Penyokong Sime Darby tetap imbangi sorakan di Bukit Jalil
BERTEMU Sime Darby, pasukan berstatus kelab dan baru dua tahun ditubuhkan - memberi Kelantan kelebihan pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi apabila hampir tiga perempat ruang tempat duduk diisi penyokong The Red Warriors.
Sebelum perlawanan, semuanya tampak berpihak kepada skuad kendalian Bojan Hodak yang membariskan pemain handalan tempatan dan sokongan padu penyokong sendiri, tetapi elemen itu turut memberi kekuatan kepada Sime Darby yang mahu melakukan kejutan.
Perang sepanduk di dalam stadium juga tampak berpihak kepada Kelantan dengan salah satu daripadanya berbunyi: “Piala FA Hok Kawe” (Piala FA Milik Kami), tetapi keputusan sebenar hanya akan ditentukan di atas padang.
Kedua-dua pasukan memburu piala pertama dalam sejarah kejohanan dengan Kelantan beraksi buat kali ketiga pada final manakala Sime Darby mara buat julung kali dengan rekod baru sebagai kelab pertama beraksi di final Piala FA.
Kelantan yang dua kali kecewa pada aksi final - di tangan Selangor pada 2009 dan Terengganu tahun lalu - mempunyai misi wajib menang, apa lagi bertemu pasukan mentah seperti Sime Darby.
Bagaimanapun anak buah Ismail Zakaria tampak sudah bersedia secara fizikal dan mental berdepan Kelantan dan sorakan padu penontonnya, malah seperti menggunakan sorakan itu untuk mencetus semangat mereka.
Apa pun percaturan Hodak dan Ismail, semuanya bergantung kepada ketahanan mental dan disiplin pemain masing-masing mengharungi 90 minit permainan dan masa tambahan sekiranya permainan dilanjutkan.
Sumber: BH
0 komen:
Post a Comment