Sunday, May 15, 2011

Kafa Hantar Surat Bantahan



KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengambil langkah menghantar surat bantahan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan insiden bakar bendera ketika perlawanan Liga Super Kelantan menentang Negeri Sembilan minggu lalu. 

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, perlakuan membakar bendera negeri oleh mana-mana penyokong tidak boleh dibiarkan. 

“Kenyataan yang dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendakwa insiden itu berpunca daripada provokasi penyokong Kelantan adalah kurang tepat. 

“Ini kerana, saya melihat sendiri kejadian bakar bendera itu berlaku di luar kawasan tempat duduk penyokong kedua-dua pasukan dan ia dibakar selepas perlawanan,” katanya kepada pemberita di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala, Melor, di sini, semalam. 

Berikutan masalah berkenaan, beliau berkata, surat bantahan rasmi akan dihantar kepada pengurusan FAM berhubung perkara terbabit untuk tindakan lanjut. 

Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, bagi penjelasan mengenai isu itu, beliau menghubungi Mohamad dan berbincang mengenainya. 

“Insiden seperti ini tidak boleh sama sekali diterima kerana bendera adalah satu penghormatan sesebuah negeri, jadi tindakan wajar perlu diambil bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya. 

Dalam pada itu, Annuar turut mengumumkan penganjuran perlawanan persahabatan antara Harimau Muda dengan pasukan Myanmar akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV 18 Jun ini. 

“Ia satu peluang bagi membolehkan peminat bola sepak menyaksikan perlawanan dengan negara luar secara dekat dan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV dipilih sebagai perlawanan pertama,” katanya. 

Ekoran perlawanan berkenaan, beliau meminta pihak Perbadanan Stadium negeri menyediakan kemudahan lengkap termasuk padang, lampu limpah, bilik persalinan pemain untuk mengendalikan perlawanan berprestij berkenaan.

Karathu Puji Semangat Red Warriors



Kemenangan besar Kelantan ke atas Selangor adalah perlawanan terbaik pasukan musim ini

TANPA berfikir-fikir, Datuk M Karathu mentakrif kemenangan besar Kelantan ke atas Selangor dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA, malam kelmarin adalah perlawanan terbaik bagi pasukannya, musim ini. 

“Setiap pemain saya menunjukkan azam tinggi dengan mempamerkan permainan cantik sepanjang tempoh perlawanan.

“Mereka yakin apabila mengasak ke kubu Selangor dan bijak mengubah rentak permainan sehingga berjaya menjaringkan dua gol awal pada separuh masa kedua,” katanya selepas Red Warriors membaham Merah Kuning 5-1 di Stadium Shah Alam.

Kemenangan dengan angka besar ini memberi pengertian betapa Kelantan akan menentang Selangor dalam perlawanan kedua peringkat sama di Kota Bharu, esok tanpa sebarang tekanan. 

Ketika ditanya mengenai pemain yang bakal diturunkan pada perlawanan timbal balik kedua itu, Karathu enggan mengulas namun tetap menaruh keyakinan tinggi pasukan kendaliannya mampu melangkah ke final edisi kejohanan, musim ini. 

Apapun, The Red Warriors bakal kehilangan dua tonggak pertahanan mereka, Mohd Zairul Fitri Ishak dan Mohd Farisham Ismail yang digantung permainan. 

Karathu turut menambah kemenangan dicapai hasil kesungguhan ditunjukkan pemain. “Kami sepatutnya mendapat lebih gol pada perlawanan ini terutamanya dua percubaan jentera serangan pada separuh masa kedua hanya menggegar palang dan tiang gol,” katanya. 

Karathu Puji Aksi Pemain


AKSI cemerlang pemain Kelantan ketika membenam Selangor 5-1 pada pertemuan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, kelmarin mendapat pujian menggunung jurulatihnya, Datuk M Karathu. 

Beliau berkata, anak buahnya wajar mendapat pujian kerana bukan mudah untuk menjaringkan lebih daripada tiga gol di Shah Alam. 

PEMAIN Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (tengah) diraikan rakan sepasukan, Mohd. Badri Mohd. Radzi (dua dari kiri) dan Khalid Jamlus selepas menjaringkan gol kelima di Stadium Shah Alam 

“Saya berpuas hati dengan persembahan yang diberikan pemain Kelantan. Mereka bermain tanpa rasa takut walaupun sedar bermain di gelanggang lawan. 

“Kesemua pemain yang diturunkan beraksi cemerlang dan mengikut arahan sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung,” katanya. 

Sambil memuji ketangkasan anak buahnya itu, Karathu berkata, kejayaan tersebut diperoleh ini hasil usaha dan kerjasama satu pasukan yang telah ditunjukkan oleh barisan pemainnya sepanjang perlawanan genting itu. 

“Apa yang saya lihat, pemain beraksi lebih daripada tahap biasa sekali gus menunjukkan persembahan berkualiti di mana kita berjaya menguasai perlawanan secara keseluruhannya. Kita juga berjaya memanfaatkan peluang yang dimiliki dengan menjaringkan tiga gol di separuh masa pertama,” katanya semalam. 

Mengulas lanjut, Karathu berkata, gol pertama jaringan penyerang, Muhammad Ramzul Zahini menjadi pembakar semangat untuk melakar kejayaan dalam perlawanan tersebut. 

“Apa yang jelas, saya lihat hasil keazaman dan semangat tinggi yang dipamerkan dengan pelbagai variasi serangan berjaya memerangkap Selangor sepanjang perlawanan tersebut,”katanya. 

Bagaimanapun , Karathu mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak terlalu gembira dengan kejayaan itu sebaliknya memberi fokus untuk perlawanan pusingan kedua di Stadium Sultan Muhammad ke IV malam esok. 

Kelmarin, Skuad Kijang meratah Gergasi Merah 5-1 sekali gus menjadi bekalan selesa pada pertemuan separuh akhir kedua di Kota Bharu, esok. 

Gol-gol Kelantan dijaringkan Mohammad Ramzulzahini Adenan pada minit ke-10 dan minit ke-40, Mohd Badhri Mohd Radzi (43’), Nurul Azwan Roya (67’) dan Norshahrul Idlan Talaha (71’). 

Sementara itu, gol sagu hati Selangor dijaringkan kapten pasukan, Amri Yahyah pada minit akhir perlawanan. 

Kemenangan The Red Warriors itu menyaksikan mereka menjadi calon pilihan untuk mara ke final selepas kali terakhir melakukannya pada 2009. 

Pada aksi final itu, Kelantan tumpas kepada Selangor sekali gus impian untuk menyaksikan mereka menjulang Piala FA buat kali pertama berkecai.