Tuesday, September 20, 2011

Red Warriors Mula Bangkit

KOTA BHARU - Selepas tumpas mengejut kepada Felda United Rabu lalu, Kelantan kembali mempamerkan watak sebagai pasukan pilihan apabila membelasah pasukan tercorot Kumpulan C, Sarawak 4-0 pada saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohammed IV, kelmarin.

Kemenangan tersebut cukup bermakna buat jurulatih Datuk M.Karathu yang gembira dengan peningkatan pemain, berbanding ketika menentang Sarawak pada 6 September lalu di Kuching.

Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (jersi merah) melakukan percubaan ke arah pintu gol Sarawak pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohammed IV, kelmarin. 

"Saya gembira dengan komitmen pemain yang tidak mudah putus asa untuk mendapatkan gol walaupun pasukan lawan memilih untuk bermain secara bertahan. "Inilah realiti bola sepak di mana kita dapat melihat Sarawak mampu menyerap tekanan ketika terikat tanpa jaringan dan mereka begitu bersemangat untuk bertahan.

"Jaringan pertama yang kita raih dapat merupakan titik tolak kebangkitan Red Warriors. Jika kita mampu jaringkan gol pada babak pertama, mungkin lebih banyak jaringan mampu dihasilkan.

"Tiga mata ini sangat berharga. Kita tidak boleh tercicir mata lagi. Pemain tahu apa yang mereka perlu buat malam tadi (kelmarin) dan hasilnya kita lakukan apa yang sepatutnya kita buat," katanya.

Pada perlawanan kelmarin, Kelantan dipaksa berhempas pulas sebelum mendapat jaringan pertama pada minit ke-79 menerusi ketua pasukan Mohd. Badri Radhi.

Gol tersebut melonjakkan semangat pemain tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua menerusi Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-87 sebelum pemain gantian Danial Fadzly Abdullah menambah derita pelawat seminit kemudian.

Pada minit akhir permainan, Mohd. Badri membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menambah koleksi jaringan kedua peribadi.

Kemenangan tersebut membolehkan Red Warriors selesa menghambat peneraju kumpulan, Felda United apabila kini hanya dibezakan satu mata.

Karathu juga mengakui pemainnya lambat panas sehingga terpaksa menunggu minit ke-79 untuk menghasilkan gol pertama biarpun banyak peluang terhidang sebelum itu.

"Semua boleh lihat bagaimana kita mempunyai banyak peluang tetapi gagal disempurnakan pada babak awal permainan.

"Ia situasi yang sangat sukar dan sekurang-kurangnya kita perlu menjaringkan gol dalam tiga percubaan.

"Saya rasa pemain turun dengan semangat untuk memenangi perlawanan selepas kita tewas kepada Felda United tempoh hari.

"Dalam bola sepak menjaringkan gol adalah sangat penting, kalau kita main baik tapi gagal menghasilkan gol, ia suatu kegagalan," katanya.

0 komen:

Post a Comment