Monday, May 16, 2011

Selangkah ke Final Piala FA



KOTA BHARU - Tatkala pengendali Selangor, K Devan perlu memikirkan ramuan khas untuk pasukannya mencari seberapa banyak gol pada pertemuan separuh akhir kedua Piala FA malam ini, Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu sedikit pun tidak tertekan, malah bersemangat menceritakan persiapan pasukan kendaliannya. 

Berbekal kelebihan empat gol, Karathu optimis membawa The Red Warriors ke perlawanan akhir buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun. 

“Turun tanpa dua pemain pertahanan, Zairul Fitree (Ishak) dan Mohd Farisham (Ismail) tidak menjejaskan perancangan saya,” katanya semalam. 

Beliau menganggap, Kelantan masih belum layak ke perlawanan akhir selagi tempoh 90 minit belum berakhir. 

“Kita harus mempertahankan rekod tanpa kalah di tempat sendiri selain terus melebarkan rekod kemenangan ke atas Selangor. Soal siapa lawan di perlawanan akhir, kita fikir kemudian,” katanya. 

Menurut Karathu, latihan terakhir pasukan Kelantan semalam lebih tertumpu kepada perubahan formasi dalam mencari kesebelasan terbaik setelah dua tonggak utama di benteng pertahanan terpaksa disisihkan gara-gara mengumpul dua kad kuning. 

“Saya tengah mencongak strategi untuk mengekang Selangor. Pastinya kita tidak bermain secara bertahan, saya mahu pemain mendapatkan gol awal bagi membunuh semangat juang lawan. Saya tidak mahu pemain mensia-siakan peluang seperti babak kedua di Shah Alam tempoh hari,” katanya. 

Menurutnya, Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) akan diberi peranan sebagai penggempur utama. 

“Dia belum menemui rentak sebenar kerana baru diturunkan dalam perlawanan lalu, namun saya percaya sumbangan dia cukup penting bagi kejayaan pasukan,” katanya. 

Dalam perlawanan separuh akhir pertama, Jumaat lalu, Kelantan berpesta gol setelah membelasah Selangor 5-1. Muhammad Ramzul Zahini Adenan berjaya menjaringkan dua gol sementara satu gol lagi masing-masing menerusi sumbangan Muhd Badhri Radzi, Mohd Nurul Azwan Roya dan Norshahrul Idlan Talaha.

3,000 Janin Bayi Perempuan digugur Secara Haram



TAIPEI: Kira-kira 3,000 bayi perempuan dianggap ‘hilang’ dari populasi Taiwan tahun lalu akibat pengguguran yang dilakukan kerana ibu bapa mengutamakan anak lelaki.

Ketua Pengarah Biro Penggalakkan Kesihatan, Chiou Shu-ti berkata, amalan seumpama itu menyebabkan berlaku jurang yang luas antara jumlah penduduk lelaki dan wanita.

Bulan lalu, biro itu melancarkan siasatan selepas mendapati 10 daripada 11 bayi yang dilahirkan di sebuah klinik di Taipei terdiri daripada anak lelaki.

Pada masa sama, sembilan daripada setiap 10 bayi di lahirkan di Hospital Taipei City pada tempoh yang sama juga lelaki. Pegawai mengesyaki doktor di kedua-dua institusi perubatan itu menggalakkan pengguguran secara haram selepas menjalankan ujian yang membolehkan bakal ibu bapa mengesahkan jantina kandungan mereka. 

AP

Karathu Tagih Aksi Mantap


Jurulatih Kelantan tetap anggap perlawanan separuh akhir kedua getir

BAYANGAN ke pentas final sudah terbayang namun Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu tetap menganggap perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang The Red Giant di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam ini, sebagai getir. 

Walaupun berbekal selesa 5-1, pengendali berpengalaman The Red Warriors itu tetap menagih persembahan mantap dari kesebelasan utamanya dalam melayan kunjungan Selangor yang dilihat bakal bertindak seperti ‘singa luka’.

“Kemenangan 5-1 di Stadium Shah Alam Jumaat lalu, memang memberi laluan selesa tetapi kita tidak harus leka dengan kejayaan itu, perjuangan perlu diteruskan dan bermain di padang sendiri menuntut pemain memberi persembahan seperti di Selangor, Jumaat lalu.

KARATHU (kiri) memberi penerangan kepada pemain Kelantan sebelum menjalani latihan ringan, semalam.

“Kami jangkakan Selangor akan memberi tentangan memandangkan pasukan itu akan berusaha merampas ‘kemenangan’ yang Kelantan peroleh Jumaat lalu. 

“Namun The Red Warriors tidak mahu mengecewakan penyokong setia di bumi sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Dalam keadaan Kelantan yang disebut-sebut bakal mengulangi kemaraan ke final Piala FA buat musim kedua, Karathu memberi khabar kurang menggembirakan apabila dua tonggak pertahanan, Mohd Farisham Ismail dan Zairul Fitree Ishak, tidak dapat beraksi kerana menerima dua kad kuning. 

“Saya akan gunakan khidmat Mohd Rizal Fahmi Rosid dan Mohd Aziz Ismail bagi mengisi kekosongan itu kerana walaupun masih muda, mereka mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberi,” katanya. 

Karathu juga menaruh harapan kesebelasan utama The Red Warriors dapat mengekalkan rentak cemerlang seperti dipamerkan Jumaat lalu, terutama membuat penyudahan berkesan untuk merobek gawang Selangor. 

“Saya ingatkan pemain supaya tidak melakukan sebarang kesilapan yang boleh mengundang padah, sekali gus menghancurkan harapan untuk ke final nanti.” 

Ramzul Mahu Terus Ledak Gol


KOTA BHARU - Sentuhan memukau yang ditampilkan oleh penyerang muda The Red Warriors, Muhammad Ramzul Zahini Adenan dengan meledak dua gol ketika membantu pasukannya menumbangkan Selangor 5-1 pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu memberikan petanda bahawa dia sudah bersedia untuk kembali menggalas tugas selaku penggempur utama.

Turun selaku pemain utama pada perlawanan itu, anak kelahiran Kampung Kangkong, Pasir Mas itu, ternyata pantas menyambar peluang yang diberikan oleh Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu dengan mempamerkan sentuhan berbisa menyebabkan skuad bimbingan K. Daven bagaikan dipukau aksi mantap The Red Warriors.

Muhammad Ramzul Zahini (kiri) dan Norshahrul ketika menyertai sesi latihan pasukan Kelantan di Kota Bharu

Muhammad Ramzul berkata, dia semakin bersemangat untuk kembali merebut tempat dalam senarai kesebelasan utama menjelang aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV, hari ini.

Beliau berkata, dua gol yang dijaringkan pada perlawanan itu amat bermakna buat dirinya selepas pulih daripada kecederaan serius ketika bertemu Negeri Sembilan awal Mac lalu.

"Ini merupakan dua gol pertama saya dalam saingan Piala FA musim ini. Saya berterima kepada ketua jurulatih kerana memberikan peluang kepada saya untuk kembali ke dalam pasukan selepas aksi dengan Kuala Lumpur 30 April lalu.

"Walaupun tidak mendapat tempat dalam tiga perlawanan sebelum ini, ia sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan saya untuk kembali merebut tempat dalam pasukan. Alhamdulillah saya berjaya kembali dan menjaringkan gol semangat buat pasukan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tambahnya, dua jaringan di Stadium Shah Alam tempoh hari adalah hasil bantuan rakan-rakan yang banyak membuka peluang kepadanya untuk membuktikan ketajaman penyudah.

Bekas bintang Piala Presiden Kelantan musim 2006 itu memberitahu, keyakinannya bertambah selepas berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut yang turut melonjakkan semula moralnya untuk terus mempamerkan aksi terbaik.

"Sekiranya terus diberikan peluang untuk perlawanan malam esok (ini), saya bertekad untuk memberikan aksi terbaik dalam perlawanan selepas itu dan cuba membantu pasukan layak ke pentas akhir buat kali kedua seterusnya membawa kejuaraan Piala FA ke Kota Bharu.

"Meskipun terpaksa bersaing dengan pemain yang sedia ada, itu bukan alasan. Apa yang penting saya kena terus berusaha dan belajar dari mereka yang berpengalaman untuk menjadi penggempur berbisa terutama daripada rakan sepasukan Norshahrul Idlan Talaha," ujarnya.

Sentuhan Pemusnah Ramzul Masih Berbisa


NAMA Muhammad Ramzul Zahini Adenan tiba-tiba kembali meniti di bibir penyokong serta peminat bola sepak Kelantan.

Semuanya bermula apabila Ramzul meledak dua gol bagi membantu Kelantan mencipta kemenangan bergaya 5-1 ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.

RAMZUL (dua dari kanan) bersama rakan-rakan sepasukannya giat menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu semalam.

Tampil selaku pemain utama dalam perlawanan tersebut, pemain kelahiran Kampung Kangkong, Pasir Mas itu pantas menyambar peluang yang diberikan oleh ketua jurulatihnya, Datuk M. Karathu.

Dia menggegar gawang Selangor seawal minit kesepuluh menerusi gol pembukaan Kelantan sebelum meledak satu lagi gol lima minit sebelum babak pertama berakhir.

Ramzul berkata, dua gol yang dijaringkannya itu amat bermakna buat dirinya selepas pulih daripada kecederaan serius yang dialami ketika bertemu Negeri Sembilan pada awal Mac lalu.

"Ia merupakan dua gol pertama saya dalam saingan Piala FA musim ini. Saya mahu merakamkan terima kasih kepada ketua jurulatih (Karathu) kerana memberikan peluang untuk kembali berada dalam skuad utama.

"Walaupun tidak mendapat tempat dalam tiga perlawanan sebelum itu, ia sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan saya untuk kembali merebut tempat dalam pasukan.

"Alhamdulillah saya berjaya kembali dan lebih manis, menjaringkan gol ketika menentang Selangor," kata Ramzul.

Mengulas pertemuan menentang Selangor minggu lalu, Ramzul mengakui, ia antara aksi terbaik yang ditunjukkan oleh skuad The Red Warriors itu musim ini.

"Saya sendiri terpaku dengan apa yang dipamerkan oleh rakan-rakan sepasukan. Kami bermain sebagai satu pasukan dan mengikut apa yang telah diarahkan oleh jurulatih.

"Tidak keterlaluan saya katakan inilah aksi terbaik untuk musim ini yang pernah saya saksikan.

"Namun, saya harap kejayaan ini tidak akan membuatkan kami leka, sebaliknya kami perlu bekerja dengan lebih keras dan memperbaiki segala kelemahan yang ada," katanya.

Ramzul menambah, dia kini semakin bersemangat untuk terus memburu gol dan seterusnya membawa Kelantan menjulang Piala FA musim ini.

"Sekiranya terus diberikan peluang selepas ini, saya bertekad untuk memberikan aksi terbaik.

"Meskipun terpaksa bersaing dengan pemain yang sedia ada, itu bukan alasan. Apa yang penting, saya kena terus berusaha dan belajar daripada mereka yang berpengalaman untuk menjadi penggempur berbisa," ujarnya.

Selamat Hari Guru


Hari ini tanggal 16 Mei setiap tahun akan diadakan sambutan Hari Guru di seluruh negara sebagai menghargai jasa pendidik yang banyak memberi tunjuk ajar seawal umur kita 6 tahun di alam prasekolah dan sehinggalah 17 tahun untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 19 tahun untuk yang menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Kegigihan seorang guru dalam mendidik anak muridnya supaya menjadi insan yang berilmu dan berguna juga menjadi pendorong sebagai kita generasi yang akan mewarisi keturunan di muka bumi ini sebagai generasi khalifah yang berilmu dan beramal.


Sempena dengan tema pada tahun ini, guru dilihat sebagai agen perubahan dalam menjadikan anak-anak murid sebagai seorang yang akan berjaya disamping pewaris kepada anak-anak mereka pada masa akan datang. Tema Hari Guru 2011: Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.

Jika dilihat pada tema ini secara halus, maka nampak dengan jelas bahawa tugas guru semakin mencabar. Kerana sebagai penjana transformasi (perubahan) pendidikan negara, para pendidik perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang.

Dalam erti kata lain, apa sahaja perancangan yang telah dirancang sebagai pembuat dasar perlu dilaksanakan dengan sebegitu sempurna agar apa yang tersirat dalam tema Hari Guru pada tahun ini dapat dicapai.

Perlaksanaan KSSR, SPPK dan MBMMBI perlulah mengikut acuan yang telah ditetapkan agar transformasi pendidikan yang diingin dapat dicapai. Begitu juga dengan penggunaan IT (teknologi maklumat) dan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi), para pendidik perlulah menguasainya agar matlamat untuk mentransformasikan pendidikan negara tercapai.

Dalam hal ini, jati diri para pendidik haruslah tinggi agar dapat mengikut rentak yang dirancang dalam bidang pendidikan. Tapi dalam hal ini (transformasi pendidikan), saya percaya para guru sememangnya sudah bersedia.

Dengan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru di seluruh negara yang bergelar sebagai guru amnya dan tidak lupa juga kepada guru-guru yang telah mengajar saya dari seumur 6 tahun hingga berjaya ke alam Universiti.

Pelajar 6 Ar-Razi

Terima kasih diucapkan kepada guru yang mengajar saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra bagi Tingkatan 6 terutamanya 6 Ar-Razi seperti Cikgu Arif (Biologi), Cikgu Azizah (Kimia), Cikgu Chew dan Cikgu Lim (Matematik), Cikgu Wan Hassan (Perkomputeran) dan Cikgu Wan Makhzan (Pengajian Am) serta cikgu Rozmuni, Cikgu Anis dan Cikgu Faezah (MUET).

Tidak lupa juga kepada guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedai Buloh semasa saya menuntut di tingkatan 2 hingga tingkatan 5, guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas semasa menuntut di tingkatan 1 dan sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Kem Pengkalan Chepa dari tahu 1 hingga tahun 6.

Akhir sekali tidak lupa kepada guru yang mengajar saya di Tadika Kemas ketika saya mula dialam prapersekolahan. Selamat menyambut Hari Guru dari saya.

Universiti-universiti - Degree (Political Science), Bachelor (Chemical)
Malacca Industrial Skill Development Center - Diploma (Composite)
Computer System Consultancy - Certificate (Computing)
Sek Menengah Keb Ismail Petra - STPM
Sek Menengah Kedai Buloh - PMR/SPM
Sek Menengah Tanjong Mas
Sek Kebangsaan Kem Pengkalan Chepa - UPSR
KEMAS - Prasekolah

Azmi Abdul Aziz