Hoben’ masing-masing dihasilkan oleh Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-36 dan Shahurain Abu Samah (min-59).

Di KUALA TERENGGANU, Kuala Lumpur yang kini di tangga terakhir liga terselamat daripada tersingkir dari saingan Liga Super musim depan setelah menang 3-2 ke atas T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Mohd Badrul Hisyam Azmi menjadi wira ibu kota dengan melakukan hatrik bermula minit keempat, 30 dan satu sepakan penalti pada minit ke-73 sebelum dua jaringan tuan rumah masing-masing dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin (min-33) dan Shamsul Kamal Mohamad (min-80).

Kemenangan ini mengesahkan Kuala Lumpur tersenarai dalam kelompok zon selamat untuk ke saingan Liga Super musim hadapan.

Di SHAH ALAM, Harimau Muda A gagal menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri setelah seri 2-2 menentang Johor FC di Stadium Shah Alam.

Di KUANTAN, jaringan tunggal Kedah menerusi Muhammad Fiqry Md Isa meranapkan impian Pahang untuk mencari gol kemenangan di Stadium Darul Makmur.

Dengan kekalahan tersebut, Pahang sekaligus mengesahkan diri akan mengiringi Perlis ke saingan Liga Perdana musim depan.

Penurunan ‘pangkat’ Pahang turun ke Liga Perdana 2012 adalah sejarah kerana skuad Tok Gajah itu belum pernah sekalipun diturunkan ke saingan Divisyen Dua sejak Liga Semi-Pro diperkenalkan pada 1989.

Bagaimanapun nasib dua pasukan yang tercorot itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Lakar Sejarah Baru

Pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 10 ribu penonton di Stadium Likas, dua jaringan peledak sensasi kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada m-7 dan m-71 cukup memastikan anak didik Datuk M Karathu berpesta di bumi di bawah bayu.

Bagi Kelantan, kemenangan liga itu sebagai pengubat duka akibat terlepas peluang merangkul trofi Piala FA selepas tumbang kepada Terengganu pada aksi akhir, bulan lalu.


Sementara itu, di Stadium MBPJ, Terengganu muncul naib juara apabila membelasah Felda United 6-2. Abdul Hadi Yahya mencuri tumpuan di Petaling Jaya apabila menjaringkan empat gol sekali gus merangkul anugerah Kasut Emas musim ini dengan meledak 20 gol.

Sementara itu, hajat Selangor mencipta hatrik gelaran liga tidak kesampaian apabila sekadar seri 0-0 berdepan Perak di Stadium Perak.

Walaupun menguasai perlawanan, Gergasi Merah tetap buntu mencari gol sekali gus merelakan takhta gelaran liga sejak disandang pada 2009 dan 2010 terlepas dari genggaman.

Berita buruk buat Pahang apabila anak didik Dollah Salleh itu bakal mengiringi pasukan Perlis beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan apabila tewas 1-0 kepada Kedah di Stadium Darul Makmur, Pahang Kedah T-Team tersungkur di tangan Kuala Lumpur apabila kalah tipis 2-3 Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Lain-lain keputusan,Negeri Sembilan menang 2-0 mengatasi Perlis Stadium Paroi manakala di Stadium Shah Alam, Harimau Muda A terikat 2-2 bertemu Johor FC.

Penantian Kijang Berakhir

TROFI Liga Super yang amat diidam-idamkan akhirnya berada dalam dakapan Kelantan buat kali pertama selepas skuad gergasi Pantai Timur itu menewaskan Sabah 2-1 pada perlawanan terakhir liga malam tadi.

Penyerang sensasi Norshahrul Idlan Talaha beraksi cemerlang dengan menyumbat dua gol pada setiap babak namun tiada keceriaan berganda untuknya apabila dia sekadar mengumpul 19 gol daripada 26 perlawanan, dipintas pada saat akhir oleh penyerang Terengganu Abdul Hadi Yahaya yang meraih 20 jaringan untuk muncul penjaring terbanyak hasil ledakan empat gol ketika membantu Terengganu membelasah Felda United 6-2.


Gelaran juara Liga Super itu satu sejarah buat skuad The Red Warriors yang sering kempunan untuk menempatkan diri di kalangan pasukan elit sejak 1979 kerana cubaan mereka paling hampir adalah muncul naib juara di belakang Selangor pada tahun lalu.

Kemenangan ke atas Sabah membolehkan Kelantan mengumpul 56 mata, meninggalkan Terengganu di tempat kedua dengan 53 mata manakala Selangor yang sekadar seri tanpa jaringan menentang Perak di Ipoh tersingkir ke tangga ketiga apabila ketinggalan empat mata di belakang sang juara.

Kelantan yang dibimbing jurulatih Datuk M Karathu turun beraksi di Stadium Likas memburu kemenangan biarpun menyedari keputusan seri sudah memadai untuk ditabal selaku juara Liga Super yang mula diperkenalkan pada 2004.

Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo di kalangan penyokong The Red Warriors meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-6 selepas menyepak masuk di depan gol selepas menerima lontaran ke dalam oleh Mohd Daudsu Jamaluddin.

Penyerang kebangsaan itu kemudian memastikan Kelantan selesa dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-72 menerusi sepakan menarik menerjah ke penjuru gawang menewaskan penjaga gol Azizon Abdul Kadir.

Ketika kejuaraan sudah terbayang di wajah anak buah Karathu, Sabah yang dibimbing jurulatih Justin Ganai cuba bangkit menerusi percubaan penyerang gantian Razlan Oto di minit ke-77.

Milik Kelantan

The Red Warriors sahkan kejuaraan Liga Super, menang 2-1 di Stadium Likas 

NORSHAHRUL Idlan Talaha membuktikan bisanya apabila menyumbat dua gol untuk membantu Kelantan mengukir sejarah menjulang trofi Liga Super buat julung kali dengan menundukkan Sabah 2-1 di Stadium Likas, malam tadi.


Namun, dua gol penyerang kebangsaan itu gagal membantunya memenangi Kasut Emas selaku penjaring terbanyak liga selepas penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya meledak empat gol ketika Terengganu membelasah FELDA United 6-2.

“Kejayaan ini memberi motivasi terbaik buat kami untuk menghadapi misi mempertahan­kan kejuaraan Piala Malaysia selepas ini,” kata pengendali Kelantan, Datuk M Karathu. “Pada awalnya memang situasi agak tertekan, tetapi gol pembukaan Norshahrul sedikit meredakan tekanan. 

“Pemain mengikut strategi yang diarahkan dengan baik dan keupayaan barisan tengah mengawal bola sepanjang permainan memain­kan peranan dalam kejayaan malam ini.” 

Kejayaan skuad Karathu itu menyaksikan mereka menjadi pasukan keenam selepas Pahang (2004), Perlis (2005), Negeri Sembilan (2006), Kedah (2007 dan 2008) dan Selangor (2009 dan 2010) menjulangnya. 

Lebih manis, ia adalah trofi kedua dalam koleksi The Red Warriors musim ini selepas memenangi perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah dengan menewaskan Selangor 2-0, selain mengubati kedukaan tewas kepada Terengganu 2-1 dalam final Piala FA. 

Turun dengan hanya perlukan keputusan seri, Kelantan hanya mengambil masa lima minit sebaik bermula bagi meredakan tekanan tinggi perlawanan itu apabila Norshahrul me­nembusi gawang dikawal Azizon Abdul Kadir. 

Gol berpunca daripada lontaran Daudsu Jamaluddin yang gagal dikeluarkan benteng Sabah sebelum Norshahrul yang baru pulang daripada tugasan bersama skuad kebangsaan di Taiwan, mudah menolak masuk untuk gol ke-17 musim ini. 

Penyerang mesra dikenali Mat Yo itu mengulangi sentuhan pemusnahnya di babak kedua apabila melambung cantik untuk memperdayakan Azizon pada minit ke-71, sebelum Razlan Oto merapatkan kedudukan buat tuan rumah lima minit kemudian. 

Kelantan Sahkan Kejuaraan

KUALA LUMPUR - Kelantan cemas seketika sebelum mengesahkan kejuaraan Liga Super 2011 apabila diasak pasukan tuan rumah Sabah pada babak akhir perlawanan, sebelum menang 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu semalam.

Pemain Kelantan meraikan kejayaan menjuarai Liga Super 2011 selepas mengalahkan Sabah 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Peledak utama Red Warriors, Noorshahrul Idlan Talaha muncul wira pasukannya apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-5 dan ke-71.

Selepas jaringan kedua itu, Kelantan yang hanya menantikan wisel penamat dibunyikan, cemas apabila Sabah bangkit memberi tentangan dengan memperoleh gol menerusi Razlan Otoh, minit ke-76.

Jaringan tersebut menyuntik semangat pemain Sabah untuk memburu gol penyamaan dengan melakukan asak bertali arus, namun gagal menembusi gawang Kelantan yang dikawal kemas Khairul Fahmi Che Mat.

Kemenangan pada perlawanan terakhir semalam membolehkan Kelantan mengumpul 56 mata dan tidak mampu dicabar Selangor dan Terengganu.

Sebaliknya Selangor menutup saingan musim ini dengan penuh kehampaan, apabila bukan sahaja gagal memintas Kelantan, sebaliknya tercicir ke tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan dengan Perak di Stadium Perak, Ipoh.

Kedudukan naib juara pula menjadi milik Terengganu apabila berpesta gol dengan membelasah Felda United 6-2 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya meledak empat gol pada minit ke-22, ke-42, ke-70 dan ke-82, manakala dua gol lagi dijaringkan Ree Shafiq Alwi minit ke-16 dan Abdul Manaf Mamat minit ke-18.

Gol Felda United pula dijaringkan Mat Asmarul Fadzil Hassan minit ke-45 dan Mohd. Shazwan Zainon minit ke-85.

Negeri Sembilan menutup saingan musim ini dengan kemenangan 2-0 ke atas Perlis di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hasil jaringan Ahmad Fakri Sharani minit ke-36 dan Shahurain Abu Samah minit ke-59.

Kedah menamatkan saingan di tangga keempat selepas menang 1-0 ke atas pasukan kedua tercorot, Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan menerusi jaringan tunggal Mohd. Fiqri Md. Isa minit ke-69.