KOTA BHARU - “Sebagai ahli keluarga, kami masih keliru dengan kematian Wan Mohd Helmi dan kami mahu punca kes ini disiasat,” kata ibu mangsa, Mariam Daud, 56.
Wan Mohd Helmi Wan Daud, 24, dikatakan maut dihempap pokok pada mulanya, namun semasa dia koma di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, rakan yang terlibat sama dalam kemalangan memberitahu mangsa dipukul.
Abang mangsa, Zubir Wan Daud, 27, berkata, disebabkan timbil kekeliruan, keluarga mangsa mahu kes terbabit disiasat.
“Jenazah adik saya masih berada di Unit Forensik, HUSM dan kami mahu bedah siasat dilakukan untuk mengetahui punca sebenar, sama ada akibat kemalangan atau dipukul.
“Memang kejadian ribut berlaku dan ada pokok tumbang berdekatan tempat kejadian, kami ingat dia terlibat dalam kemalangan, tetapi ahli keluarga keliru apabila selepas sehari adik saya koma di hospital, salah seorang rakan yang terlibat sama memberitahu adik saya dipukul,” dakwanya.
Zubir berkata, laporan polis pernah dibuat sebelum ini di Balai Polis Gua Musang oleh kedua-dua rakan (saksi), namun pihak keluarga terpaksa membuat semula laporan polis di Balai Polis Kubang Kerian dengan mendakwa ada unsur jenayah pada kematian itu dan mahu ia disiasat.
“Kami juga rasa pelik, jika dihempap pokok, kenapa motosikal yang ditunggangnya tidak rosak dan memang terdapat kesan seolah-olah dipukul pada bahagian leher serta kepala adik saya,” dakwanya.
Wan Mohd Helmi berasal dari Setiu, Terengganu meninggal kira-kira jam 5 pagi semalam dan baru empat bulan tinggal serta bekerja mengusahakan ladang getah di Gua Musang.
Mariam berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anak kelapan daripada sembilan beradik itu semasa meraikan Hari Raya Aidilfitri lalu.
“Saya tidak nampak perubahan ketara padanya, cuma pada hari raya lalu dia kelihatan sangat gembira kerana dapat makan bersama ahli keluarga yang berkumpul.
“Saya tinggal di Setiu dan anak saya bekerja di Gua Musang, saya tidak mengetahui cerita sebenar, namun saya berharap punca kematian disiasat bagi mengelak rasa terkilan dan ralat jika kami membiarkan keadaan ini,” katanya.
Sementara itu, sepupu mangsa yang tinggal di Laloh, Gua Musang, Nik Shamsuddin Sayidina Anas, 28, berkata, kali terakhir dia bertemu mangsa sehari sebelum kejadian kemalangan.
“Arwah datang ke rumah bapa saudaranya (ayah saya) dan sebelum balik, dia bersalaman dengan saya dan memberitahu ‘nak balik dah, nanti jumpa lagi, tetapi tidak tahu jumpa atau tidak selepas ini’,” katanya.
Bapa kepada bapa angkat mangsa, Tuan Ismail Tuan Mat, 66 berkata, mangsa dikatakan mengalami kemalangan kira-kiranya jam 7 petang Selasa lalu bersama dua lagi rakan.
“Mangsa dikatakan menunggang motosikal berasingan bersama dua lagi rakan, semasa dalam perjalanan dari Chiku 5 ke Gua musang berlaku ribut dan ada sebatang pokok tumbang menghempapnya.
“Ada maklumat yang bercanggah mengenai punca kejadian itu apabila rakan yang terlibat sama dalam kemalangan tersebut keesokan harinya semasa melawat arwah yang masih koma kelmarin memberitahu arwah dipukul, jadi kami keliru dan mahu ia disiasat,” katanya.
0 komen:
Post a Comment