Friday, June 24, 2011

Isteriku ROBOT

Kegilaan saintis Jepun, Barat hasilkan robot bagi ambil alih peranan wanita

KEDENGARANNYA mungkin agak keterlaluan tetapi disedari atau tidak, peranan manusia pada zaman serba pantas ini sedikit demi sedikit sudah diambil alih oleh mesin, yang patuh melakukan sebarang suruhan tanpa ada rungutan atau tuntutan kenaikan gaji.

Kehadiran robot ini bukanlah masalah sebaliknya satu hikmah andai memudahkan urusan orang ramai seperti membantu golongan memerlukan baik yang kurang upaya dan warga tua, namun jika sudah sampai menyalahgunakan kemajuan teknologi untuk menghasilkan mesin kaku menggantikan fungsi sebenar manusia, ia bukanlah sesuatu yang boleh dipertimbangkan lagi.

Rakyat Kanada, Lee Trung bersama robot ciptaannya, Aiko yang dijual pada harga RM54,000, setiap satu.

Kini, kegilaan saintis bertumpu kepada usaha penghasilan robot bagi memikul satu lagi fungsi manusia - menjadi peneman dan pasangan lelaki. Istilah isteri itu sendiri seakan kian hilang maknanya apabila kadar perceraian semakin meningkat dengan ramai lelaki, khususnya di Barat kini semakin tergila-gilakan robot perempuan untuk dijadikan isteri dan pemuas nafsu.

Maka lahirlah gelaran isteri tiruan yang mungkin pelik bagi kita tetapi satu keseronokan kepada segelintir insan yang mengutamakan nafsu. Situasi yang tidak dapat diterima akal ini dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi zaman moden, dengan menterjemahkan perkahwinan sebagai hubungan antara tuan dan hamba.

Buktinya, bulan lalu, robot perempuan dihasilkan oleh sebuah syarikat Britain sebagai alat bantuan seks. Ia digelar 36C berdasarkan ukuran dadanya. Ia menyusuli ‘kelahiran’ robot perempuan seperti Actroid - setiausaha serba sempurna oleh saintis Jepun pada 2003 dan robot projek Aiko pada 2007 yang boleh bercakap dalam bahasa Jepun dan Inggeris, yang dicipta di Kanada.

Bagaimanapun, kelahiran Actroid dan Aiko lebih mulia peranannya berbanding 36C yang dicipta seorang jurutera elektrik dan saintis komputer Amerika Syarikat, Douglas Hines, yang pernah bekerja di Makmal AT&T Bell. 
Hines turut berterus terang yang rekaan terbarunya, Roxxxy itu adalah ‘robot seks.’ 

“Ia adalah hamba cinta,” kata Hines ketika ditemubual ABCNews.com ketika itu sambil menambah ia berharga antara AS$500,000 (RM1.5 juta) dan AS$1 juta (RM3 juta) dan mengambil masa sehingga dua tahun setengah untuk dicipta.

Robot pengantin

Pelanggan yang mahukan Roxxxy sebagai teman boleh meminta syarikat berkenaan menghasilkan robot mengikut kehendak mereka. Bagi menghasilkan robot yang kelihatan dan dapat beraksi sebagai pasangan sesuai, pelanggan perlu mengisi soal selidik untuk memberikan petunjuk kepada jurutera mengenai personaliti robot berkenaan.

Walaupun prototaip robot itu dihasilkan berdasarkan seorang penuntut wanita kulit putih dengan ketinggian 1.5 meter dan 54 kilogram berat, pelanggan boleh memilih warna rambut dan mata,

Namun 36C bukanlah robot teman wanita atau isteri tiruan. Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Kimia Universiti Lagos, Dr Kingsley Abhulimen, pada 1983 satu robot perempuan Sweetheart tidak dibenarkan dipamerkan di Kolej Berkeley selepas petisyen dibuat mendakwa ia satu penghinaan kepada wanita.

Robot Aiko yang dijual pada harga RM54,000 setiap satu, adalah robot yang dilengkapi sistem ‘artificial intelligence’ atau fungsi menyamai manusia. Ia yang dibangunkan Le Trung di Kanada, memiliki ketinggian kira-kira lima kaki. Aiko atau ‘anak kasih sayang’ disifatkan peneman sempurna kerana selain mampu bertutur dalam bahasa Jepun dan Inggeris, ia juga boleh memberi reaksi atau tindak balas terhadap pertanyaan dan sentuhan.

Ia juga boleh mengenal pasti objek di depannya kerana dilengkapi alat pengesan terhadap sebarang sentuhan atau kesakitan. Malah, jika pipinya dicubit atau bahagian lain badannya dikasari, Aiko juga boleh ‘bersuara’ meminta perbuatan itu dihentikan.

Robot Actroid juga mempunyai beberapa versi yang dimulai robot dikenali Repliee Q1 dan Repliee R1 yang dibuat berasaskan budak perempuan Jepun berusia 5 tahun. Model lebih canggih diperkenalkan pada 2005 dikenali dengan nama Aichi yang membantu orang ramai terhadap lokasi dan majlis tertentu. Ini diikuti penghasilan robot Actroid model berperanan sebagai pengacara pada tahun sama serta robot Actroid Sara pada 2009. Versi terbaru Actroid itu dijual di pasaran Jepun pada harga RM67,000.

Apa yang pasti, hampir setiap tahun robot wanita itu dihasilkan dengan pembuatan yang lebih terkini, termasuk rupa parasnya yang mirip wanita biasa dengan tubuhnya turut disaluti kulit menyamai manusia. Biarpun ada yang memujinya sebagai tahap kecerdikan manusia, tetapi hakikatnya ada juga pandangan bahawa penghasilan robot wanita yang sempurna, seksi dan patuh sebenarnya mencerminkan kekecewaan emosi pencipta mereka.

Antara robot popular:

Teman Pesakit Strok

Robot ciptaan penyelidik Hospital Kitasato, Jepun, yang boleh membantu mangsa serangan angin ahmar memperbaiki fungsi lengan dan bahu dengan menggerakkan lengan pesakit yang lumpuh dalam pelbagai arah yang sudah diprogramkan terlebih dulu.

Robot Paderi

Mula menjadi perhatian apabila sepasang suami isteri pada Mei lalu di Jepun, menjalani majlis perkahwinan berteknologi tinggi dengan robot paderi mengahwinkan mereka.

Robot I-Fairy yang dihasilkan oleh Kokoro Co menjadi robot pertama mengetuai majlis perkahwinan.

Teman Kanak-kanak

Robot ‘Saya’ mungkin menjadi robot kegemaran ibu bapa untuk dibawa pulang apabila sekumpulan penyelidik di Jepun berusaha menghasilkan robot yang boleh mengawal sekumpulan kanak-kanak. Ia boleh berpusing selain mempamerkan enam emosi iaitu terkejut, takut, jijik, marah, gembira dan sedih.

Robot Pelayan 

Di restoran Dalu Robot di China, pelayannya hadir dalam bentuk robot membawa hidangan. Setiap robot dipasang dengan alat pengesan bagi membolehkan mereka berhenti apabila pelanggan mahu mengambil hidangan. Lebih 12 robot beraksi sebagai penyambut tetamu, penghibur dan pelayan. Pemilik restoran berkenaan, Zhang Yongpei, berkata dia berharap dapat menambah bilangan robot kepada 30 dan memperkenalkan robot yang boleh melayan pelanggan di meja serta yang mampu naik turun tangga.

Pengurus Rumah Tangga

Suri rumah pula pasti akan lebih tertarik memiliki pembantu terbaik dalam menguruskan rumah tangga, Roomba. Sejak diperkenalkan pada tahun 2002, ia sudah dijual lebih lima juta unit, kata syarikat penciptanya, iRobot. Gembira dengan kejayaan Roomba,iRobot turut menghasilkan lebih banyak robot praktikal termasuk Scooba, robot pencuci lantai dan Verro, yang boleh mencuci kolam. 

Menara Kubur

Pencakar langit Mumbai papar konsep pusara menegak, pelbagai agama bawah satu bumbung

TANAH perkuburan Islam, Hindu dan Kristian di satu tempat? Ia mungkin tidak terjangkau dengan akal fikiran tetapi dengan wujudnya Menara Moksha di tengah bandar raya Mumbai, India, membuktikan apa saja boleh dibuat atas nama ‘keperluan semasa’ biarpun pasti mengundang kontroversi. 

Lebih pelik, kawasan perkuburan yang lazimnya dibina secara melebar, sebaliknya menjadi menegak atau vertikal menerusi idea pembinaan konsep Menara Moksha ini.

Biarpun diulit kontroversi, rancangan mewujudkan Menara Moksha yang turut digelar Pusara Menegak ini dibuat atas alasan masalah kesesakan penduduk yang amat ketara di bandar raya itu yang menyebabkan tiada lagi ruang untuk yang hidup, apatah lagi yang sudah mati.

Jika dilihat, projek itu bukanlah yang pertama di dunia kerana bangunan setinggi 13 tingkat di atas bukit di Santos, Brazil, sudah pun mempunyai penghuni kakunya manakala seorang arkitek Korea Selatan turut melontarkan idea sama bagi mengatasi masalah kekurangan tanah perkuburan berikutan harga tanah yang tinggi di kawasan bandar utama. 

Bagi kebanyakan kita, idea pembangunan seperti Menara Moksha itu mungkin tidak masuk akal, tetapi disifatkan praktikal bagi perancangnya. Alasannya - masalah kesesakan penduduk dan kekurangan tanah memaksa kerajaan India perlu memikirkan strategi bagi mengatasi masalah kronik kekurangan kawasan tanah perkuburan. Mumbai, kota kewangan India adalah yang terpadat di negara itu dengan jumlah penduduknya mencecah 20.5 juta orang. Malah, Mumbai atau sebelum ini dikenali sebagai Bombay, turut tersenarai 10 bandar raya paling padat di dunia. 

Semakin padat penduduk, kian ramai pula yang meninggal dunia. Tidak hairanlah, idea mewujudkan Menara Maut ini menarik perhatian ramai walaupun pembinaannya belum dapat dipastikan kerana ia membabitkan banyak perkara lain yang perlu dipertimbangkan. 

Namun idea serta konsep kubur mega itu sudah mendapat perhatian ramai. Apatah lagi projek Menara Moksha itu dikemukakan pihak Council on Tall Buildings and Urban Habitat - satu pertubuhan antarabangsa berpejabat di Amerika Syarikat yang juga pihak berkuasa bagi pembangunan bangunan tinggi, termasuk mengeluarkan senarai bangunan tertinggi dunia. 

Biarpun mengenengahkan konsep kubur metropolitan, ia tidak meminggirkan kaedah pengebumian tradisi empat agama utama di Mumbai iaitu Islam, Hindu, Buddha dan Parsi. Secara statistik, penganut Hindu paling ramai di sini iaitu 67 peratus, Islam (18 peratus), Buddha (5.2 peratus) dan Kristian (4.2 peratus). 

Bagi mereka yang beragama Islam, tingkat bawah diperuntukkan berikutan syarat bahawa jenazah dikebumikan. Bagi penganut Hindu dan Kristian di tingkat atas berikutan pengurusan mayat mereka secara dibakar. 

Penganut Parsi yang membiarkan mayat untuk dijamah burung nasar, ditempatkan di bumbung. 

Tidak ketinggalan ruang ibadat, meditasi dan tempat letak kereta, turut disediakan. 

Konsep Menara Moksha dibangunkan sebagai tema mesra alam dengan perekanya, Yalin Fu dan Ihsuan Lin memastikan terdapat ruang hijau yang mencukupi merangkumi ketinggian menara itu. 

Selain kehijauan di seluruh bangunan, rekaannya juga dilengkapi dengan tumbuhan-tumbuhan, lapisan pelbagai mengandungi lapisan luar, tumbuhan, material tenunan dan bingkai besi yang melapik bangunan berkenaan, berfungsi sebagai menyerap haba dan pencemaran. 

Ia juga mensasarkan untuk mengguna pakai teknologi baru yang mengelakkan pembakaran terbuka dalam usaha mengurangkan pencemaran yang semakin meruncing di bandar raya berkenaan. 

Menara berkenaan digambarkan sebagai menegak untuk menguruskan mayat yang menyediakan tempat untuk tempoh waktu lima hingga 10 tahun bagi memastikan kemampuan bangunan berkenaan digunakan untuk tempoh panjang. 

Walau apapun, perancangan meletakkan tanah perkuburan pelbagai penganut agama mungkin relevan pada sesetengah pihak tetapi masih ada baik buruknya di sisi agama itu sendiri. Mungkin bagi sesetengah golongan, ia melambangkan perpaduan dan keharmonian pelbagai kepercayaan tetapi agama sendiri sudah pun menetapkan sempadan sejauh mana untuk kita saling bercampur. 


Apa yang pasti menempatkan mayat pelbagai agama di satu tempat walaupun terasing dengan lingkungan tembok dan sebagainya bukanlah sesuatu yang boleh dikaitkan sebagai konsep toleransi bagi satu-satu pegangan. 

Buat masa ini, konsep pembinaan Menara Moksha tinggal di atas kertas, tetapi tidak mustahil ideanya pasti diangkat mereka yang beranggapan ia penyelesaian masalah kekurangan tanah perkuburan di kota metroplitan. 

Kubur Langit di Tibet 

SELAIN in mengebumikan dan membakar mayat, terdapat pelbagai lagi kaedah lain digunakan untuk menghantar si mati ke alam satu lagi sama ada mengikut ajaran agama atau sekadar meneruskan tradisi. 

Antara kaedah unik yang diamalkan termasuk apa yang dikenali sebagai Sky Burial atau pusara langit di Tibet. Amalan yang sudah dilakukan sejak beribu tahun itu membabitkan upacara yang dilakukan golongan tertentu Tibet. 

Mayat dipotong dan dibiarkan di kawasan pengebumian untuk santapan burung nasar, yang dipuja penduduk tempatan sebagai haiwan suci. Ada lebih 1,100 kawasan Sky Burial dan yang terbesar terletak di Perkuburan Drigung Til yang menerima secara purata 10 mayat sehari. 

Sementara di Australia, kawasan perkuburan di Victoria memulakan cara inovatif mengebumikan mayat dengan kaedah mesra alam dan mahal, alternatif kepada kaedah pembakaran. Terdapat cuma bilik berdiri untuk sesiapa yang memilih untuk dikebumikan di kawasan perkuburan unik itu. 

Mayat diletakkan dalam beg khas berbanding keranda dan dikebumikan secara menegak di tanah yang pernah digunakan sebagai padang ragut. Menurut pengendali upacara pengebumian pelik itu, kaedah itu tidak menjejaskan alam sekitar. 

Di Korea Selatan pula, pembakaran sebagai alternatif kepada pengebumian semakin popular. Menurut akhbar JoongAng Daily, undang-undang lama di Korea mengenai kaedah pengebumian dipinda pada tahun 2001, mengehadkan tempoh 60 tahun untuk dikebumi, dan selepas itu mayat dibakar. 

Di Sweden, sebuah syarikat memperkenalkan teknik Promession yang menyaksikan mayat tidak diawet tetapi disejukkan sehingga di bawah paras -64 darjah Fahrenheit dengan peti sejuk biasa dan terus dibekukan sehingga -385 darjah Fahrenheit dengan meletakkan ia dalam cecair nitrogen. 

Mayat beku menjalani proses yang menyaksikannya menjadi serbuk organik yang bersih dan tidak berbau, yang kemudian dimasukkan ke dalam ruang sedutan yang menyedut semua cecair dalam mayat itu.