Tuesday, May 17, 2011

Kelantan, Terengganu ke Final


KUALA LUMPUR – Kelantan dan Terengganu secara rasmi mengesahkan pentas perlawanan akhir Piala FA musim ini selepas tidak berdepan masalah mengatasi lawan masing-masing secara agregat pada perlawanan separuh akhir kedua semalam.

Di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, Kelantan yang sudah sebelah kaki ke perlawanan akhir selepas membelasah Selangor 5-1 pada separuh akhir pertama, tetap beraksi dengan penuh bersemangat untuk seri 1-1.

Pemain Terengganu, Abdul Hadi Yahaya meraikan gol pertama pasukannya ketika menentang Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu.

Keputusan itu memastikan kemaraan mereka ke final pada 21 Jun ini dengan agregat selesa 6-2.

Skuad The Red Warriors yang turun tanpa lima pemain utama termasuk penyerang kebangsaan, Nor Shahrul Idlan Talaha tetap mempamer aksi garang bagi menyekat kebangkitan Selangor.

Serangan bertali arus yang diketuai oleh bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Khalid Jamlus dan pemain muda, Ramzul Zahini Adenan akhirnya membuahkan hasil pada minit kesembilan menerusi Mohd. Shakir Shaari yang menewaskan penjaga gol Selangor, Mohd. Iqbal Suhaimi.

Selangor yang semakin berputus asa, akhirnya mendapat gol sagu hati melalui Rudie Ramli pada minit ke 78, hasil hantaran lintang Amri Yahya.

Lawan Kelantan pada pentas final nanti, Terengganu juga cemerlang apabila gah dengan agregat 5-2 selepas mengalahkan Pahang 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu.

Kemaraan ke final pada musim ini menamatkan penantian tujuh Terengganu, disempurnakan menerusi jaringan penyerang lincah pasukan tuan rumah Abdul Hadi Yahaya dan pemain gantian, Mohd. Ailimi Fahmi masing-masing pada minit ke-36 dan ke-86.

Jaringan Abdul Hadi dihasilkan menerusi sepakan penalti setelah dia dijatuhkan penjaga gol Pahang, Mohd. Rosfaizul Azuar Ali di dalam kotak penalti.

Terengganu pernah menjulang Piala FA apabila mengalahkan Pulau Pinang pada perlawanan akhir 2000.

Kejayaan itu turut dikongsi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang turut hadir menyaksikan perlawanan bersama kira-kira 18,000 penonton.

Perhitungan Pantai Timur


DUA gergasi Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu akan bertemu pada final Piala FA musim ini selepas menyingkirkan Selangor dan Pahang di peringkat separuh akhir dengan agregat besar.

Pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam, Kelantan yang membawa kemenangan besar 5-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam turun dengan sokongan kira-kira 20,000 penyokong, jelas bermula dengan tenang apabila menguasai perlawanan seawal minit pertama.

GEMBIRA...pemain Kelantan meraikan jaringan Shakir pada perlawanan malam tadi.

Hasilnya pemain tengah The Red Warriors, Mohd Shakir Saari berjaya membuka gol untuk tuan rumah pada minit kesembilan selepas merembat kencang dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Mohd Iqbal Suhaimi untuk menjadikan kedudukan 6-1 secara agregat.

Kelantan terus dihidangkan dengan deretan peluang pada separuh masa pertama, namun gagal disudahkan jentera serangan tuan rumah yang diketuai Mohd Khalid Jamlus dan Mohd Ramzul Zahini Adenan.

Selangor pula banyak mengasak ke kubu lawan pada separuh masa kedua dan usaha anak buah jurulatih K Devan membuahkan hasil apabila Rudie Ramli menjaringkan gol penyamaan untuk keputusan akhir 1-1, sekali gus mengelakkan skuad Merah Kuning itu tewas buat kali keempat kepada Kelantan, namun ia tidak cukup untuk menafikan tiket final Kelantan yang mara dengan agregat 6-2.

Karathu yang jelas gembira dengan kemenangan itu berkata keyakinan memang menebal di kalangan pemainnya selepas kemenangan besar pada separuh akhir pertama pada Jumaat lalu.

“Kita mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama namun gagal yang mungkin disebabkan ketiadaan empat pemain utama dalam kesebelasan utama dan strategi saya menggunakan pemain muda untuk meraih pengalaman pada perlawanan seperti ini,” katanya.

Kejayaan mara ke final Piala FA untuk kali kedua selepas kekecewaan pada 2009 amat dinantikan peminat Kelantan selepas menjulang Piala Sultan Ahmad Shah pada awal musim ini.

Devan pula berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan keputusan itu walaupun gagal menyekat kemaraan Kelantan untuk ke final.

Sementara itu, Terengganu yang mara ke final untuk kali keempat, menewaskan Pahang 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk mara dengan agregat 5-2.

Aksi final itu adalah perlawanan pertama membabitkan dua pasukan Pantai Timur namun skuad Peteh mempunyai rekod lebih baik apabila pernah bergelar juara pada 2000 dan dua kali sebagai naib juara sejak piala itu mula dipertandingkan pada 1990.

Red Warriors Terbayang Gelaran



KOTA BHARU – Dua jagoan Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu bakal berentap dalam perlawanan akhir Piala FA edisi ke-22 setelah mengetepikan lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir kedua yang berlangsung malam tadi. 

Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi, biarpun sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Selangor, namun Kelantan melangkah penuh bergaya ke pentas perlawanan akhir musim ini setelah menang menerusi perkiraan agregat 6-2. 

Sementara itu, Terengganu turut layak menerusi agregat 5-2 apabila mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi. 

Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faiz

Lebih manis, kejayaan mara ke perlawanan akhir kali kedua itu dikongsi bersama oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut hadir menyaksikan perlawanan malam tadi. 

Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Selangor yang bertandang ke Kota Bharu dengan misi sukar untuk mencipta kemenangan memulakan asakan seawal minit kedua perlawanan menerusi sepakan percuma pemain tengah, Mohd Hardi Jaafar yang tersasar sebelah kanan pintu gol Kelantan. 

Tiga minit kemudian, giliran Kelantan membalas serangan menerusi rembatan Ketua Pasukan Kelantan, Muhd Badhri Radzi diluar kotak penalti yang menyaksikan bola rembatannya sedikit melewati pintu gol. 

Namun, Kelantan tidak perlu menunggu lebih lama untuk memperolehi jaringan dalam perlawanan malam tadi. Pada m-9, pintu gol Selangor dibolosi apabila sepakan voli Mohd Shakir Shaari di luar kotak penalti tepat menerjah jaring untuk menewaskan Mohd Iqbal Mohd Suhaimi di gawang golnya. 

Ternyata gol tersebut menyemarakkan semangat pemain Kelantan untuk memberi tekanan kepada pasukan pelawat yang dilihat membuat percaturan merehatkan beberapa tonggak utama dalam perlawanan malam tadi. 

Pada m-28, penyerang Kelantan, Muhammad Ramzul Zahini Adenan mensia-siakan peluang terbaiknya untuk mencipta nama apabila sepakan lambungnya tinggi melewati pintu gol Selangor biarpun hanya berhadapan dengan Mohd Iqbal. 

Tujuh minit berselang, gerakan menarik satu dua di antara Muhammad Khalid dengan Muhammad Ramzul Zahini turut berakhir dengan kehampaan apabila rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Selangor. 

Biarpun Selangor dilihat tidak mempunyai banyak peluang untuk melancarkan serangan merbahaya, namun Ketua Pasukan, Mohd Amri Yahyah turut mencuri perhatian apabila sempat melepaskan rembatan pada m-36 yang tersasar di sebelah kanan pintu gol Kelantan. 

Dua minit kemudian, Muhammad Ramzul Zahini sekali lagi terlepas peluang menjarakkan kedudukan untuk Kelantan apabila gagal menyempurnakan hantaran lintang S Chanturu dengan memilih menyepak lemah ke Mohd Iqbal. 

Pada m-41, pemain yang digelar ‘Kelantan Ekspres’, Chanturu juga mengukir nama sebagai antara pemain yang turut mensia-siakan peluang terhidang dalam perlawanan malam tadi apabila rembatannya tersasar di sebelah kiri pintu gol Selangor biarpun menerima umpanan cantik daripada Muhammad Khalid sebelum itu. 

Minit-minit akhir perlawanan, Muhd Badhri gagal memastikan Kelantan berada dalam kedudukan selesa sebelum menuju ke bilik persalinan apabila rembatannya ditepis keluar Mohd Iqbal malah rembatan susulannya sekali lagi ditanduk keluar P Gunalan diatas garisan gol Selangor. 

Babak kedua menyaksikan anak buah K Devan lebih kemas menyusun corak permainan dan hasilnya pada m-51 rembatan pemain pertahanan, P Gunalan nyaris menghasilkan gol manakala percubaan Azidan Sarudin dua minit kemudian pula tinggi melewati pintu gol Kelantan. 

Dua minit selepas itu, Mohd Amri terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan untuk pasukannya apabila rembatannya di dalam kotak penalti hanya tersasar beberapa meter di sebelah kanan pintu gol Kelantan. 

Enggan membiarkan pasukan pelawat menguasai perlawanan, Kelantan turut mempunyai peluang untuk melebarkan jurang pada m-60 namun lorongan cantik Muhammad Khalid gagal disempurnakan dengan bijak oleh Mohd Nizab Ayub apabila rembatannya mudah dibaca Mohd Iqbal. 

Pada m-73, Mohd Iqbal sekali lagi dipaksa bekerja keras dipintu golnya apabila terpaksa melayangkan badan untuk menepis keluar rembatan kencang Mohd Izuan Salahuddin dari luar kotak penalti. 

Seminit kemudian, sepakan penjuru melencong oleh Muhd Badhri pula turut memaksa Mohd Iqbal melayangkan badan sekali lagi bagi menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi. 

Di sebalik kebangkitan mendadak barisan pemain Kelantan untuk terus menambahkan jaringan, muncul Rudie Ramli sebagai penyelamat maruah pasukannya daripada terus diaibkan dengan kekalahan keempat kepada Kelantan sepanjang musim ini. 

Pada m-78, berpunca hantaran lintang ke dalam kotak penalti oleh Mohd Amri, Rudie pantas menampan kemas sebelum merembat dekat untuk menghasilkan gol penyamaan bagi Selangor dalam perlawanan malam tadi. 

Pada m-82, Muhd Badhri sekali lagi gagal menambahkan jaringan bagi Kelantan apabila rembatan leretnya hanya melintasi pintu gol Selangor biarpun Mohd Nizab cuba menampan rembatan tersebut. 

Minit-minit akhir perlawanan, Mohd Iqbal sekali lagi beraksi cemerlang dipintu golnya apabila menafikan rembatan kencang Mohd Nurul Azwan untuk memastikan kedua-dua pasukan sekadar terikat seri 1-1 dalam perlawanan malam tadi. 

Kesebelasan utama pemain:

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, S Subramaniam (Wan Rohaimi Wan Ismail), Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohammad Ab Aziz Ismail, Mohd Izuan Salahuddin (Mohd Nurul Azwan Roya), Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, S Chanturu, Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Mohd Nizab Ayub) dan Muhammad Khalid Jamlus. 

FORMASI : 4-4-2 

SELANGOR : Mohd Iqbal Mohd Suhaimi, Mohd Nasriq Baharom (Yosri Derma Raju), P Gunalan, D Surendran, Mohd Bunyamin Umar, Azidan Sarudin, Mohd Hardi Jaafar (Mohd Fazlidin Khalid), Mohd Amirulhadi Zainal (Mohd Asrarudin Putra Omar), Mohd Amri Yahyah (KP), Mohd Fitri Shazwan Raduwan dan Rudie Ramli. 

FORMASI : 4-4-2