Friday, June 25, 2010

RM6.45 juta kendali 11 pilihan raya

Sejumlah RM6,451,285 dibelanjakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengendalikan 11 pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada Mac 2008.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, bagi proses pengendalian pilihan raya kecil kerusi Parlimen sahaja, sejumlah RM1.3 juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau, peruntukan untuk SPR berkenaan tidak termasuk perbelanjaan melibatkan kementerian, jabatan dan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

‘‘Perbelanjaan untuk mengendalikan sesuatu pilihan raya kecil adalah tinggi. Di Sibu dan Hulu Selangor sahaja, perbelanjaan SPR untuk mengelolakan setiap satu kerusi Parlimen ini mencecah RM1.3 juta,” katanya.

Selepas PRU 2008, negara menyaksikan 11 pilihan raya kecil bagi kawasan Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Manek Urai, Bukit Gantang, Batang Ai, Bukit Selambau, Bagan Pinang, Penanti, Permatang Pasir, Hulu Selangor, Sibu.