Saturday, June 11, 2011

Dulu Kawan, Kini Lawan



KOTA BHARU – Hampir dua dekad lalu, Datuk M Karathu dan Irfan Bakti Abu Salim pernah bersama-sama berganding bahu, membantu Kelantan mencipta sejarah layak ke saingan separuh akhir Piala Malaysia sebelum ditumpaskan oleh Kedah menerusi agregat 4-2. 

Namun situasi kali ini cukup berbeza, di mana kedua-dua mereka terpaksa melupakan seketika hubungan persahabatan mereka selama 90 minit. Ini kerana, Karathu kini kembali mengemudi pasukan Kelantan setelah meninggalkannya 18 tahun lalu, sementara Irfan Bakti yang gemar berkelana kini bersama Terengganu untuk musim kedua berturut-turut. 

Malam ini, pentas perlawanan akhir Piala FA edisi ke-22 di antara Terengganu bertemu Kelantan bakal menyaksikan pertemuan kembali antara ‘guru dan anak murid’nya setelah sekian lama terpisah. 

Bagi Karathu sendiri, pertandingan Piala FA begitu nostalgia baginya, apatah lagi beliau merupakan jurulatih pertama negara yang berjaya menjulang piala tersebut pada tahun 1990, yang menyaksikan pasukan kendaliannya, Perak mengalahkan Selangor 4-2 dalam perlawanan akhir. 

Setidak-tidaknya, sudah pasti kegagalannya membawa Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 18 tahun lalu terubat dengan menghadiahkan piala yang diidam-idamkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa setelah gagal dalam percubaan pertama beliau ketika Kelantan dibimbing Peter James Butler dua tahun lalu. 

Sementara itu, Irfan Bakti, 51 tahun, jurulatih yang disifatkan penuh pengalaman dalam merencanakan taktikal, sudah pasti tidak mahu terlepas peluang untuk membantu Terengganu merangkul kejuaraan setelah pasukan Sang Penyu kali terakhir menjulang piala itu kira-kira 11 tahun lalu. 

Namun ada misi peribadi bagi Irfan Bakti, betapa beliau sendiri sebenarnya memburu kejuaraan kali kelima sepanjang kariernya bergelar jurulatih. Kali terakhir beliau menjulang Piala FA ialah pada tahun 2002, di mana ketika ini beliau mengemudi Pulau Pinang mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak dalam perlawanan akhir. 

Baik Terengganu mahupun Kelantan, kedua-dua tidak mahu kecewa lagi dan mempunyai alasan yang tersendiri untuk menjulang piala pada edisi kali ini. Namun penentuan sebenar hanya berkisar oleh perwatakan sang juara 22 pemain, yang akan berentap sepanjang 90 minit atau mungkin juga berlarutan sehingga masa tambahan atau penentuan sepakan penalti. 

Bagi Irfan Bakti dan M Karathu, keduanya sudah menurunkan segala ilmu kepada anak didik mereka masing-masing. Tinggal lagi penentuan nasib bersandarkan kepada perjalanan skrip oleh 22 pemain di atas padang Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Banteras Rasuah Misi Utama FAM


ANGIN sepoi kemelut gejala rasuah yang seakan kembali melanda liga bola sepak tempatan yang pernah meruntuhkan nilai sukan itu Malaysia akan terus dibanteras Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kesedaran dan ia dimulakan pada pertemuan final Piala FA, malam ini. 

KETUA pasukan Kelantan, Mohd Badri Radzi (kiri) dan Marzuki Yusof (kanan) turut jayakan kempen.

Pada pertemuan Kelantan menentang Terengganu, FAM akan memulakan kempen ‘Integriti’ dengan permulaan pemain daripada kedua-dua pasukan akan memakai lilitan integriti di lengan mereka selain memaparkan sepanduk sebelum perlawanan bermula nanti sebagai tanda menolak semua gejala negatif dalam bola sepak.

“Ia akan dimulakan pada perlawanan malam ini dan akan diteruskan pada semua perlawanan selepas ini yang membabitkan FAM,” kata Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa pada pelancaran kempen itu, semalam.

“Kempen ini adalah inisiatif FAM sebagai komitmen memerangi segala gejala negatif di samping memupuk budaya integriti di kalangan komuniti bola sepak dalam usaha menaikkan profesionalisme sukan ini ke arah lebih tinggi.” 

Milik Siapa Piala FA


KELANTAN dan Terengganu memasang impian untuk menjadi pasukan terakhir menjulang trofi Piala FA yang mula diperkenalkan pada tahun 2005. Musim depan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memperkenalkan trofi baru.

FINAL Piala FA 2011 antara Kelantan dengan Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini bakal mencatat sejarah tersendiri.

Mana-mana pasukan yang muncul juara bakal dikenang sebagai pasukan terakhir menjulang trofi yang mula diperkenal pada final edisi 2005 itu.

Ini kerana, satu trofi baharu akan diperkenalkan bermula pada Piala FA musim depan menggantikan trofi sedia ada itu yang hanya sempat digunakan untuk tujuh edisi final.

Sebelum itu, trofi pertama Piala FA digunakan pada 15 edisi terdahulu iaitu dari 1990 hingga 2004 dan pasukan Perak selaku juara pada final pertama dan terakhir diberi penghormatan menyimpan terus trofi tersebut.

“Kelantan tak pernah menang Piala FA setelah percubaan pertama pada 2009 gagal. Jadi ini kali kedua Kelantan melangkah ke final dan inilah peluang kita untuk bergelar juara.

“Harap Kelantan jadi penerima terakhir trofi ini dan dipertimbangkan untuk simpan terus trofi ini,” kata pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim pada sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil petang semalam.

Namun tidak semudah itu buat Kelantan bergelar juara Piala FA buat pertama kali dalam sejarah kerana Terengganu berhasrat menjulang Piala FA buat kali kedua selepas muncul juara pada tahun 2000.

Pengurus pasukan Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh berkata, kekalahan 0-3 kepada Kelantan pada aksi Liga Super pada Isnin lalu telah dilupakan bagi memastikan mereka tampil lebih mantap pada aksi final malam ini.

“Pertandingan Liga Super dan Piala FA kami anggap dua perkara yang berbeza. Saya harap para pemain Terengganu dapat mempamerkan aksi terbaik mereka bagi mengatasi kekuatan pasukan lawan,” ujar Che Mat.

Dalam pada itu, pihak polis akan menempatkan seramai 2,600 anggota keselamatan di dalam dan luar stadium bagi mengawal kehadiran kira-kira 85,000 penonton kedua-dua pasukan malam ini.

Terengganu, Kelantan Mahu Bukti Kehebatan



KUALA LUMPUR - Pertembungan dua pasukan pantai timur antara Kelantan dan Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini berjaya mengundang debaran peminat bola sepak tanahair setelah mereka membuktikan kehebatan masing-masing di pentas Liga Super.

Malah, kedua-dua pasukan nampaknya cukup optimis untuk menghitung pertemuan di pentas akhir itu, lebih-lebih lagi Terengganu yang mahu menebus maruah setelah dihampakan Kelantan dalam aksi Liga Super, Isnin lalu.

Bagaimanapun, Pengurus Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh tidak beranggapan perlawanan akhir menentang Kelantan, hari ini sebagai medan untuk membalas dendam dan ia juga tidak sama seperti pertembungan Liga Super.

"Kami sudah bersedia kali ini. Pertemuan menentang Kelantan memang amat menarik dan harapan kami adalah untuk menamatkan kemarau 10 tahun selepas kali terakhir memenangi Piala FA mengalahkan Pulau Pinang," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini semalam.

Beliau berkata, segala kelemahan selepas mereka tewas 0-3 sebelum ini dijangka dapat diatasi sebaiknya pada perlawanan akhir, seterusnya dapat menjulang piala pertama musim ini dan membawa pulang Piala FA ke Terengganu.

Sementara itu, pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, kemenangan perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi pengubat kekecewaan dua tahun lalu.

Pada 2009 mereka beraksi di perlawanan akhir menentang Selangor, namun gagal untuk menjulang piala buat pertama kali selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti.

"Saya berharap tahun ini tuah menjadi milik Kelantan, terutama sekali dengan sokongan padu yang akan diberikan oleh penyokong kami, sejarah akan tercipta lagi jika berjaya memenangi piala ini," ujarnya.

Bagaimanapun, Azman tidak mahu menjadikan keputusan perlawanan Isnin lalu ke atas Terengganu sebagai ukuran kerana perlawanan akhir sangat berbeza, apa sahaja boleh berlaku.

'Kita Kena Fokus 100 peratus'


Karathu tuntut Red Warriors waspada bendung Terengganu andai mahu menang 

“FOKUS setiap saat pada perlawanan.” Itulah teguran ketua jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu kepada setiap anak didiknya apabila Kelantan turun menentang pasukan tetangga, Terengganu dalam final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Pengendali Red Warriors itu mengerti lawan pimpinan Irfan Bakti Abu Salim akan hadir dengan misi membalas dendam kekalahan 3-0 dalam Liga Super Isnin lalu dan dia mahu benteng pertahanan dan tengah yang dianggap kekuatan pasukan bakal berfungsi hebat.

KARATHU (kanan) memberi kata-kata semangat untuk bertarung kepada pemain Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

“Kita kena fokus sepenuhnya kepada perlawanan berdepan Terengganu dalam final Piala FA dan pasukan yang bijak memanfaatkan peluang atau kurang melakukan kesilapan pasti membawa kejayaan. 

“Jadi saya harap pemain dapat mempamerkan aksi terbaik mereka mengulangi pencapaian menewaskan Terengganu dalam pentas final Piala FA, sekali gus membawa pulang kejuaraan itu ke negeri ini,” katanya ketika diminta mengulas perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu, malam ini. 

Seperkara lagi dituntut Karathu adalah kekuatan mental pada final ini yang dianggap elemen penting untuk kejayaan. 

“Selain mental pemain Kelantan harus tunjukkan karektor masing-masing di padang dan jika ada peluang menjaringkan gol ia harus dikaut sebaik-baiknya kerana peluang ini jika terlepas boleh membawa padah. 

“Saya percaya aksi konsisten dalam Liga Super akan dapat membantu cabaran kami tapi saya ingat pemain usah memandang rendah kemampuan pemain Terengganu kali ini,” kata Karathu. 

Piala FA Milik Siapa?


KUALA LUMPUR – Ketika Kelantan berkeras bahawa kemenangan 3-0 dalam saingan Liga Super, Isnin lalu bukan sekadar nasib, Terengganu pula menegaskan, perlawanan akhir Piala FA malam ini adalah cerita baru dan kekalahan enam hari lalu sama sekali tidak akan berulang.

Kapten Terengganu, Marzuki Yusof menegaskan, keputusan di Kuala Terengganu itu tidak boleh diambil kira apabila pasukannya melayani skuad Kijang sekali lagi, kali ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malah tegasnya lagi, skuad Penyu telah memperbaiki segala kelemahan yang membawa kepada kekalahan tempoh hari, malah beliau percaya, situasi Piala FA dan Liga Super jauh berbeza.

MILIK siapa... Badhri Radzi (kanan) dan Mazuki Yusof bersama trofi Piala FA yang menjadi rebutan, malam ini.

Namun bagi ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi, kemenangan Isnin lalu bukan kerana nasib, disebabkan lawan tidak dapat menurunkan tonggak utama, sebaliknya mereka terbukti pasukan yang lebih baik.

Pertembungan akhir klasik antara dua negeri berjiran itu amat dinantikan penyokong fanatik mereka kerana ini merupakan kali pertama Kelantan dan Terengganu bertemu dalam mana-mana perlawanan akhir.

“Saya tidak menganggap kemenangan ke atas Terengganu sebelum ini sekadar nasib kerana mereka tidak dapat menurunkan Ashaari (Shamsuddin). Kami akan membuktikan Kelantan adalah yang terbaik pada perlawanan akhir .

“Saya berpesan kepada rakan-rakan agar mengekang asakan rangkaian serangan Terengganu, terutama dengan kepulangan semula Ashaari,” kata Badhri.

Menurut Badhri, yang turut dikenali sebagai Piya, dia mahu membantu pasukannya menjulang piala yang diperkenalkan pada 1990 buat pertama kali sekali gus memadam kekecewaan final 2009 tewas kepada Selangor.

Sementara Marzuki pula optimis Terengganu mampu membawa kejuaraan, meskipun sedar pasukannya tidak memiliki kelebihan psikologi ekoran kekalahan buruk, Isnin lalu.

“Kami banyak buat kesilapan pada perlawanan itu tetapi esok (hari ini) kami tidak boleh mengulanginya dan harus memperbaiki segala kelemahan.

“Ini adalah penampilan kedua saya dalam final Piala FA, kali pertama ketika bertemu Perak pada 2004 tetapi ketika itu kami tewas 0-3, saya tidak mahu sejarah berulang lagi,” katanya.

Kereta Mewah Tenggelam Dalam Banjir Kilat



Kereta-kereta mewah bernilai berjuta-juta Ringgit rosak dilanda banjir di kawasan tempat letak kereta bawah tanah sebuah pangsapuri mewah.

St. Regis Apartments menempatkan pangsapuri bernilai lebih RM49.2 juta berhampiran pesisir pantai Singapura.

Pemilik-pemilik kenderaan tersebut terpaksa menanggung kerugian yang dialami setelah kereta mereka ditenggelami air.

Sistem amaran pangsapuri tersebut gagal berfungsi untuk memberi amaran terhadap banjir yang berlaku.

Akibatnya berpuluh-puluh kenderaan mewah mengalami kerosakan – termasuk sebuah Ferrari 458 Italia dan Lamborgini Gallardo.

http://www.telegraph.co.uk/news/picturegalleries/picturesoftheday/8567855/Pictures-of-the-day-10-June-2011.html?image=5

Mat Yo Idam Piala FA Pertama Kelantan


NORSHAHRUL mahu bukti kehebatan sebagai pemegang status oenyerang kebangsaan pada perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu, malam ini.

KUALA LUMPUR - Tidak mahu menghampakan penyokong, itulah ikrar penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang akan beraksi pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil menentang Terengganu, malam ini.

Tonggak kebangsaan itu berkata, sebagai penyerang dia tidak mahu melakukan kesilapan jika mendapat peluang keemasan untuk menjaringkan gol kerana ia adalah perlawanan penting buat The Red Warriors menjulang Piala FA buat kali pertama.

"Saya juga akan menasihatkan pemain pertahanan agar tidak leka, mereka perlu mengekang asakan rangkaian serangan Terengganu sebaik mungkin, semua sedar bahawa kekuatan Terengganu terletak di bahagian serangan," katanya ketika ditemui pemberita di Stadiuam Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.

Jelasnya, persefahaman antara pemain sangat penting, sesiapa sahaja mampu muncul juara dalam perlawanan akhir.

"Saya tidak mahu menghampakan penyokong yang datang. Perlawanan terdahulu tidak boleh dijadikan ukuran, walaupun menjadi pasukan pilihan semua pemain harus berhati-hati, Terengganu bukan calang-calang pasukan.

"Jika saya diberi tumpuan sekali pun oleh pemain pertahanan lawan ia juga akan memberi kelebihan buat kami. Pemain lain yang tidak dikawal mampu untuk meroboh benteng pertahanan mereka," katanya.

Norshahrul yang terkenal dengan nama jolokan Mat Yo berkata, dia juga akan memberikan persembahan terbaik untuk membuktikan bahawa dia adalah penyerang kebangsaan yang berbisa dan bersaing secara sihat dengan Abdul Hadi Yahya.

"Dua penyerang kebangsaan akan beraksi, tidak kira siapa lawan kami, sudah pasti sebagai penyerang masing-masing ingin menunjukkan kebolehan yang dimiliki, saya ingin menjaringkan gol pada perlawanan ini.

"Mungkin jaringan yang akan saya lakukan adalah hadiah hari jadi terbaik saya pada Rabu lalu, tetapi ia lebih manis jika dapat membantu Kelantan menjulang Piala FA buat pertama kali," kata penyerang kelahiran Besut, Terengganu itu.

Penyokong diingatkan Kawal Tingkah Laku



KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat persiapan sepenuhnya bagi memastikan keselamatan terkawal pada perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Salleh Abdul Rashid, seramai 2,600 anggota polis dan Rela akan ditempatkan di dalam dan luar stadium.

"Kami memandang serius tentang isu keselamatan. Pihak polis akan mengetatkan kawalan keselamatan di tahap maksimum berdasarkan kepada kehendak semasa.

"Soal keselamatan ini kita tidak boleh leka. Saya tidak mahu apa yang berlaku seperti perlawanan terdahulu yang dicetuskan oleh penyokong berulang semula," katanya dalam sidang akhbar Piala FA yang dipengerusikan oleh Naib Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa di sini, semalam.

Sebelum itu, Annuar telah melancarkan lencana "Integriti" Liga Malaysia 2011 sebagai simbolik menyatukan bolasepak dengan meletakkan pelekat Integriti kelengan baju kedua-dua ketua pasukan Terengganu dan Kelantan, Mohd Marzuki Yusof.

Salleh yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM berkata, polis memerlukan kerjasama penyokong kedua-dua pasukan supaya mematuhi arahan keselamatan dan mempamerkan disiplin tinggi untuk mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Sekitar 85,000 penyokong Kelantan dan Terengganu dijangka membanjiristadium itu seawal pukul 5 petang.

Sementara itu, Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, hampir 80,000 jumlah tiket telah habis dijual setakat ini.

"Dianggarkan lebih 10,000 tiket telah dijual di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini (semalam). Dijangkakan bakinya akan habis dijual pada hari perlawanan (hari ini)," katanya.

Beliau berkata, sekiranya tiket habis terjual pada perlawanan akhir kali ini, ia akan memecah rekod penjualan dan juga memecah rekod keuntungan dalam penjualan tiket tertinggi iaitu Piala Malaysia tahun ini.

'Mat Yo' Ada Kenangan Indah di Bukit Jalil


BUKIT JALIL mungkin sudah terlalu biasa bagi Norshahrul Id- lan Talaha.

Perlawanan melibatkannya di sana acap kali berakhir dengan kegembiraan seperti apa yang berlaku pada final Piala Malaysia dan Piala AFF Suzuki lalu.

Sebagai pemain berpengalaman, pentas perlawanan akhir seharusnya tidak mengundang kebimbangan malah, dia tentunya lebih arif bagaimana untuk memecah gawang Terengganu yang dikemudi Mohamad Sharbinee Allawee yang juga rakan sepela- tihnya bersama skuad kebangsaan.

JIKA dibiarkan bebas, Norshahrul (kiri) mampu menjadi pemusnah impian Terengganu malam ini.

Dua musim bersama Kelantan, nama Norshahrul tiba-tiba melonjak dan hampir setiap hari meniti di bibir, bukan sahaja penykong Kelantan tetapi pemerhati dan pencinta bola sepak tempatan walaupun dia sebelum itu sudah bersama pasukan kebangsaan ketika mewakili UPB-MyTeam.

Kemahiran dan ketajaman yang dimiliki sebagai seorang penggempur dilihat begitu sempurna, terutamanya ketika menggelecek lawan melalui garisan belakang padang sehingga ada yang menggelarkan Norshahrul sebagai The Linesman dan peluang di- miliki di dalam kotak penalti jarang disia-siakan.

Kelibatnya di padang memberi azimat dan tonik yang cukup berharga buat para peminat sehinggakan tatkala dia terbaring di padang kerana mengalami kecederaan, pasti ramai peminat yang resah dan tidak senang duduk.

Sebagai ‘anak emas’ puluhan ribu penyokong Kelantan, misi membawa pulang Piala FA buat kali pertama ke bumi Cik Siti Wan Kembang ini pasti terarah kepada Norshahrul dan sudah pastinya mengharapkan sentuhannya mam- pu mengecewakan Terengganu.

Bagi Norshahrul atau mudah dikenali sebagai ‘Mat Yo’, dia berharap mampu mencipta gol awal untuk menaikkan semangat rakan-rakan sepasukan dan tamba- han gol untuk memadamkan harapan Terengganu.

“Sebagai pemain perlawanan akhir berbeza dengan perlawanan biasa, jadi apa yang perlu diberikan mestilah lebih daripada biasa. Semua pemain kena beri lebih daripada seratus peratus untuk memastikan kejayaan.

“Kelantan perlu mencari gol awal untuk menambahkan lagi tahap keyakinan dan kalau dilihat pada perlawanan di Terengganu tempoh hari, saya yakin kita akan dapat membawa piala tersebut pulang ke Kota Bharu,” katanya baru-baru ini.

Tambahnya, kemenangan malam ini bukan saya membolehkan mereka melakar sejarah baru bola sepak Kelantan tetapi lebih daripada itu ia adalah hadiah dan tanda penghargaan kepada seluruh peminat yang sentiasa memberi sokongan padu.

Dalam pada itu, pemain pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin memberitahu, tiada apa yang perlu dibimbang mengenai pertemuan menentang Terengganu malam ini kerana semua pemain sudah bersedia.

Ketika ditanya kehadiran semula Ashaari Shamsuddin yang akan turun beraksi malam ini bersama Terengganu mungkin akan memberi ancaman besar kepada Kelantan, Duadsu berkata:

“Bukan mungkin tetapi pasti. Dia (Ashaari) seorang pemain yang cukup berkualiti. Pergerakannya perlu sentiasa dirantai dan diawasi dan dia tidak boleh diberi ruang kerana dia pemain yang laju dan licik.

“Terengganu sebuah pasukan yang baik. Mereka cukup bahaya, terutamanya melalui bola tinggi dan set piece. Coach (jurulatih) dan kami sudah berbincang mengenai perkara itu dan insya-Allah kami akan menyekat mereka,” jelasnya.