Tuesday, May 25, 2010

Ibu Mahu Bela Kematian Anak Ditembak Polis


SAPIAH (kiri) menunjukkan gambar Mohd. Afham yang mati ditembak polis pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.


Seorang wanita memohon kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat kes mengenai anaknya yang mati ditembak polis dalam satu kejadian pada 20 Oktober tahun lalu.

Sapiah Md. Elah, 52, berkata, sehingga kini, punca anak lelakinya, Mohd. Afham Arin, 18, ditembak masih menjadi misteri ekoran dia dan keluarganya tidak diberi penjelasan sebenar mengenai kejadian itu sehingga kini.

Menurut Sapiah, dia difahamkan, anak keenam daripada tujuh beradik itu diperlakukan sedemikian selepas dikatakan terlibat dengan jenayah ragut dan disyaki menyerang polis menggunakan parang sebelum mati ditembak.

"Kami tidak berpuas hati kerana selepas tujuh bulan kes itu berlaku polis masih belum memberikan laporan kejadian tersebut.

"Kejadian itu juga mengakibatkan anak saya tidak dapat menamatkan pengajian dalam bidang latihan industri di Kolej Komuniti Ledang. Setahu saya, Mohd. Afham seorang anak yang pendiam dan baik," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Berdasarkan laporan akhbar, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam di Taman Johor Jaya itu, mangsa yang menunggang sebuah motosikal bersama rakannya, Mohd. Firdaus Marsani, 19, telah dikejar sejauh 15 kilometer kerana disyaki melakukan ragut.

Sejurus polis menghampiri suspek, pembonceng dikatakan bertindak melibaskan parang ke arah anggota terbabit sebelum dia mati ditembak di dada manakala rakannya dapat melarikan diri.