Friday, June 25, 2010

RM6.45 juta kendali 11 pilihan raya

Sejumlah RM6,451,285 dibelanjakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengendalikan 11 pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada Mac 2008.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, bagi proses pengendalian pilihan raya kecil kerusi Parlimen sahaja, sejumlah RM1.3 juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau, peruntukan untuk SPR berkenaan tidak termasuk perbelanjaan melibatkan kementerian, jabatan dan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

‘‘Perbelanjaan untuk mengendalikan sesuatu pilihan raya kecil adalah tinggi. Di Sibu dan Hulu Selangor sahaja, perbelanjaan SPR untuk mengelolakan setiap satu kerusi Parlimen ini mencecah RM1.3 juta,” katanya.

Selepas PRU 2008, negara menyaksikan 11 pilihan raya kecil bagi kawasan Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Manek Urai, Bukit Gantang, Batang Ai, Bukit Selambau, Bagan Pinang, Penanti, Permatang Pasir, Hulu Selangor, Sibu.

Wednesday, June 23, 2010

Budak dua tahun setinggi 55.88sm


CHARLOTTE (kanan) duduk bersama seorang budak lelaki di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak dekat Hull, baru-baru ini.


HULL, England - Seorang kanak-kanak perempuan, Charlotte Garside yang berumur dua tahun cuma memiliki ketinggian 55.88 sentimeter (sm) dekat sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketinggian yang rendah berbanding rakan sebayanya itu disebabkan oleh penyakit tumbesar terbantut yang dihidapi hanya 100 orang di dunia.

Menurut ibunya, Emma Newman, pada mulanya dia tidak menyedari terdapat sesuatu yang tidak kena pada anaknya selepas dia dilahirkan tidak cukup bulan.

"Apa yang diketahui ialah dia amat kecil dan satu-satunya pakaian anak yang muat untuk tubuhnya ialah pakaian anak patung," katanya.

Akibat tubuhnya yang kecil, Charlotte tidak mampu untuk makan seperti manusia normal.

Dia memerlukan tiub khas untuk meminum susu.

Berat badannya semasa dia dilahirkan ialah 0.49 kilogram (kg) dan kini beratnya cuma 3.17kg sama seperti seorang bayi yang baru dilahirkan. 

Menurut ibunya, Charlotte kini sudah boleh merangkak dan dia tidak boleh berjalan sehingga satu pembedahan di tumitnya dilakukan.

"Dia (Charlotte) merupakan seorang kanak-kanak yang riang dan anak saya dihantar ke sebuah pusat penjagaan dua hari seminggu," katanya. 

Sumber: Agensi

Thursday, June 17, 2010

Cicak Diancam Kepanasan


SUHU panas yang melampau menyebabkan cicak tidak memburu makanan dan membiak.


KITA mungkin tidak menyangka bahawa sesetengah spesies cicak yang memerlukan pancaran matahari untuk hidup diancam pemanasan global yang melanda hari ini. Saintis yang menjalankan kajian mengenai spesies cicak mendapati haiwan tersebut akan pupus di kebanyakan tempat disebabkan peningkatan suhu sehingga menyebabkan pembiakannya terjejas.

"Keputusan adalah jelas. Cicak ini perlu berjemur di bawah pancaran matahari tetapi jika ia terlalu panas ia akan mencari tempat berteduh. Situasi itu menyebabkan ia tidak boleh memburu makanan dan bertemu dengan pasangan untuk membiak," kata Barry Sinervo dari Jabatan Ekologi dan Evolusi Biologi, Universiti California, Santa Cruz, Amerika Syarikat.

"Ini merupakan amaran kepupusan pelbagai spesies cicak di seluruh dunia," ujarnya lagi.

Spesies cicak merupakan antara watak penting dalam rantaian makanan kerana ia akan memakan serangga dengan banyak dan menjadi makanan kepada haiwan seperti burung, ular dan lain-lain lagi.

Wednesday, June 2, 2010

Israel Sumbat Aktivis Dalam Penjara


GAMBAR menunjukkan sebuah penjara yang terletak di bandar Beersheba, selatan Israel yang menempatkan aktivis Gaza yang ditawan rejim Israel kelmarin.


Seramai 610 aktivis asing yang ditangkap kerana menyertai konvoi kapal perang dalam armada kecil dikenali sebagai Flotila Kebebasan Gaza kini ditahan di sebuah penjara di selatan Israel, kata seorang jurucakap Perkhidmatan Penjara Israel semalam.

Seramai 45 aktivis lagi yang mengikuti konvoi enam kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza itu telah diusir dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion, Israel.

Dalam konvoi itu, seramai 18 warga Malaysia turut menaiki dua buah kapal penghantar bantuan tersebut sebelum mereka ditangkap dalam serbuan komando-komando Israel pada awal pagi kelmarin di perairan antarabangsa di Laut Mediterranean.

Jurucakap perkhidmatan penjara itu berkata, semua tahanan asing itu berada dalam keadaan baik dan mereka ditempatkan di dalam lokap yang boleh menempatkan dua atau empat orang tahanan.

INFOGRAFIK menunjukkan lokasi kapal Mavi Marmara yang diserang komando Israel kelmarin.


Aktivis-aktivis itu ditahan di sebuah penjara jenayah baru yang baru dibuka sejak 11 hari lalu di bandar Barsheeba, selatan Israel yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan sehingga 800 banduan.

Kebanyakan aktivis yang tiba pada lewat kelmarin dan pagi semalam tidak membawa sebarang barangan milik peribadi.

Aktivis-aktivis itu diberikan pakaian dalam, alat kelengkapan dandanan diri, selipar, selimut dan makanan.